Ada banyak yang Muhyiddin rahsiakan…

Muhyiddin mendakwa kononnya Yang Di-Pertuan Agong bersetuju untuk menunggu sehingga bulan September sebelum usul undi percaya dibentangkan di parlimen. Sumber (gambar): Fail TTF

“Saya difahamkan, Yang Di-Pertuan Agong sebenarnya menunggu untuk melihat samada Muhyiddin mengundurkan diri secara sukarela atau pihak Istana terpaksa mengeluarkan kenyataan dan mengambil tindakan”

Raggie Jessy Rithaudeen

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat mengelakkan keruntuhan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional dan kini berada di penghujung kerjayanya sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Rabu lalu, setelah selesai menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Muhyiddin mendakwa kononnya Seri Paduka Baginda Tuanku bersetuju agar usul undi percaya dibentangkan September ini apabila parlimen bersidang.




Namun, amat sukar bagi rakyat jelata mempercayai Muhyiddin dan kerajaan pimpinannya yang berulang kali memperdaya rakyat demi kelangsungan pentadbirannya yang sah hilang majoriti.

Jom kita imbas kembali:

1. Pada 12 Januari 2021, ketika mengumumkan Darurat, Muhyiddin memberitahu bahawa Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak boleh bersidang sehingga satu tarikh yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dengan berbuat demikian, Muhyiddin menimbulkan persepsi kononnya keputusan untuk tidak mengadakan sidang parlimen dalam tempoh Darurat adalah atas kehendak Yang Di-Pertuan Agong.

Namun, perkara ini terbukti satu pembohongan apabila Yang Di-Pertuan Agong sendiri menitahkan bahawa tidak ada halangan untuk parlimen bersidang dalam tempoh Darurat.

Untuk mengalihkan perhatian daripada pembohongan ini, Muhyiddin cepat-cepat mendakwa kononnya parlimen tidak dapat bersidang dalam tempoh terdekat kerana kes harian Covid-19 terlalu tinggi.

Walaubagaimanapun, sehingga pertengahan Jun 2021, tidak ada sebarang tanda sidang parlimen akan diadakan dalam tempoh Darurat.

Loading...

2. Melihatkan keadaan ini, pada 16hb Jun 2021, Yang di-Pertuan Agong terpaksa menitahkan kerajaan untuk melaksanakan sidang khas parlimen bagi membahaskan Proklamasi dan Ordinan Darurat.

Walaubagaimanapun, Seri Paduka Baginda Tuanku tidak menetapkan sebarang tarikh buat persidangan itu, cuma bahawa ianya perlu diadakan secepat mungkin.

Amat jelas bahawa Yang di-Pertuan Agong merujuk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mewajibkan parlimen membahaskan Proklamasi dan Ordinan Darurat sebelum 1hb Ogos 2021, tarikh tamat Darurat.

Sebagai Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah pasti tahu bahawa perbahasan itu harus diadakan dalam tempoh Darurat, bukannya selepas itu.

Tetapi Takiyuddin buat-buat tidak tahu.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa parlimen hanya akan bersidang pada bulan September atau Oktober memandangkan Yang Di-Pertuan Agong tidak menetapkan bila parlimen harus bersidang.

Kenyataan Takiyuddin bukan hanya mencabar kuasa Yang Di-Pertuan Agong, beliau seolah-olah memberitahu, “Kerajaan Malaysia mengatasi Perlembagaan Persekutuan dan tidak perlu menuruti titah Yang Di-Pertuan Agong. “

Apa yang Muhyiddin buat?

Beliau mengulangi pendirian Takiyuddin, sekaligus melanggar sumpah jawatannya sebagai Perdana Menteri untuk menjunjung kasih titah Yang Di-Pertuan Agong dan memelihara keluhuran Perlembagaan.

3. Pada 29 Jun 2021, Yang Di-Pertuan Agong terpaksa menitahkan kerajaan buat kali kedua untuk melaksanakan sidang khas parlimen bagi membahaskan Proklamasi dan Ordinan Darurat.

Ini mendorong Muhyiddin untuk menetapkan 26hb Julai hingga 2hb Ogos 2021 sebagai tempoh persidangan khas parlimen.

Namun, Muhyiddin tidak memberi sebarang ruang untuk sesi perdebatan atau pertanyaan kepada menteri, apatah lagi ruang untuk mengundi Rang Undang-Undang.

Bukan hanya beliau melanggar titah Yang Di-Pertuan Agong, beliau secara terbuka mengenepikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan sekali lagi melanggar sumpah jawatannya sebagai Perdana Menteri.

4. Pada 26 Julai 2021, Takiyuddin mengejutkan Dewan Rakyat dengan dakwaan kononnya semua Ordinan Darurat terbatal berkuat kuasa 21hb Julai 2021.

Bagaimana pun, ini ternyata satu pembohongan apabila Istana Negara sendiri mengesahkan pada 29hb Julai 2021 bahawa pembatalan itu tidak pernah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

Menerusi kenyataan rasmi, pihak Istana turut mendedahkan bahawa Takiyuddin dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun tidak menunaikan janji mereka kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membahaskan pembatalan itu di Parlimen.

Daripada menegur Takiyuddin atau menjelaskan perkara sebenar kepada ahli-ahli parlimen, Muhyiddin memilih untuk keluar terus dari Dewan Rakyat, sekaligus membuktikan bahawa beliau sendiri bersubahat dengan Menteri Undang-Undang untuk mengelirukan Dewan Rakyat.

Pada 4hb Ogos 2021, Muhyiddin telah pergi menghadap Yang Di-Pertuan Agong, sehari selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan UMNO untuk menarik sokongan parti itu terhadap Muhyiddin dan kerajaan.

Dalam membuat pengumuman itu, Zahid mendedahkan bahawa Muhyiddin sebenarnya telah hilang majoriti dan mengesahkan bahawa bukti perkara itu telah dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong dalam bentuk akuan berkanun (SD) ahli-ahli parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Kita sedia maklum bahawa Zahid mempersembahkan lapan SD kepada Yang Di-Pertuan Agong pada 30hb Julai 2021 dan beberapa lagi SD selepas tarikh itu.

Saya difahamkan bahwa Datuk Seri Ismail Sabri berbohong kepada media apabila mendakwa kononnya 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional menyuarakan sokongan mereka terhadap Muhyiddin.

Menurut sumber, bukan hanya bilangan sebenar jauh lebih rendah daripada jumlah yang diumumkan oleh Ismail Sabri, ada di kalangan ‘penyokong’ Muhyiddin enggan menandatangai akuan bersumpah dan mengambil sikap “tunggu dan lihat.”

Apa pun, Muhyiddin mendakwa kononnya Yang Di-Pertuan Agong bersetuju untuk menunggu sehingga bulan September sebelum usul undi percaya dibentangkan di parlimen.

Apakah Muhyiddin bercakap benar?

Jangan lupa, ini adalah orang sama yang memperdaya rakyat Malaysia, megelirukan Dewan Rakyat, mengengkari titah Yang Di-Pertuan Agong, mencabar kuasa-kuasa Yang Di-Pertuan Agong, mencalar maruah Isntitusi Diraja dan memperlekeh keluhuran perlembagaan.

Saya lihat bahawa Istana Negara tidak mengemas kini Facebooknya seperti biasa berhubung pertemuan Muhyiddin dengan Yang Di-Pertuan Agong Rabu lalu, dan saya difahamkan bahawa pihak Istana akan membuat kenyataan rasmi dalam masa terdekat.

Saya turut difahamkan bahawa Yang Di-Pertuan Agong sebenarnya menunggu untuk melihat samada Muhyiddin mengundurkan diri secara sukarela sebelum pihak Istana mengeluarkan sebarang kenyataan  atau mengambil sebarang tindakan.

Ya, ada banyak yang dirahsiakan oleh Muhyiddin berhubung pertemuannya dengan Yang Di-Pertuan Agong, dan satu Malaysia tahu bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku tidak berpuas hati dengan Muhyiddin malah menyuarakan rasa kecewanya terhadap kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Jadi buat apa saya mempercayai Muhyiddin?

Bukankah lebih elok saya menunggu kenyataan rasmi dari Istana Negara?

WAJIB BACA:

Terkini: Muhyiddin Yassin tumbang, UMNO putuskan tarik sokongan terhadap kerajaan berkuatkuasa serta merta



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...