‘Obsesi’ Terhadap Najib Bukan Seperti Yang Anwar Sangkakan, Ada Sebab Lain

Raggie Jessy Rithaudeen

Malaysiakini menulis:

Anwar Ibrahim mempersoalkan “ketaasuban” sesetengah yang jelas terhadap skandal 1MDB dan bekas perdana menteri, Najib Razak – yang kini mendekam dalam penjara – ketika masih ada banyak lagi kes berkaitan rasuah yang melibatkan kerugian bernilai berbilion-bilion ringgit.




Bercakap dalam program 101 East terbitan Al-Jazeera, Perdana Menteri – yang menegaskan sikapnya kekal dalam isu 1MDB – turut menegaskan terdapat berbilion-bilion ringgit lagi yang “dicuri” oleh para pemimpin lain.


Sebenarnya, isu “berbilion-bilion ringgit lagi yang “dicuri” oleh para pemimpin lain” telah DIBANGKITKAN berulang kali oleh Anwar selama hampir dua setengah tahun beliau memimpin.

Namun, sehingga kini, belum ada sebarang pendakwaan Mahkamah yang berkait secara langsung dengan dakwaan itu atau penampilan sebarang bukti yang menunjukkan berbilion-bilion duit negara dicuri oleh pemimpin lain. 

Jadi, seeloknya isu ini tidak terus dibangkitkan, lebih-lebih lagi di arena antarabangsa, kerana ianya memberi persepsi seolah-olah Anwar sudah ada bukti sahih bahawa “berbilion-bilion ringgit telah “dicuri” oleh para pemimpin” selain Najib.

Ianya amat tidak meyakinkan, kerana sebelum pru15, beberapa pemimpin PH yang kini duduk dalam kerajaan mendakwa ada bukti hitam putih penglibatan Zahid dalam skandal LCS, di samping mengaitkan Azam Baki dengan salah laku jenayah. 

Namun, selepas pru15, Zahid terus dilantik sebagai TPM dalam pada beliau berdepan tuduhan Mahkamah, manakala Azam Baki pula dilanjutkan kontraknya dua kali walaupun kes beliau tidak pernah disiasat lanjut seperti yang dijanjikan.

Loading...

Saya dah lupakan kes Zahid dan dah “move on,” sebab saya akur dengan proses perundangan dan keputusan mahkamah yang berpaksikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Saya fikir Anwar juga perlu lupakan obsesi beliau sendiri dengan dakwaan “berbilion-bilion ringgit lagi yang “dicuri” oleh para pemimpin lain” yang sehingga kini belum terbukti.

Sebaliknya, Anwar perlu beri tumpuan serius kepada penambahbaikan ekonomi negara dan mendengar segala rintihan rakyat.

Ada perkembangan positif di bawah pentadbiran Anwar, dan saya iktiraf perkembangan ini.

Namun, masih banyak perlu dilakukan, malah saya masih rasa ekonomi negara belum berada atas landasan yang betul, dan banyak langkah kerajaan (seperti menaikkan cukai) berisiko membawa kemudaratan besar. 

Seperkara lagi:

‘Obsesi’ yang sebenar bukanlah terhadap Najib, tetapi soal perundangan membabitkan pengampunan Najib dan kuasa mutlak Yang Di-Pertuan Agong.

Anwar perlu elak mengguris perasaan mana-mana segmen rakyat dengan membuat rumusan yang tidak menepati rintihan sebenar segmen berkenaan. 

Hakikatnya, ada dari kalangan rakyat tertanya-tanya kenapa Najib tidak dijadikan tahanan rumah, sedangkan itulah yang diarahkan dalam titah adendum mantan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah.

Rakyat keliru, dan kenyataan pemimpin sendiri kadang-kala menambah kepada kekeliruan itu. 

Sebagai contoh, Anwar terkhilaf bila memberitahu Al-Jazeera (berdasarkan laporan Malaysiakini) bahawa pengampunan Najib ialah kuasa mutlak lembaga pengampunan.

Semalam, saya menulis:

PENGAMPUNAN NAJIB ADALAH KUASA BUDI BICARA MUTLAK YANG DI-PERTUAN AGONG

Soalan terkini yang diajukan kepada saya: 

“Adakah permohonan pengampunan Najib kuasa mutlak Lembaga Pengampunan?”

Jawapan saya:

Permohonan pengampunan Najib Razak adalah kuasa budi bicara mutlak Yang Di-Pertuan Agong, bukannya Lembaga Pengampunan.

Perkara ini telah saya bincang berulang kali bersama peguam pakar, berpandu kepada tafsiran-tafsiran mahkamah ke atas peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Berikut adalah beberapa fakta susulan daripada tafsiran-tafsiran tersebut yang wajib diberi perhatian:

1. Mahkamah telah memberikan takrifan jelas tentang maksud perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dalam beberapa kes yang dibangkitkan di medan mahkamah sejak tahun 70-an lagi.

2. Dalam semua kes, mahkamah telah memutuskan dengan jelas bahawa budi bicara Agong adalah mutlak.

3. Malah, samada Lembaga Pengampunan dibentuk dengan sahih atau tidak adalah tidak relevan, dan samada Lembaga Pengampunan ada memberi nasihat atau tidak pun tidak penting.

4. Begitu juga, samada Peguam Negara ada memberi laporan kepada Lembaga Pengampunan atau tidak pun tidak relevan.

5. Pokoknya, Lembaga Pengampunan tidak mengikat keputusan Yang Di-Pertuan Agong, sekaligus bermakna ‘nasihat’ Lembaga Pengampunan bukannya sesuatu yang wajib dipatuhi.

6. Walaupun berlaku pindaan kepada Perkara 40, Fasal 1 (A) pada 20 Jun 1994, keputusan mahkamah bagi kes-kes selepas itu mengekalkan bahawa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dalam soal pengampunan (Perkara 42) kekal mutlak.

Saya tidak berniat mencampuri urusan permohonan pengampunan Najib, tetapi kesemua yang tersebut di atas adalah fakta.

RJ Rithaudeen



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...