Mahathir takut dedahkan laporan CEP kerana ingin lindungi Zeti Akhtar Aziz dan Shukri Abdull

“Apakah Mahathir tahu, bahawa sekiranya beliau membenarkan laporan CEP diketahui umum, beliau akan turut didesak mendedahkan kesemua laporan siasatan yang dilakukan oleh pihak SPRM dan Bank Negara terhadap 1MDB, sekaligus mendedahkan ketidakserasian dan kejanggalan tertentu dalam laporan-laporan tersebut yang mampu menimbulkan keraguan terhadap Zeti dan Shukri?”

Raggie Jessy Rithaudeen

Pada 27hb Febuari 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa bahawa tindakan kerajaan meletakkan tiga laporan siasatan berkaitan 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) merupakan satu kesalahan memandangkan ianya dilakukan untuk menyembunyikan perbuatan jenayah.

Laporan-laporan yang dimaksudkan beliau merupakan laporan-laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Bank Negara Malaysia.

Ketiga-tiga pihak tersebut melakukan siasatan secara berasingan terhadap Dato’ Seri Najib Razak bagi menentukan samada beliau menyalurkan wang dari 1MDB secara haram ke dalam akaun bank peribadi beliau.


Dalam satu kenyataan, Mahathir, yang pada ketika itu merupakan ahli politik pembangkang, mempersoalkan mengapa laporan-laporan tersebut perlu disembunyikan daripada pengetahuan umum sedangkan rakyat Malaysia berhak mengetahui segala apa yang dilakukan kerajaan.

Hakikatnya, pada ketika itu, dua daripada tiga pihak yang menjalankan siasatan, iaitu PAC dan SPRM, sememangnya telah lama membuat pengumuman bahawa tiada sebarang bukti menunjukkan Najib melakukan apa-apa kesalahan.

Manakala itu, pihak penyiasat yang ketiga, iaitu pihak Bank Negara, mengambil sikap berkecuali dengan hanya mengesyorkan agar tindakan-tindakan tertentu diambil terhadap 1MDB tanpa menyatakan dengan jelas samada Najib bersalah atau tidak.

Untuk makluman, Gabenor Bank Negara pada ketika itu tak lain tak bukan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, iaitu orang yang dilantik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ahli “Council of Eminent Persons” (CEP) sebaik selepas Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum ke 14.

Saudara saudari sekalian,

Pada 11hb Jun 2018, The Third Force memulakan satu siri pendedahan (lihat pautan-pautan di bawah) di mana keratan-keratan terpilih dari kertas siasatan SPRM terhadap Najib diterbitkan sebagai bukti bahawa dana RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun peribadi beliau tidak berasal dari 1MDB.

Menurut kertas tersebut, bukan hanya Zeti mengetahui dari awal lagi bahawa dana tersebut sememangnya merupakan “sumbangan peribadi dan hadiah” daripada ahli-ahli kerabat diraja kerajaan Arab Saudi, beliau sendiri mengesyorkan agar dana tersebut disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Malah, Zeti dikatakan telah berhubung terus dengan pengurus Ambank Jalan Raja Chulan (di mana Najib membuka akaunnya) bagi memaklumkan berkenaan kemasukkan dana tersebut dan dilihat tahu nama kesemua individu dan syarikat yang terlibat dalam penyalurannya.

Mungkin tidak ramai yang maklum, bahawa dana yang disalurkan ke dalam akaun Najib sebenarnya bernilai RM3,197,596,146.28 dan bukannya RM2.6 bilion sepertimana yang diwar-warkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan, Mahathir, Tony Pua dan kuncu-kuncu mereka (kemudian dari ini dirujuk sebagai “Kem Mahathir”).

Zeti sedar akan penipuan tersebut tetapi terus mendiamkan diri kerana tahu bahawa nilai RM2.6 bilion yang diwar-warkan Kem Mahathir seakan-akan sama dengan nilai sejumlah wang dari 1MDB yang kebetulannya disalurkan menerusi cabang-cabang tertentu pada masa yang sama penyaluran dana RM3,197,596,146.28 berlaku.

Sikap Zeti yang tidak bertanggungjawab itu sekaligus membolehkan Kem Mahathir bersekongkol dengan Clare Rewcastle Brown, Tan Sri Abdul Gani Patail dan Wall Street Journal untuk menimbulkan persepsi menerusi media kononnya Najib bersubahat dengan pihak pengurusan 1MDB untuk menyalurkan RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi beliau.

Kem Mahathir berjaya menimbulkan persepsi tersebut dengan menumpukan dakwaan mereka semata-mata terhadap penyaluran dana oleh tiga pihak yang bersangkut-paut dengan kerajaan Arab Saudi, iaitu Prince Faisal Bin Turkey Bin Bandar Al Saud (bernilai RM369,029,514.00), syarikat Tanore Finance Corporation (bernilai RM243,699,926.32) dan Agensi Kewangan Saudi Arabia (bernilai RM2,061,476,926.00). 

Dengan tidak mengendahkan satu lagi cabang penyaluran dari Blackstone Asia Real Estate Partner Limited (bernilai RM523,389,779.96), Kem Mahathir berjaya membawa nilah jumlah dana yang disalurkan oleh kerajaan Arab Saudi ke dalam akaun peribadi Najib kepada RM2,674,206,366.32, atau RM2.6 bilion sekiranya nilai tersebut dibulatkan ke satu angka perpuluhan.

Dengan berbekalkan nilai inilah mereka mula melakarkan beberapa siri “money trail” yang kononnya menunjukkan penyaluran dana RM2.6 bilion dari 1MDB ke dalam akaun peribadi Najib, walhal penyaluran sebenar bernilai lebih RM3 bilion dan berasal dari kerajaan Arab Saudi.

Saudara saudari sekalian,

Kertas siasatan SPRM terhadap Najib yang didedahkan The Third Force (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “Kertas Siasatan SPRM 2015”) menjurus kepada beberapa laporan polis, bermula dengan laporan yang saya buat terhadap Zeti dan Dato’ Seri Mohd Shukri Abdull pada 24 Jun 2018.

Pada ketika itu, Shukri baru sahaja dilantik sebagai Ketua SPRM bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim, yang, tidak lama dahulu, mendedahkan secara terperinci bagaimana pihak Kastam membocor dan mengedar maklumat tertentu bagi menfitnah Najib dan Datin Sri Rosmah Mansor.

Menerusi laporan yang dibuat, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa untuk mengkaji Kertas Siasatan SPRM 2015 dan memulakan penyiasatan bagi memperinci kandungannya agar pihak berkuasa mampu menentukan sekiranya Zeti dan Shukri bersekongkol untuk mengaibkan Najib.

Ini berikutan keputusan Shukri untuk memulakan siasatan baru terhadap Najib biarpun Kertas Siasatan SPRM yang disediakan beliau sendiri pada tahun 2015 tidak menemui sebarang bukti yang mampu menyabitkan Najib bersalah dalam isu RM2.6 bilion.

Ini sekaligus menimbulkan persoalan sekiranya Shukri telah memalsukan Kertas Siasatan SPRM 2015 ataupun bersekongkol dengan pihak Kerajaan Persekutuan kini bagi merekacipta kertas siasatan baru agar Najib boleh didakwa di mahkhamah.

Atas persoalan inilah saya telah mengesa pihak PDRM agar menggunakan segala apa peruntukkan undang-undang yang sedia ada untuk memaksa Zeti mengesahkan kesahihan beberapa perkara yang terkandung dalam Kertas Siasatan SPRM 2015.

Salah satu perkara yang dimaksudkan melibatkan sebuah kenyataan yang direkodkan oleh Shukri sendiri yang mendakwa bahawa Zeti merupakan orang yang mengesyorkan agar dana RM2.6 bilion disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Tidak lama kemudian, pada 3 hb Julai 2018, Zeti mengejutkan rakyat Malaysia dengan dakwaan kononnya beliau tidak tahu-menahu berkenaan dana RM2.6 bilion tersebut, sekaligus menimbulkan persoalan tentang kesahihan Kertas Siasatan SPRM 2015.

Sejurus kemudian, saya membuat satu lagi laporan polis, kali ini memberitahu pihak PDRM bahawa keenganan Shukri untuk menyoal-siasat Zeti berkenaan dakwaan terbaru yang dikeluarkan beliau jelas menunjukkan bahawa kedua-dua mereka bersekongkol untuk mengaibkan Najib.

Anehnya, biarpun sudah hampir setahun belalu, pihak PDRM tidak pernah membuka kertas siasatan terhadap Zeti ataupun Shukri walaupun kedua-dua laporan yang saya buat diklasifikasikan oleh pihak PDRM sebagai laporan-laporan jenayah.

Malah, bukan hanya Zeti tidak pernah disoal-siasat pihak polis, beliau terus dilantik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ahli “Council of Eminent Persons” (CEP) sebaik selepas Pakatan Harapan memenangi pilihanraya umum ke 14.

Tidak lama kemudian, pada 23hb Jun 2018, bekas Gabenor Bank Negara tersebut terus dilantik menjadi pengerusi Sime Darby Property sebelum dijadikan pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) tiga hari kemudiannya.

Dan hari ini, kami disajikan berita bahawa pihak kerajaan Malaysia telah meletakkan laporan 100 hari yang dikeluarkan oleh CEP di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana kandungan laporan tersebut sememangnya dikehendaki negara-negara asing.

Perkara ini diumumkan sendiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, iaitu Mohamed Hanipa Maidin, menerusi satu kenyataan media yang membawa maksud pihak Kerajaan Persekutuan, yakni Kabinet Malaysia, memutuskan untuk tidak membenarkan orang awam mengetahui ataupun meneliti kandungan laporan CEP kerana laporan tersebut merupakan bahan rahsia yang tidak sesuai untuk tatapan umum.

Tetapi bukankah Mahathir sendiri yang pernah menyatakan satu ketika dulu bahawa rakyat Malaysia berhak mengetahui segala apa yang dilakukan kerajaan persekutuan?

Sehari selepas saya mengutarakan kejanggalan tersebut, Mahathir terus membuat pusingan U dan mengumumkan bahawa laporan CEP ‘sebenarnya’ tidak dapat didedahkan buat sementara waktu kerana pihak kerajaan masih sedang membincangkan beberapa perkara yang terkandung di dalamnya dan belum lagi membuat keputusan.

Apakah ini bermakna Hanipa menipu?

Dan memandangkan Mahathir sendiri pernah merungut apabila laporan siasatan berkaitan 1MDB diletakkan di bawah OSA, apakah beliau bakal mengarahkan Shukri untuk menerbitkan kandungan penuh Kertas Siasatan SPRM 2015 di media arus perdana agar ianya dapat diperinci umum?

Saya begitu hairan bagaimana pihak Kabinet boleh terlibat dengan perbincangan dan keputusan berkaitan laporan CEP sedangkan Mahathir sendiri, apabila ditanya, pernah mengaku bahawa CEP bukanlah lantikan Kabinet mahupun parlimen tetapi lantikan peirbadi beliau untuk menasihatinya dalam hal-hal yang bersangkut-paut ekonomi.

Apakah kami ditipu selama ini, dan apakah Tun Daim Zainuddin dan Zeti sememangnya dibayar gaji menggunakan duit cukai yang dipungut oleh kerajaan pusat dari rakyat jelata yang jelas sedang dilembukan Kem Mahathir?

Apakah Mahathir tahu, bahawa sekiranya beliau membenarkan laporan CEP diketahui umum, beliau akan turut didesak mendedahkan kesemua laporan siasatan yang dilakukan oleh pihak SPRM dan Bank Negara terhadap 1MDB, sekaligus mendedahkan ketidakserasian dan kejanggalan tertentu dalam laporan-laporan tersebut yang mampu menimbulkan keraguan terhadap Zeti dan Shukri?

Adakah benar apa yang saya diberitahu, bahawa laporan CEP mampu membuktikan bahawa keadaan ekonomi negara yang kian merosot di bawah pentadbiran PH tidak ada sangkut-pautnya dengan ‘kecurian’ dana dari 1MDB ataupun kepincangan dalam pentadbiran Najib, tetapi berkait rapat dengan kepincangan dalam urustadbir Bank Negara oleh Zeti sendiri?

Bersambung…


ARTIKEL-ARTIKEL BERKAITAN:

NGO files police report on Najib’s prosecution

Zeti may have conspired with Ambank to sabotage Najib and 1MDB

Part 2: Proof that Zeti and Ambank officials knew the identities of the RM2.6 billion donors

RM2.6 billion: The untold truth (Part 1)

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...