
“Penta’asub tetap penta’asub, dan ramai di antara penta’asub Najib terus menuduh Mahathir dan Pakatan Harapan ‘memfitnah’ Bossku (gelaran yang mereka berikan kepada Najib). Apakah mereka akan terus berpegang pada persepsi palsu ini, sedangkan keputusan sebulat suara panel tiga hakim hari ini dibuat di bawah pentadbiran Ismail Sabri yang Najib sendiri gelar sebagai “kerajaan BN?”
Raggie Jessy Rithaudeen
4 حاكيم كات نجيب برساله، تيڬ باوه كراجأن بن – ادكه ڤينتاءاسوب ماسيه فيكير محضير فتنه نجيب؟
Hari ini, ketika Mahkamah Rayuan sedang membaca keputusan kes Rayuan SRC International membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak, berbelas-belas penyokong Najib dilaporkan berkumpul di sana sini bagi menyuarakan solidariti mereka bersama perdana menteri itu.
Menurut laporan, kumpulan penyokong ini melaungkan ‘Hidup Bossku’ dan takbir serta menyanyikan lagu “Inilah Barisan Kita” dengan penuh semangat.
Mereka juga mendoakan agar Najib selamat dari hukuman bersalah.
“Musnahkanlah, rendahkanlah hati orang-orang yang memfitnah Bossku,” kata salah seorang penyokong.
Sebelum ini, ramai penta’asub Najib di media sosial mendakwa tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah fitnah semata-mata, direka samada oleh Pakatan Harapan atau Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan dan Mahathir dituduh sengaja menidakkan apa sahaja penjelasan yang dibuat oleh kerajaan pimpinan Najib dan Najib sendiri berhubung skandal 1MDB dan SRC.
Namun, hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap Najib, yang disabit dengan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).
Panel hakim memutuskan bahawa hakim perbicaraan Mahkamah Tinggi adalah betul apabila mendapati bahawa tiga pertuduhan pecah amanah terhadap Najib telah dibuktikan tanpa keraguan munasabah.
Panel hakim juga bersetuju dengan keputusan hakim perbicaraan bahawa Najib Razak selaku perdana menteri ketika itu mempunyai kepentingan peribadi dalam Kabinet apabila meluluskan jaminan kerajaan sebanyak RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC.
Ketua Panel Hakim, Abdul Karim Abdul Jalil, memutuskan bahawa Najib mempunyai kuasa penuh ke atas SRC International serta pengetahuan mengenai kemasukan RM42 juta ke akaunnya di antara tahun 2014 dan 2015.
Beliau turut memutuskan bahawa RM42 juta aliran wang keluar dari SRC dan ke beberapa syarikat dilakukan bagi menyukarkan pengesanan dan mengelak dikesan pihak berkuasa.
Mahkamah juga bersetuju dengan hakim perbicaraan bahawa terdapat penyelewengan jelas sebanyak RM42 juta oleh Najib untuk kegunaannya sendiri.
Abdul Karim berkata, dakwaan pembelaan kononnya wujud derma dari Arab yang masuk ke akaun Najib adalah tidak boleh dipertahankan.
Beliau menambah, tidak ada sebab untuk wang itu terlebih dahulu dideposit ke akaun SRC yang merupakan entiti milik penuh Kementerian Kewangan jika ia sememangnya derma dari Arab.
Ini menjadikan jumlah keseluruhan hakim yang menyabitkan Najib dengan kesalahan jenayah seramai empat orang, tiga daripadanya di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri.
Sebenarnya, amat sukar bagi kerajaan mencampuri urusan mahkamah dalam kes SRC dan 1MDB, kerana kes-kes ini terlalu rumit, berserta bukti kukuh dan diperhatikan kerajaan-kerajaan seluruh dunia.
Malah, ada di antara isu yang dibangkitkan dalam kes-kes ini saling berkait dengan kes lain yang berjalan di negara lain, menjadikannya amat sukar untuk mana-mana pihak memanipulasi keadaan bagi membebaskan Najib.
Biarpun begitu, penta’asub tetap penta’asub, dan ramai di antara penta’asub Najib terus menuduh Mahathir dan Pakatan Harapan ‘memfitnah’ Bossku (gelaran yang mereka berikan kepada Najib).
Apakah mereka terus berpegang pada persepsi palsu ini, sedangkan keputusan sebulat suara panel tiga hakim hari ini dibuat di bawah pentadbiran Ismail Sabri yang Najib sendiri gelar sebagai “kerajaan BN?”
Apakah mereka lupa, bahawa orang yang menuduh orang lain sebagai pemfitnah sendiri merupakan pemfitnah, sekiranya tuduhan yang dibuat tidak berasas atau tidak bersandar pada fakta dan kebenaran?
WAJIB BACA:
MALAYSIAN POLITICS – THE UGLY AND BITTER TRUTH EVERYONE SHOULD KNOW (PART 1)
