“…mustahil DAP dan PKR boleh mencatatkan peningkatan pada Pilihan Raya Umum ke-16, malah saya jangkakan bahawa Pakatan Harapan akan hanya meraih 55 kerusi, manakala UMNO, sekiranya kekal di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan lenyap buat selama-lamanya”
Raggie Jessy Rithaudeen
ڤريكتن تانه اير ﴿ڤتا﴾ ممڤو لڽڤكن ڤقر، دڤ & امنو
UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI
Pilihan Raya Umum ke-13, ke-14 dan ke-15 membuktikan beberapa perkara, antaranya:
1. Pakatan Harapan tidak mungkin menaruh sepenuh harapan terhadap pengundi bukan Muslim untuk menawan Putrajaya,
2. Pakatan Harapan tidak mungkin memperolehi sokongan Melayu-Islam dalam bilangan yang mencukupi untuk menawan Putrajaya tanpa bantuan seorang ikon dari UMNO yang cukup disegani (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “heavyweight dari UMNO”), dan
3. Jumlah kerusi yang mampu dimenangi oleh Pakatan Harapan akan merosot dari pilihan raya ke pilihan raya selagi gabungan itu tidak bekerjasama dengan heavyweight dari UMNO.
Pilihan Raya Umum ke-13
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, PKR dan DAP memenangi sejumlah 68 kerusi, manakala PAS, yang merupakan sekutu PKR dan DAP pada ketika itu, berjaya meraih 21 kerusi.
Namun, jumlah ini (89 kerusi) tidak mencukupi untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk kerajaan, kerana Barisan Nasional berjaya memperolehi majoriti mudah.
Maka timbul kesedaran di kalangan kepimpinan PKR dan DAP bahawa:
1. PAS tidak mampu menarik pengundi Melayu-Islam dari UMNO dalam bilangan yang mencukupi untuk membolehkan Pakatan Rakyat menawan Putrajaya,
2. Pakatan Rakyat perlu melemahkan UMNO, agar jumlah perolehan kerusi gabungan itu mampu mengatasi jumlah perolehan kerusi Barisan Nasional, dan
3. Pakatan Rakyat memerlukan seorang heavyweight dari UMNO, bukannya PAS, untuk bersama menawan Putrajaya.
Maka bermulalah kisah DAP mencari alasan untuk menjarakkan diri dari Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan akhirnya, parti itu mengisytiharkan bahawa PAS tidak lagi bersama Pakatan Rakyat.
Sebagai ganti, DAP membantu Mohamad Sabu mewujudkan Parti AMANAH Negara dan menjenamakan semula Pakatan Rakyat sebagai Pakatan Harapan.
Selepas itu, Lim Kit Siang melabelkan kerajaan pimpinan UMNO sebagai “Pengamal Kleptokrasi” dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam skandal 1MDB.
Kemudian, Lim Kit Siang bersetuju untuk bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, seorang heavyweight dari UMNO yang cukup disegani dan dihormati.
Kerjasama ini diwujudkan atas kesefahaman bahawa Kleptokrat UMNO adalah musuh yang terlalu besar, dan disebabkan itu, Mahathir dan Kit Siang perlu mengenepikan permusuhan sesama mereka demi menumbangkan musuh yang lebih besar itu.
Berkat kerjasama ini, pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan berjaya meraih 113 kerusi, manakala Barisan Nasional hanya memperolehi 79 kerusi.
Pilihan Raya ini membuktikan bahawa:
1. Ada pengundi Melayu-Islam yang rela mengalihkan sokongan dari UMNO ke Pakatan Harapan (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “Kluster Pengundi Marah”) dengan syarat ada heavyweight dari UMNO yang bersetuju untuk bersama Pakatan Harapan, dan
2. Kluster Pengundi Marah perlu cukup marah dengan UMNO sehingga mereka bersetuju bahawa kerjasama dengan DAP “terpaksa dilakukan” demi menumpaskan “musuh yang lebih besar.”
Dalam erti kata lain, Kluster Pengundi Marah akan hanya bersetuju untuk menyokong DAP sebagai “langkah jangka pendek” sementara menunggu UMNO dibersihkan atau “dijernihkan.”
Pilihan Raya Umum ke-15
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, DAP dan PKR begitu yakin bahawa kempen “kerajaan gagal” di bawah zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memastikan bahawa Kluster Pengundi Marah tidak akan beralih sokongan kepada Perikatan Nasional.
Ini menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi begitu bongkak sehingga dia menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Mahathir.
Namun, Anwar tersilap langkah – Pakatan Harapan menunjukkan perosotan prestasi yang ketara (82 kerusi) berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14, manakala Perikatan Nasional mengejutkan satu Malaysia dengan perolehan 74 kerusi.
Peratus pengundi Melayu-Islam yang menyokong Pakatan Harapan merosot teruk (hanya 11 peratus), menandakan Kluster Pengundi Marah tidak bersetuju untuk menyokong DAP selagi tidak ada heavyweight dari UMNO bersama Pakatan Harapan.
Kesimpulannya, jika Pakatan Harapan tidak dibantu oleh seorang heavyweight dari UMNO, Kluster Pengundi Marah akan menolak terus DAP dan mencari perkumpulan lain yang dipimpin oleh heavyweight dari UMNO, sekalipun heavyweight itu merupakan seorang yang mereka pernah tolak pada satu ketika dulu.
Di manakah semua heavyweight dari UMNO?
Perikatan Nasional diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, seorang heavyweight dari UMNO.
Muafakat Nasional pula bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam dan diketuai oleh seorang lagi heavyweight dari UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Sekiranya GTA di bawah kepimpinan Mahathir (seorang lagi heavyweight) berkongsi pentas dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), satu gelombang penyatuan besar akan melanda tanah air.
Gelombang ini akan memastikan bahawa gandingan GTA-PN-MN menang majoriti dua per tiga pada Pilihan Raya Umum ke-16.
Prestasi DAP dan PKR tidak mungkin meningkat, kerana kedua-dua parti ini sudah mencapai tahap maksimum dengan sokongan hampir kesemua pengundi Cina dan India.
Manakala itu, peningkatan dalam peratus pengundi Cina dan India di Malaysia dari tahun ke tahun terlalu perlahan jika dibandingkan dengan pengundi Melayu-Islam.
Maka mustahil DAP dan PKR boleh mencatatkan peningkatan pada Pilihan Raya Umum ke-16.
Malah, saya jangkakan bahawa Pakatan Harapan akan hanya meraih 55 kerusi, manakala UMNO, sekiranya kekal di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, akan lenyap buat selama-lamanya.
Ini fakta, bukan auta!!!
