RAMELI MUSA MERUPAKAN RAKAN PERNIAGAAN DAIM DAN MOKHZANI MAHATHIR

“Saya akan membuat satu laporan polis pada pukul 12.30 tengah hari esok, bersamaan 5hb Mac 2019, di Ibu Pejabat Polis (IPD) di Subang Jaya, Selangor. Laporan ini bertujuan meminta pihak polis menyiasat Americk, Rameli, Pengurus Maybank Jalan Tun Razak dan Bank Negara bagi menentukan tahap penipuan yang berlaku dalam konspirasi jahat mereka untuk menipu bank pusat di UK bagi tujuan menyalurkan wang haram ke dalam akaun peribadi Clare”

Raggie Jessy Rithaudeen

Pengerusi baru Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB), Dato’ Dr Rameli Musa, bukanlah kroni Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepertimana yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak baru-baru ini.

Saya akui, bahawa Rameli sememangnya merupakan rakan karib Anwar pada satu ketika dulu dan berkecimpung dalam arena politik tempatan bermula sejurus selepas Anwar dipecat dari kerajaan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998.

Saya turut akui bahawa Rameli telah banyak membantu Anwar dan sahabat-sahabat beliau dari segi keperluan harian dan kewangan sepertimana yang didedahkan oleh Mohamad Ezam Mohd Nor baru-baru ini.


Tetapi pendedahan Ezam hanya sekerat jalan dan tidak menceritakan bagaimana Rameli akhirnya ditikam belakang oleh Anwar sendiri apabila beliau dilantik sebagai Naib Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Ingress Corporation Berhad bermula 23hb Oktober 2000.

Sejurus sleeps lantikan tersebut, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mula curiga dan khuatir apabila Rameli dilihatnya kerap berhubung dengan Tun Daim Zainuddin dan anak Mahathir, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Saban tahun, hubungan Anwar dan Rameli menjadi semakin regang hingga satu tahap di mana Rameli mengambil keputusan untuk meluaskan aktiviti permiagaan beliau bersama-sama rakan-rakan seperniagaan Daim dan Mokhzani.

Tidak lama kemudian, Rameli menjadi kroni Mahathir dan memulakan aktiviti perniagaan dan kewangan beliau dengan Daim menerusi syarikat Balfour Beatty Rail Sdn Bhd (BBR) dan syarikat Ingress Industrial (Thailand) Public Company Limited, pemegang 51 peratus equiti BBR.

Pada ketika itu, Rameli sudahpun dilantik menjadi Pengerusi BBR dan terlibat secara langsung dalam beberapa projek keretapi tempatan yang diluluskan Mahathir seperti projek landasan berkembar di Lembah Kelang dan Utara Semenanjung.

Rameli turut dilantik menjadi Pengarah Eksekutif Maju Nusa Sdn Bhd yang diterajuinya bersama-sama seorang kenalan rapat Mahathir yang turut merupakan presiden bahagian kewangan syarikat itu, iaitu Ungku Farid Bin Ungku Abd Rahman.

Untuk makluman, Ungku Farid terlibat dalam kapasiti pengurusan di dalam satu syarikat milik langsung Mokhzani dan sanak-saudara Mahathir, iaitu Sapura Holdings Sdn Bhd.

Pada 1hb Mac 2019, pemilik dan pengendali portal Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown, mendakwa bahawa beliau menerima bayaran sebanyak RM1.4 juta dari Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang sebagai memenuhi sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman finah Hadi terhadapnya di luar mahkhamah.

Menurut Clare, bayaran tersebut bukan sebahagian daripada perintah mahkhamah dan dibuat oleh pihak ketiga, iaitu seorang peguam Malaysia yang berbangsa Punjabi, Americk Sidhu, yang didakwanya mewakili Sarawak Report.

Ini merupakan satu pembohongan.

Menerusi artikel yang diterbitkan The Third Force Sabtu lepas, bersamaan 2hb Mac 2019, saya telahpun membuktikan bagaimana kenyataan tersebut bertujuan mengalihkan perhatian rakyat dari satu konspirasi jahat yang melibatkan Clare, Americk, Rameli, Bank Negara dan Pengurus Maybank Jalan Tun Razak untuk menyalurkan wang haram berjumlah RM1.4 juta ke akaun bank Clare di London.

BACA ARTIKEL PENUH DI SINI

Apabila kita teliti isi kandungan artikel tersebut, jelas bahawa Clare telah bersubahat bersama-sama Americk dan Pengurus Maybank Jalan Tun Razak untuk menipu bank pusat di United Kingdom (UK) kononnya dana RM1.4 juta tersebut merupakan pembayaran yang dibuat oleh Hadi sebagai memenuhi sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman fitnah beliau terhadap Clare di luar mahkhamah.

Bagi meyakinkan rakyat Malaysia bahawa dana tersebut sememangnya dibayar oleh Hadi, Clare mendedahkan satu surat yang ditujukan olehnya kepada Pengurus Maybank Jalan Tun Razak dimana beliau mengesahkan telah menerima dana sebanyak RM1.4 juta yang didakwanya berasal dari akaun bank milik anak guam Americk.

Pengendali portal Sarawak Report tersebut turut mendedahkan satu cek pembayaran dana tersebut oleh pihak ketiga yang kononnya mewakili Hadi.

Sejurus selepas itu, Americk mengesahkan bahawa cek tersebut merupakan bahan bukti asli memandangkan bayaran yang tertera padanya telahpun dijelaskan menerusi akaun bank anak guamnya.

Pemeriksaan lanjut yang dilakukan oleh saya sendiri mendapati nombor akaun yang tertera pada cek tersebut milik tak lain tak bukan Dato’ Dr Rameli Musa, iaitu rakan perniagaan, kroni dan rakan keluarga Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Tun Daim Zainuddin.

Spertimana yang telah saya dedahkan sebelum ini, bukan hanya Hadi tidak tahu-menahu berkenaan dana RM1.4 juta tersebut, surat yang didedahkan oleh Clare langsung tidak berkait dengan kes saman Hadi memandangkan surat tersebut tidak pernah difailkan di Mahkhamah Tinggi London.

Malah, bukan hanya perjanjian penyelesaian luar mahkhamah antara Hadi dan Clare tidak menyebut apa-apa berkenaan surat tersebut, tidak wujud satu apapun dokumen rasmi melibatkan Hadi mahupun peguam-peguam beliau yang mampu membuktikan bahawa beliau membayar Clare RM1.4 juta.

Umum perlu faham, walaupun Americk telah lama menyuarakan pandangan beliau berkenaan kes saman Hadi, beliau tidak merupakan peguam Clare dalam kes tersebut malah langsung tidak terlibat dalam apa-apa kapasiti, biar secara langsung mahupun tidak langsung.

Ini memandangkan saman yang dibawa oleh Hadi terhadap Clare difailkan di Mahkhamah Tinggi di London dan bukannya di Malaysia, manakala Clare tidak pernah melantik Americk untuk mewakilinya dalam kes tersebut, tetapi sebaliknya, melantik sebuah syarikat guaman yang berpusat di London.

Americk hanya mewakili Clare dalam kes saman fitnah yang dibawa oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, berhubung satu dakwaan fitnah yang terkandung dalam buku terbitan Sarawak Report yang bertajuk, ‘The Sarawak Report:The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Justeru itu, kenyataan Americk bahawa Clare dibayar RM1.4 juta  oleh pihak ketiga yang mewakili Hadi menjadi satu tanda tanya.

Ini kerana sebarang pembayaran yang melibatkan kes saman fitnah Hadi terhadap Clare seharusnya melibatkan surat perjanjian antara kedua-dua mereka dan seharusnya disaksikan oleh peguam-peguam mereka di London.

Kesemua ini membawa maksud surat yang didedahkan oleh Clare merupakan satu perangkap jahat yang melibatkan satu konspirasi terancang di antara Pengurus Maybank Jalan Tun Razak, Americk dan Clare sendiri untuk menyalurkan wang haram ke United Kingdom (UK).

Ini memandangkan dana sebesar RM1.4 juta tidak mungkin dapat disalurkan terus dari akaun bank anak guam Americk ke akaun bank Clare tanpa melibatkan sebarang pertanyaan dari bank-bank pusat di Malaysia dan di UK.

Dari sini, jelas dilihat bahawa Americk telah bersubahat dengan Pengurus Maybank Jalan Tun Razak dan pegawai dari Bank Negara untuk membuat pengesahan palsu kepada bank pusat di UK.

Pengesahan palsu tersebut membolehkan Clare terlepas dari membayar cukai memandangkan pembayaran dana RM1.4 juta tersebut di failkan di bank pusat UK sebagai bayaran bagi memenuhi persetujuan untuk menyelesaikan saman finah di luar mahkhamah dan bukannya sebagai pendapatan peribadi Clare.

Memandangkan bank pusat di UK telah diberikan maklumat palsu berkenaan sumber sebenar dana tersebut, penyalurannya ke akaun Clare boleh diklasifikasikan sebagai penyaluran wang haram merentasi sempadan.

Justeru itu, saya akan membuat satu laporan polis pada pukul 12.30 tengah hari esok, bersamaan 5hb Mac 2019, di Ibu Pejabat Polis (IPD) di Subang Jaya, Selangor.

Laporan ini bertujuan meminta pihak polis menyiasat Americk, Rameli, Pengurus Maybank Jalan Tun Razak dan Bank Negara bagi menentukan tahap penipuan yang berlaku dalam konspirasi jahat mereka untuk menipu bank pusat di UK bagi tujuan menyalurkan wang haram ke dalam akaun peribadi Clare.

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...