“Hakikat tetap hakikat, dan hakikatnya, tidak pernah ada mana-mana gabungan parti pemerintah sebelum ini yang menetapkan secara dasar pelantikan semua ahli parlimen dari blok kerajaan (yang tidak menjawat jawatan menteri atau timbalan menteri) ke GLC”
Raggie Jessy Rithaudeen
ادكه لانتيكن سموا اهلي ڤرليمين ك شريكت بركاءيتن كراجأن ﴿ڬلچ﴾ واجر؟ اين جواڤن ساي…
Pada 25hb Disember 2018, ahli PAS, Mohd Nasir Abdullah, menulis di Harakah Daily bahawa lantikan politik ke Lembaga Pengarah GLC sudah menjadi kelaziman kepada mana-mana kerajaan dan tidak menjadi kesalahan.
Menurut Nasir, jawatan-jawatan tertentu dalam GLC pastinya akan diberikan kepada individu-individu terpercaya dari parti yang membentuk kerajaan memandangkan politik zaman ini adalah politik berteraskan parti.
Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh Nasir adalah betul.
Bagaimana boleh betul?
Ketika Pakatan Harapan masih berkuasa, saya sendiri pernah menulis bahawa lantikan politik adalah perkara biasa yang tidak perlu dipertikai, kerana sudah jadi kelaziman mana-mana kerajaan di dunia menggantikan penjawat-penjawat berpangkat tinggi dengan lantikan politik baharu apabila berlaku pertukaran kerajaan.
Ya, mana-mana kerajaan di dunia akan melantik pegawai atau pengarah dari kalangan individu yang difikirkan setia kepada kepimpinan pusat sekiranya berlaku pertukaran ketara dalam barisan kepinpinan kerajaan.
Dalam situasi sebegini, majoriti lantikan yang dibuat pasti akan terdiri dari mereka yang mempunyai hubungkait rapat dengan kepimpinan berkenaan ataupun barisan Jemaah Menteri.
Maka sudah pastilah ahli-ahli parlimen daripada blok kerajaan akan menjadi pilihan utama, kerana bukan hanya mereka setia kepada kepimpinan pusat, mereka akan memastikan urus tadbir dan hala tuju GLC adalah menurut acuan kerajaan.
Jadi tindakan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional betul?
Tidak.
Biarpun lantikan politik adalah perkara biasa, ianya tetap perlu dibuat berdasarkan kajian kredibiliti, kebolehyakinan dan akreditasi (akademik dan [atau] sosial) individu yang dilantik, bukannya keahlian individu berkenaan di Dewan Rakyat semata-mata.
Lantikan berkenaan turut perlu dihadkan kepada syarikat-syarikat penting sahaja bagi menjamin perjalanan lancar kerajaan persekutuan sambil mengelakkan berlakunya sabotaj atau kebocoran maklumat rahsia.
Sekiranya blok kerajaan menetapkan lantikan politik pada kadar 20 – 30 peratus, ianya menggambarkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan dalam kepimpinan dan “dasar campurtangan minima” dalam urus tadbir syarikat.
Tetapi apabila peratusan lantikan terlalu tinggi, ianya menimbulkan pelbagai spekulasi dan ketidakyakinan pelabur terhadap kerajaan persekutuan kerana GLC dengan lantikan politik lebih mudah terjebak dalam jenayah penyelewengan dan salah guna kuasa yang mampu dirahsiakan oleh kerajaan.
Lebih teruk lagi jika pentadbiran pusat menetapkan secara dasar pelantikan 100 peratus ahli parlimen dari blok kerajaan (yang tidak bergelar menteri atau timbalan menteri) sebagai pengerusi GLC.
Bukan hanya perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air, ianya bukti kerajaan lebih mementingkan politik wang, kuasa dan kedudukan (WKK) untuk mengumpan dan mengikat ahli-ahli parlimen kepada blok kerajaan.
Sudah pastilah perkara ini akan menjurus kepada budaya WKK yang berleluasa, kerana ahli-ahli parlimen di masa hadapan akan lebih cenderung memenangi pilihan raya semata-mata kerana ingin menikmati WKK, bukannya untuk berjuang bagi pengundi yang menaruh kepercayaan tinggi terhadap mereka.
Dasar ini turut merupakan bukti pelantikan yang dibuat adalah berdasarkan kronisme semata-mata, bukannya kelayakan akademik dan (atau) sosial ahli parlimen yang dilantik.
Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin politik yang menyokong dasar ini?
Mereka terdesak.
Perikatan Nasional pada ketika ini memiliki majoriti kerusi yang amat tipis dan tidak mampu bertahan lama biar banyak mana lantikan GLC dibuat.
Pucuk pimpinan PPBM, UMNO dan PAS tahu akan perkara ini dan sedang cuba sedaya upaya untuk menghalalkan tindakan terdesak pihak kerajaan yang nyata tidak ada pilihan lain.
Mereka mengerahkan cybertrooper (RBA) mereka untuk mengungkit lantikan politik di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dengan harapan perhatian rakyat dapat dialihkan daripada isu lantikan GLC melibatkan ahli-ahli parlimen Perikatan Nasional.
Saya tidak nafikan bahawa DAP dan AMANAH sebelum ini banyak melakukan perkara yang tidak masuk akal yang saya sendiri pernah menentang secara terbuka, termasuklah menerusi laporan-laporan polis.
Tetapi hakikat tetap hakikat, dan hakikatnya, tidak pernah ada mana-mana gabungan parti pemerintah sebelum ini yang menetapkan secara dasar pelantikan semua ahli parlimen dari blok kerajaan (yang tidak menjawat jawatan menteri atau timbalan mentei) ke GLC.
Tindakan pemimpin yang cuba menghalalkan dasar ini menerusi perbandingan dengan dasar Pakatan Harapan – biarpun perbandingan itu tidak tepat – serupa dengan tindakan seorang pembunuh yang menghalalkan sesuatu pembunuhan dengan alasan “kalau orang lain boleh bunuh, mengapa tidak saya?”
Maaflah, tetapi bagi saya, salah itu tetap salah, dan saya tidak akan berganjak daripada pendapat ini semata-mata kerana ingin menjadi popular ataupun diterima penyokong Perikatan Nasional.
