
“Larangan ini mengesahkan perpecahan serius dalam UMNO, di mana kepimpinan parti tidak dapat mengawal tindak tanduk menteri, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, yang dilihat memihak kepada Muhyiddin”
Raggie Jessy Rithaudeen
Ramai ahli parlimen UMNO dan Pakatan Harapan tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan untuk melarang apa juga bentuk perhimpunan yang berkaitan dengan pilihan raya negeri Melaka sehingga 27 November depan.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menuduh kerajaan takut berdepan dengan pengundi di Melaka dan mengarahkan peguam mengkaji sama ada larangan yang diumumkan oleh Khairy Jamaluddin mematuhi peraturan pilihan raya.
Hari ini pula, Datuk Seri Ahmad Maslan menyuarakan rasa tidak setuju dengan larangan berkenaan biarpun beliau tergolong sebagai “ahli parlimen blok kerajaan.”
Tetapi Kluster Menteri tidak membantah, malah Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilihat menyokong larangan tersebut sambil menjelaskan bahawa majlis perkahwinan boleh diteruskan dalam tempoh larangan.
Tahu kenapa?
Sebab Kluster menteri berpihak kepada PPBM, dan larangan ini merencatkan keberkesanan jentera Pilihan Raya UMNO dan Pakatan Harapan tetapi tidak memberi kesan mendadak terhadap jentera Pilihan Raya PPBM yang sememangnya tidak seberapa.
Inilah kesan sebenar larangan yang diumumkan oleh Khairy, dan inlah sebabnya Kluster Mahkamah dan Pakatan Harapan tidak berpuas hati.
Saya percaya semua ini adalah angkara Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang tidak berpuas hati dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM di Melaka.
Larangan ini secara tidak langsung menyerlahkan pengaruh sebenar Muhyiddin dalam kerajaan dan perpecahan serius yang berlaku dalam UMNO, di mana kepimpinan parti tidak dapat mengawal tindak tanduk menteri, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri, yang dilihat memihak kepada Muhyiddin.
Memang tidak masuk akal larangan ini dikuatkuasakan, sedangkan kerajaan boleh dengan mudah meminta agar Darurat diisytiharkan di Melaka jika benar Kementerian Kesihatan takut angka Covid-19 akan melonjak naik semula.
Lagi pun, Khairy sudah menegaskan bahawa kita tidak harus obses dengan angka Covid dan negara bakal masuk fasa endemik, malah lebih 90% dewasa sudah disuntik dua kali.
Kenyataan Hishammuddin lagi pelik, seolah-olah virus Covid-19 di Melaka tidak suka majlis kahwin dan lebih seronok menyerang ahli-ahli politik dan mereka yang menghadiri ceramah.
Apa pun, saya percaya Muhyiddin dan Ismail Sabri sedang melihat sekiranya Zahid akan berubah fikiran dan bersetuju untuk bekerjasama dengan PPBM di Melaka.
Jika kerjasama ini berlaku, saya percaya larangan yang diumumkan oleh Khairy akan dibatalkan secara tiba-tiba atas alasan “kerajaan mendapat pengesahan daripada semua ketua parti bahawa SOP pilihan raya akan dipantau dengan ketat.”
WAJIB BACA:
Khairy dicabar debat kenyataan bongkak ‘kita akan susahkan hidup anda’
