“Tujuan artikel ini adalah untuk membuka mata anda kepada realiti semasa agar anda tidak terkhilaf disebabkan duduk di bawah kepompong propaganda kepalsuan terlalu lama”
Raggie Jessy Rithaudeen
Biarpun pelbagai pencaturan dibuat di peringkat negeri melibatkan kedua-dua Pakatan Harapan Plus (PH Plus) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menunjukkan “siapa lebih berpengaruh,” di peringkat persekutuan, sokongan majoriti kini dilihat lebih memihak kepada PH Plus.
Biarpun Covid-19 telah berulang kali digunakan sebagai alasan untuk menangguh beberapa proses demokrasi yang penting, ahli-ahli parlimen dan pemimpin-pemimpin politik dari kedua-dua belah tidak pernah berhenti berpolitik di belakang tabir biarpun para peniaga dan rakyat jelata dibebani masalah kehilangan sumber pendapatan.
Ini hakikat.
Malah, Perikatan Nasional dilihat gagal menghalang peralihan majoriti Dewan Rakyat biarpun membuat lantikan-lantikan politik ke GLC dan agensi-agensi kerajaan dalam kadar tertinggi dalam sejarah tanah air dan antara yang tertinggi di dunia.
Salah satu perbincangan yang sedang berjalan pada ketika ini melibatkan beberapa ahli parlimen dari Team B (UMNO) dan sekumpulan ahli parlimen dari PPBM.
Perbincangan ini berkisar di sekitar kemungkinan terbentuknya sebuah gabungan baharu bersama kem Mahathir, WARISAN dan sebilangan besar ahli parlimen dari PKR, DAP, AMANAH dan Sarawak.
Suka tak suka, sokongan majoriti telahpun beralih ke kem Mahathir, dan perkara ini telahpun diketahui oleh kepimpinan tertinggi UMNO, PPBM, PAS, DAP, WARISAN, AMANAH, PKR dan GPS.
Massive negotiations ongoing, UMNO split into team A, team B
Tidak lama dahulu, Team A (rujuk artikel atas) mencabar kem Mahathir untuk “menumbangkan kerajaan persekutuan jika berani” dengan mencetuskan pembubaran parlimen.
Sebenarnya, kesemua ini adalah permainan persepsi semata-mata bagi meyakinkan ahli-ahli Team B bahawa Mahathir tidak berani berdepan dengan Pilihan Raya Umum kerana sokongan Melayu-Islam “padu bersama Muafakat Nasional.”
Hakikatnya, Muafakat Nasional dan (atau) Perikatan Nasional dijangka akan kecundang jika Pilihan Raya Umum diadakan sebelum hujung tahun ini atau awal tahun depan tidak kira samada PH Plus bersekutu dengan Team B dan PPBM (blok kerajaan) ataupun tidak.
Ini disebabkan:
1. Undi Melayu-Islam sudahpun berpecah teruk disebabkan perpecahan yang berlaku dalam PPBM.
2. Undi ini akan terus berpecah disebabkan kewujudan Team A dan Team B dalam UMNO.
3. Sebilangan tertentu penyokong PPBM dari kalangan pengundi Melayu-Islam akan marah dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memecat Mahathir dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir selaku pengasas-pengasas bersama PPBM.
4. Sebilangan lagi penyokong dari kalangan pengundi remaja Melayu-Islam turut akan marah dengan Muhyiddin kerana memecat Syed Saddiq Abdul Rahman, seorang lagi pengasas bersama PPBM.
5. Terdapat juga penyokong dari kalangan pengundi Melayu-Islam yang akan marah dengan Muhyiddin kerana membelakangkan Mahathir sambil bersetuju untuk berkerjasama dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, musuh utama akan umbi PPBM.
6. Jumlah keseluruhan penyokong ini dijangka agak besar dan merangkumi mereka yang turut marah dengan Muhyiddin kerana tidak menurut misi asal PPBM untuk menjadi pengganti kepada UMNO dalam memperjuangkan nasib Melayu-Islam.
7. Manakala itu, penyokong PPBM dari kalangan pengundi Melayu-Islam yang pada awalnya gembira dengan kerjasama PPBM-UMNO turut akan kecewa melihat ketidakjujuran puak kartel (dari Team A) yang matlamatnya hanya untuk menguasai pentadbiran persekutuan “dengan apa jua cara sekalipun.”
8. Kumpulan penyokong ini akan kecewa dengan sikap Team A yang tidak ingin bersama gabungan Perikatan Nasional dalam kapasiti rasmi setelah menunggang kedua-dua Muhyiddin dan Datuk Seri Azmin Ali untuk kembali berkuasa.
9. Terdapat juga kumpulan penyokong dari kalangan pengundi Melayu-Islam yang akan kecewa dengan pembebasan Musa Aman dan pelepasan Riza Aziz tidak kira samada kedua-dua kejadian sah di sisi undang-undang atau tidak.
10. Penyokong Muhyiddin turut sedang melihat cara jawatan-jawatan diwujudkan dan diberikan kepada semua ahli parlimen dalam kadar tertinggi dalam sejarah tanah air, jauh lebih tinggi dari kadar pemberian jawatan oleh kerajaan pimpinan UMNO seblum Pilihan Raya Umum ke-14.
11. UMNO sendiri memiliki sekumpulan penyokong dari kalangan pengundi Melayu-Islam berhaluan sederhana yang pernah bertindak menyokong Pakatan Harapan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 kerana marah dengan sikap bongkak dan tamak kuasa segelintir pemimpin UMNO (Team A).
12. Kumpulan ini sudah pasti akan geram melihat bagaimana Team A sedang giat berpolitik di belakang tabir dan bergelut untuk kuasa dan kedudukan biarpun diberi peluang kedua untuk kembali mentadbir.
13. Kumpulan ini dan kumpulan-kumpulan lain turut akan marah melihat ketidakjujuran Team A terhadap gabungan Perikatan Nasional setelah menunggang kedua-dua Muhyiddin dan Datuk Seri Azmin Ali untuk kembali berkuasa.
14. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengundi Melayu-Islam yang marah dengan Muhyiddin, PPBM dan Team A (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kumpulan penentu”) agak besar.
15. Kumpulan penentu ini dijangka tidak akan keluar mengundi ataupun mengundi sesiapa sahaja yang bersama Mahathir sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan sebelum hujung tahun atau awal tahun depan.
16. Ini menjadikan peratusan undi Melayu-Islam yang telah, sedang dan bakal beralih ke kem Mahathir agak besar, mungkin jauh lebih besar dari peralihan yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-14.
Dan kita sudah melihat bagaimana peralihan undi Melayu-Islam dalam peratusan yang kecil sahaja mampu gangu-gugat kedudukan Barisan Nasional ketika Pilihan Raya Umum ke-14.
Pada ketika itu, UMNO turut bersekutu dengan PAS, walaupun bukan menerusi Muafakat Nasional.
17. Perpecahan dalan UMNO dan wujudnya kemungkinan kerjasama antara Team B dan kem Mahathir hanya akan membesarkan lagi peratusan peralihan ini.
18. Undi Cina dan India serta majoriti dari Sabah dan Sarawak pula dijangka terus memihak kepada PH Plus.
19. GPS pula terkhilaf jika bersangka kerjasama dengan PAS mampu menjamin kemenangannya di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
20. Ini kerana sebarang bentuk pertembungan di Sarawak dijangka akan memihak kepada DAP sekiranya GPS bersekutu dengan PAS kerana undi anti-PAS di Sarawak jauh lebih besar dari undi anti-DAP.
21. Justeru, jika DAP mengotakan janji untuk tidak lagi memegang jawatan penting dalam kerajaan persekutuan, peralihan undi Melayu-Islam melibatkan kumpulan penentu akan memberikan peluang kepada sesiapa sahaja dari PH Plus untuk menjadi Perdana Menteri ke-9.
22. Bersandarkan analisis ini, jika PH Plus menamakan Mahathir sekalipun sebagai calon Perdana Menteri ke-9, gabungan berkenaan dijangka akan menang.
23. Jika PH Plus tiba-tiba bertindak menamakan Mukhriz sebagai calon Perdana Menteri ke-9, gabungan berkenaan tetap dijangka akan menang.
24. PH Plus hanya akan berdepan risiko kalah jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.
25. Ini kerana Anwar tidak lagi diterima oleh sebilangan besar pengundi Melayu-Islam biar besar mana sekalipun perpecahan yang melanda UMNO atau PPBM.
26. Suka tak suka, Anwar hanya boleh menjadi Perdana Menteri sekiranya berlaku peralihan kuasa sebelum satu-satu penggal parlimen berakhir.
27. Dengan kata lain, laungan Team A kononnya “Muafakat Nasional akan menang besar” jika Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan adalah propaganda semata-mata.
28. Propaganda ini bakal memakan diri semua pemimpin Team A sepertimana laungan “Barisan Nasional akan menang besar” memakan diri pemimpin-pemimpin UMNO sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
29. Jika anda ingin salahkan sesiapa, salahkan pemimpin-pemimpin dari Team A.
30. Ini kerana pemimpin-pemimpin Team A hanya menjaja konsep “penyatuan ummah” selama ini demi memajukan agenda peribadi masing-masing.
Jangan pula anda berpaut kepada keputusan-keputusan Pilihan Raya Kecil, kerana bukan hanya majoriti Pilihan Raya Kecil yang diadakan melibatkan kubu-kubu kuat Barisan Nasional, sejarah membuktikan, keputusan Pilihan Raya Kecil tidak semestinya menjadi penentu kepada kejayaan satu-satu parti dalam Pilihan Raya Umum.
