“Saya berani bertaruh, bahawa rakyat akan menolak bulat-bulat sebarang bentuk kerjasama dengan PPBM dan PAS jika rakyat melihat kemunculan bendera Perikatan Nasional atau dapat bau bahawa Muhyiddin ingin kembali menjadi Perdana Menteri”
Raggie Jessy Rithaudeen
اد سبب محي الدين ترهيڬيه-هيڬيه جومڤا محضير
Nota: Untuk tujuan penerbitan ini, peratus undi rosak pada Pilihan Raya Negeri Johor diabaikan dan tidak diambil kira
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung pada 12hb Mac 2022, Perikatan Nasional mendapat sokongan 13.1 peratus jumlah pengundi berdaftar, berbanding Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), yang hanya meraih sokongan 0.7 peratus.
Namun, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhegeh-hegeh bertemu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan kemungkinan menjadi calon Perdana Menteri, dan kemungkinan PEJUANG dan Perikatan Nasional membentuk gabungan baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Apakah sebab sebenar Muhyiddin bertemu dengan Mahathir?
(rujuk juga video di hujung bawah atau klik di sini)
Lebih tepat lagi, kenapakah sebuah gabungan (Perikatan Nasional) yang prestasinya berlipat kali ganda lebih ‘meyakinkan’ berbanding PEJUANG di Johor, terpaksa bergantung kepada sokongan Mahathir bagi menghadapi PRU15?
Jawapannya mudah – kedua-dua PPBM dan PAS sedar bahawa keputusan PRN Johor membayangkan penolakkan 46.49 peratus pengundi berdaftar terhadap Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.
Ya, hampir separuh pengundi berdaftar tidak keluar mengundi, dan ramai penganalisis dan pemerhati politik yakin bahawa ianya tiada kaitan langsung dengan krisis kesihatan.
Ini kerana rakyat menjalani kehidupan harian seperti biasa sehari dua sebelum tarikh mengundi, dan perkara ini dapat dilihat dengan jelas di gedung membeli-belah, pasaraya dan di kedai-kedai makan.
Saya sempat juga berbincang dengan wakil beberapa kumpulan penyelidik yang menjalankan kajian di Johor sebelum hari mengundi, termasuk wakil dari Institut Darul Ehsan, dan semuanya bersetuju bahawa krisis kesihatan tidak menghalang warga Johor daripada keluar mengundi.
Rumusannya, hampir semua yang tidak keluar mengundi memboikot PRN Johor, dan disebabkan boikot ini, Barisan Nasional berjaya memperolehi majoriti dua per tiga walaupun meraih sokongan hanya 23 peratus pengundi Johor.
Ini sekaligus menjadikan keputusan PRN Johor terpesong dari sudut moral, kerana Barisan Nasional berjaya membentuk sebuah kerajaan dengan majoriti teramat besar, biarpun lebih tiga per empat pengundi tidak memilih gabungan itu.
Dan berdasarkan penolakkan besar-besaran terhadap PKR, PPBM, PAS dan AMANAH (dan juga sedikit sebanyak DAP) di beberapa PRN sebelum ini, sebahagian besar yang tidak keluar mengundi di Johor bukannya penyokong Barisan Nasional, Perikatan Nasional atau Pakatan Harapan.
Ini bermakna, parti-parti alternatif seperti PEJUANG dan WARISAN mempunyai saham yang cukup besar dan mampu menguburkan Barisan Nasional, cuma pengundi perlu diyakinkan untuk keluar mengundi dengan satu formula baharu yang tidak pernah dibentangkan oleh mana-mana gabungan sebelum ini.
Inilah sebabnya Muhyiddin terhegeh-hegeh berjumpa dengan Mahathir.
Kenapa Muhyiddin memilih Mahathir dan bukannya Anwar?
(rujuk juga video di hujung bawah atau klik di sini)
Jika PKR, DAP dan AMANAH menjalin kerjasama dengan Muhyiddin atau PPBM menjelang PRU15, saki baki penyokong DAP akan menghukum parti itu kerana bersekongkol dengan individu yang mencetuskan kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
Tak perlulah kita cerita tentang PKR, kerana parti ini jelas ditolak oleh pengundi di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, menandakan seluruh rakyat Malaysia menolak kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala itu, Barisan Nasional tidak mungkin akan bekerjasama dengan PPBM, kerana jika kerjasama ini terjalin, sokongan terhadap gabungan itu yang tidak seberapa (kurang dari 25 peratus di Johor) akan terus merosot dengan pengunduran pengundi atas pagar pada PRU15.
Jadi Muhyiddin tidak ada pilihan melainkan bekerjasama dengan PEJUANG.
Tapi bukankah Wan Fahysal mengesahkan bahawa PPBM ada berbincang dengan parti-parti lain?
Pada tanggapan saya, perbincangan ini (andai kata ada) hanyalah ‘sandiwara’ bagi menimbulkan persepsi kononnya Muhyiddin sedang ‘berbincang’ dengan semua parti pembangkang bagi ‘mendirikan’ khemah besar pembangkang.
Hakikatnya, PEJUANG dan WARISAN mempunyai saham pengundi yang cukup besar berdasarkan keputusan PRN Johor, dan pada pendapat saya, PPBM ingin menjadi sebahagian daripada gabungan parti-parti alternatif untuk meraih undi ini.
Muhyiddin sedar bahawa ramai akan keluar mengundi pada PRU15 jika PEJUANG, WARISAN, Piagam Rakyat dan parti-parti kecil lain berjaya menampilkan satu formula luar biasa.
Syaratnya, pengundi perlu yakin bahawa parti-parti ini mampu membentuk sebuah kerajaan yang tidak mampu diganggu gugat oleh mana-mana pihak, sepertimana yang berlaku pada 2019.
Jika formula yang ditampilkan oleh parti-parti ini diterima rakyat, bukan hanya ramai akan keluar mengundi, sebahagian besar pengundi atas pagar dijangka akan beralih sokongan kepada blok alternatif.
Sebelum ini, saya ada mencadangkan penubuhan sebuah majlis penasihat (“The Rakyat’s Council”) bagi menasihati dan membimbing sebuah pergabungan parti-parti politik dan kumpulan bukan politik (Piagam Rakyat), di bawah bumbung “Gerakan Pejuang Nasional” (GPN).
Tujuan utama penubuhan “The Rakyat’s Council” ini adalah bagi menjarakkan GPN dari polemik “siapa akan jadi Perdana Menteri,” kerana rakyat lebih mementingkan barisan kepimpinan berjiwa rakyat yang mampu menjamin kestabilan politik, bukannya “siapa akan jadi Perdana Menteri.”
Saya mencadangkan beberapa nama bagi menganggotai “The Rakyat’s Council,” antaranya, Tun Dr Mahathir Mohamad (sebagai tokoh negarawan, bukannya pengerusi PEJUANG), Tengku Razaleigh Hamzah (sebagai tokoh negarawan, bukannya ahli UMNO), Tan Sri Rafidan Aziz, Tun Daim Zainuddin, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dan seorang taikun yang diterima segenap lapisan masyarakat.
Jadi usahlah Muhyiddin bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri – rakyat tidak ingin tahu siapa akan jadi Perdana Menteri, yang mereka ingin tahu ialah formula yang bakal diketengahkan oleh blok alternatif sebagai janji kestabilan dan kemakmuran.
Saya berani bertaruh, bahawa rakyat akan menolak bulat-bulat sebarang bentuk kerjasama dengan PPBM dan PAS jika rakyat melihat kemunculan bendera Perikatan Nasional atau dapat bau bahawa Muhyiddin ingin kembali menjadi Perdana Menteri.
TONTON: MUHYIDDIN GELABAH
