KENYATAAN MEDIA: PIHAK SPRM CUBA LINDUNGI AMBIGA, SENGAJA LENGAHKAN HASIL PENUH SIASATAN DANA RM90 JUTA

“Saya telah diberikan maklumat bahawa terdapat satu usaha komprehensif melibatkan pihak-pihak tertentu di SPRM dan juga di Pejabat Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk melindungi Ambiga agar usaha bekas Pengerusi Bersih tersebut untuk mengaibkan Najib dan Hadi menerusi fitnah dan tohmahan-tohmahan palsu tidak didedahkan kepada umum

Raggie Jessy Rithaudeen

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Saudara saudari yang dihormati sekalian,

Pada 24hb Febuari 2019, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, memaklumkan kepada umum bahawa hasil siasatan pihaknya setakat ini tidak menemui sebarang kemasukan dana dari 1Malaysia Development  Berhad (1MDB)  ke dalam akaun PAS.

Pada tafsiran saya, kenyataan beliau merujuk kepada satu laporan Malaysiakini bertarikh 12hb Febuari 2019 yang mendakwa kononnya pihak SPRM meneliti akaun bank PAS dan mendapati tiada dana dari 1MDB disalurkan ke dalam akaun tersebut.

Sekiranya benar kenyataan Shukri bertujuan untuk memberi pencerahan berhubung laporan Malaysiakini tersebut, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya kerana menyahut permintaan saya supaya SPRM tampil ke hadapan membuat kenyataan.


Apapun, saya amat tertarik dengan penggunaan frasa “setakat ini” dalam kenyataan beliau berkenaan penelitian pihak SPRM terhadap akaun bank PAS.

Frasa ini membawa maksud “penelitian masih belum selesai” biarpun pihak SPRM sudah berminggu lamanya menjalankan siasatan terhadap dakwaan kemasukan dana RM90 juta ke dalam akaun tersebut.

Persoalannya, apakah begitu sukar bagi pihak SPRM mendapatkan maklumat terperinci dari Bank Negara dan pihak lain yang berkenaan?

Saya amat keliru bagaimana siasatan ini boleh mengambil masa yang begitu lama sedangkan Dato’ Ambiga Sreenevasan merupakan kunci kepada segala siasatan SPRM berhubung dakwaaan kemasukan dana RM90 juta tersebut.

Ini memandangkan segala apa tuduhan yang dilemparkan oleh Clare Rewcastle Brown terhadap PAS dan presiden parti tersebut, iaitu Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, adalah bersandar secara langsung kepada maklumat yang diberikan oleh Ambiga kepada Clare.

Perkara ini bukanlah satu andaian ataupun rekaan, tetapi dakwaan oleh Clare sendiri yang terkandung dalam satu dokumen rasmi bertajuk Defence and Counterclaim Statement (D&C).

Dokumen tersebut difailkan oleh peguam Clare di Mahakhamah Tinggi London pada 11hb Oktober 2017 semasa prosiding saman fitnah Hadi terhadap pemilik dan pengendali portal Sarawak Report tersebut berjalan di Mahkhamah yang sama.

Pada 7hb Febuari 2019, saya membuat satu laporan SPRM di Shah Alam terhadap Ambiga berhubung kes saman tersebut bagi meminta pihak SPRM menyiasat dua perkara, iaitu:

1. samada Ambiga mempunyai bukti bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak menyogok pemimpin-pemimpin PAS dengan wang suapan sebanyak RM90 juta, dan

2. samada benar kenyataan yang terkandung dalam D&C Statement yang difailkan oleh peguam Clare di Mahkhamah Tinggi London pada 11hb Oktober 2017.

Kenyataan yang dimaksudkan dalam hujah bernombor 2 mendakwa bahawa Ambiga merupakan orang yang menceritakan kepada Clare berkenaan perkara yang tertera dalam hujah bernombor satu (seperti yang dilampirkan).

Bersandarkan kenyataan Shukri yang terbaru, sudah jelas lagi bersuluh bahawa pihak SPRM engan memberikan sebarang pengesahan samada benar atau tidak kenyataan yang terkandung dalam D&C Statement yang difailkan oleh peguam Clare di Mahkhamah Tinggi London.

Apakah pihak Shukri masih belum lagi bertanyakan kepada Ambiga samada betul atau tidak beliau memberitahu Clare bahawa Najib menyogok pemimpin-pemimpin PAS dengan wang suapan sebanyak RM90 juta?

Bukankah itu kunci kepada segala penyiasatan yang dilakukan oleh pihak SPRM berkenaan hal ini?

Shukri perlu faham, bahawa sekiranya benar Ambiga memberitahu Clare bahawa Najib menyogok pemimpin-pemimpin tertinggi PAS, beliau harus mengemukakan bukti sahih bagi menyokong dakwaan beliau ataupun menghalakan pihak SPRM ke arah yang betul.

Sekiranya Ambiga mengaku salah menipu Clare ataupun mendakwa bahawa beliau tidak pernah memberitahu apa-apa berkenaan wang suapan tersebut kepada Clare, pihak SPRM perlu terus memaklumkan kepada umum bahawa dakwaan Clare terhadap PAS, Najib dan Hadi tidak berasas.

Apakah Shukri tidak tahu berkenaan laporan susulan yang saya buat terhadap Ambiga di Ibu Pejabat Polis (IPD) di Subang Jaya pada 9hb Febuari 2019?

Sepertimana dalam laporan saya kepada pihak SPRM, saya turut meminta pihak polis mengunakan kuasa sepenuhnya yang diberikan kepada PDRM di bawah Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta berkaitan untuk memaksa Ambiga menjawab dakwaan Clare terhadapnya.

Shukri tahu, bahawa pihak polis tidak boleh menyiasat Ambiga selagi siasatan SPRM terhadap bekas pengerusi Bersih tersebut masih belum tamat.

Apakah begitu susah bagi pihak SPRM mendapatkan jawapan dari Ambiga samada benar atau tidak beliau memberitahu Clare bahawa Najib menyogok pemimpin-pemimpin tertinggi PAS dengan wang suapan sebanyak RM90 juta?

Saya telah diberikan maklumat bahawa terdapat satu usaha komprehensif melibatkan pihak-pihak tertentu di SPRM dan juga di Pejabat Peguam Negara, Tommy Thomas, untuk melindungi Ambiga agar usaha bekas Pengerusi Bersih tersebut untuk mengaibkan Najib dan Hadi menerusi fitnah dan tohmahan-tohmahan palsu tidak didedahkan kepada umum.

Pada 22hb Febuari 2019, saya mendedahkan menerusi satu kenyataan media bahawa pihak SPRM sudahpun memiliki rakaman perbualan di antara Clare dan Ambiga yang diberikan secara rasmi kepada unit perisik Special Branch di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada tahun 2017.

Menerusi rakaman tersebut, pihak SPRM dan Shukri telah lama mengetahui bahawa Ambiga sememangnya telah menipu berkenaan pembayaran RM90 juta oleh Najib sehingga menggangu-gugat keharmonian politik negara dan masyarakat umum.

Rakaman yang dimaksudkan turut berserta teks-teks perbualan dan komunikasi lain yang berlaku di antara Ambiga dan Clare dan jelas menunjukkan bahawa kedua-dua mereka berkomplot untuk merekacipta satu konspirasi palsu dengan dakwaan kononnya Najib membayar pemimpin-pemimpin tertentu PAS RM90 juta dengan niat ‘membeli’ sokongan mereka.

Untuk makluman lanjut, pihak SB telah mengetahui sejak bertahun-tahun lamanya setiap gerak-geri Clare menerusi seorang ajen perisik yang ditanam SB dalam satu kumpulan yang terdiri daripada rakan-rakan kenalan Clare di United Kingdom (UK).

Disebabkan ajen tersebut, pihak SB mengetahui segala apa yang dirancang Clare bersama Ambiga dan Khairuddin Abu Hassan dan telah mengetahui sejak sebelum tahun 2015 lagi bahawa beberapa tuduhan yang dilemparkan terhadap Najib oleh Clare melibatkan satu konspirasi yang terancang.

Apakah SPRM tidak ingin mendedahkan perkara-perkara ini kepada umum?

Mengapakah Shukri hanya menghadkan sesi pencerahannya kepada laporan yang dikeluarkan oleh Malaysiakini dan langsung tidak mengendahkan laporan yang dikeluarkan portal berita The Malaysian Insight pada 19hb Febuari 2019?

Menurut portal tersebut, pihak SPRM tidak menjumpai sebarang “money trail” yang mampu menunjukkan RM90 juta disalurkan dari akaun UMNO ke PAS.

Apakah penelitian yang dibuat oleh pihak SPRM yang mampu mengesahkan tiada dana dari 1MDB masuk ke akaun PAS tidak mampu mengesahkan samada dana dari UMNO ataupun akaun Najib masuk ke akaun tersebut?

Saya berharap agar Shukri boleh memberikan rakyat Malaysia pencerahan yang lebih terperinci hari ini bagi membuktikan bahawa pihak SPRM tidak sama sekali terlibat dalam satu konspirasi bersama Tommy Thomas untuk melindungi Ambiga.

Pencerahan tersebut turut perlu bagi menangkis segala spekulasi kononnya SPRM sengaja melengah-lengahkan pendedahan penuh hasil siasatannya bagi menimbulkan persepsi negatif di kalangan pengundi-pengundi di Semenyih terhadap UMNO dan PAS.

Saya juga berharap agar Shukri akan mendedakan hasil siasatan SPRM terhadap satu lagi permintaan yang terkandung dalam laporan saya terhadap Ambiga yang dibuat di SPRM Shah Alam pada 7hb Febuari 2019.

Dalam laporan tersebut, saya meminta pihak SPRM untuk siasat samada benar atau tidak Ambiga menerima suapan dari pihak-pihak berkepentingan tertentu untuk membuat dakwaan-dakwaan palsu terhadap Najib dan PAS.

Untuk makluman, saya bakal mengutuskan satu surat kepada Ketua Polis daerah Subang Jaya Jumaat ini bagi meminta jasa baik beliau untuk memulakan siasatan polis terhadap Ambiga berdasarkan laporan polis yang saya buat pada 9hb Febuari 2019.

Tertakluk kepada kenyataan lanjut dari pihak SPRM, saya akan terus ‘menelanjangkan’ Ambiga dan Tommy Thomas menerusi pendedahan-pendedahan tertentu dari masa ke semasa supaya rakyat jelata akan maklum siapa mereka sebenarnya dan bagaimana mereka bersubahat bagi mengaibkan pemimpin-pemimpin tertentu di Malaysia, khususnya mereka yang beragama Islam.

Sekian sahaja kenyataan dari saya.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Saya Yang Benar,

Raggie Jessy Rithaudeen

Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku

Ketua Kumpulan Penggerak TTF

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...