Raggie Jessy Rithaudeen
Ramai berasa pelik bila Rafizi Ramli memberitahu para hadirin ketika ceramah jelajah Hiruk bahawa Nurul Izzah harus disokong sebagai Timbalan Presiden parti yang baharu.
Menurut Rafizi, tidak ada jalan lain melainkan perlunya memenangkan Nurul biarpun beliau adalah anak kepada Presiden Parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bertubi-tubi soalan diajukan kepada saya.
Ramai bertanya apakah motif sebenar Rafizi, sedangkan, jika benar beliau mahu Nurul menang, kenapa beliau terus bersaing bagi jawatan yang sama.
Saya pernah menyentuh isu ini, namun ada yang tidak yakin bahawa penjelasan saya memberi gambaran sepenuhnya.
“Ada udang di sebalik batu,” kata beberapa individu yang saya temui secara rambang di luar untuk bertanyakan pendapat mereka.
Baiklah, jika anda ingin tahu apa yang syaki, pertimbangkan yang berikut:
1. Ada dakwaan di media sosial kononnya Rafizi merupakan orang yang melaporkan pegawai Kementerian Dalam Negeri kepada SPRM agar pencalonan Saifuddin Nasution menjadi sukar.
2. Menurut teori konspirasi ini, ‘langkah Rafizi’ mengundang kemarahan di peringkat atasan parti dan menjurus kepada pencalonan Nurul Izzah sebagai pengganti Saifuddin.
3. Saya menolak bulat-bulat terori ini, termasuk juga teori yang mengatakan Rafizi berkomplot untuk tumbangkan kerajaan.
4. Pada pengamatan saya, apa yang Rafizi lakukan ialah sebahagian daripada “strategi menang-menang” jangka panjang yang diilhamkan beliau sendiri.
5. Rafizi tidak ingin menang pertandingan jawatan Timbalan Presiden dan benar-benar ingin duduk sebagai ahli yang bebas bersuara dan mengkritik menuju PRU16.
6. Namun, dia hendak pastikan bahawa sebarang keputusan pemilihan Timbalan Presiden akan memperkuatkan kedudukannya di kalangan akar umbi parti, tidak kira dia menang atau kalah.
7. Disebabkan itu, Rafizi kekal sebagai calon Timbalan Presiden Parti tetapi berkempen untuk menangkan Nurul Izzah, rakan karibnya.
8. Logiknya, jika Rafizi menang dan kekal Timbalan Presiden, beliau akan menjadi Timbalan Presiden yang “jauh lebih kuat” berbanding sekarang.
9. Kekuatan ini ada tiga sebab:
a. pertama, dia mengatasi anak Presiden sendiri
b. kedua, dia menang dalam pada dia meminta untuk kalah, dan
c. ketiga, dia menang dalam pada dia mengkritik halatuju kepimpinan parti
10. Sebaliknya, jika Rafizi kalah, namanya akan dijulang kerana “sanggup meletakan kepentingan parti atas kepentingan peribadi” dan membantu menangkan Nurul Izzah.
11. Kemenangan Nurul akan dilihat sebagai kemenangan “atas ehsan pengorbanan dan kerja keras Rafizi” dan bukannya disebabkan Nurul anak Presiden.
12. Kesudahannya, Rafizi menang tak kira Nurul menang atau kalah – beliau akan dihormati lebih ramai akar umbi kerana berjuang untuk ‘menjaga maruah dan megukuhkan kedudukan parti’, dan suaranya akan makin didengari dan diambil perhatian serius.
13. Rafizi akhirnya akan dilihat sebagai ‘reformis’ jati parti dan menjadi watak paling disukai (favourite) menuju pemilihan presiden 2028.
Rafizi ni bukannya bodo’ atau naif – target sebenar beliau ialah pemilihan 2028, bukan pemilihan kali ini.
Ini sekadar pendapat saya berdasarkan bacaan dan pemerhatian peribadi saya.
