
“Kewujudan salah guna kuasa dan rasuah sudah lama diakui oleh beberapa pemimpin politik, termasuk Datuk Seri Shafie Apdal, yang mendakwa wang berbilion ringgit ditawarkan kepada wakil rakyat dari Sabah agar mereka menyertai blok kerajaan”
Raggie Jessy Rithaudeen
ادكه ڤندداهن حميد بادور برهوبوڠ ساله ڬونا كواس، رسواه ڤوليتيك ماسوق باكول سمڤه؟
Saya amat bersetuju dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Mohamad Sabu semalam berhubung pendedahan yang dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Menurut Mohamad, walaupun sudah beberapa bulan sejak pendedahan itu dibuat, namun masih belum ada sebarang siasatan yang diumumkan oleh pihak berkaitan.
Pendedahan yang dimaksudkan mula-mula dibuat pada 30hb April 2021, di mana Hamid meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat unsur rasuah berhubungan perbuatan melompat parti di negara ini.
Menurut Hamid, walaupun beliau menentang rasuah dalam PDRM, ada pemimpin politik yang telah membudayakan rasuah.
“Saya lawan rasuah dalam pasukan, tapi saya tengok rasuah merata-rata dalam politik mabuk kuasa.
“Sekejap ‘katak’ melompat sana, sekejap berbunyi sana, apa itu? Rasuah,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman.
Hamid turut mempersoalkan kemampuan seseorang ahli politik menggunakan jet peribadi tanpa menamakan pemimpin politik yang dimaksudkan.
“Mana dapat duit naik ‘private jet’. Kita minta SPRM siasat orang-orang politik,” katanya.
Selain itu, Hamid mendakwa ada seorang individu yang menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan salah satu cabang institusi kepolisan negara, dipercayai Cawangan Khas (Special Branch), bagi tujuan politik.
Menurutnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mencampuri urusan penentuan jawatan Pengarah Cawangan Khas (PCK) Bukit Aman, menyebabkan Cawangan Khas tidak senang dengan tindak tanduk Menteri Dalam Negeri (MDN).
“Saya dimaklumkan MDN telah memaksa JCK melakukan beberapa operasi bagi tujuan politik dirinya.
“Saya tidak boleh dedahkan operasi apa kerana setiap operasi JCK adalah rahsia tapi cukuplah untuk mengatakan bahawa objektif operasi itu tidak sesuai dengan mandat yang diberikan kepada JCK untuk memelihara serta menguruskan keselamatan negara.”
Sementara itu, Mohamad Sabu menegaskan apa yang pernah saya nyatakan sebelum ini, iaitu Hamid bukan calang-calang orangnya dan harus dipandang serius.
“Hamid bukan sekadar sarjan polis di Gua Musang atau koperal di Tawau. Beliau adalah KPN yang mendedahkan bagaimana rasuah dan penyelewengan berlaku dalam politik,” kata Mohamad dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022.
Pada 11 Mei 2021, saya menulis:
Pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah membuat kenyataan demi kenyataan yang tidak masuk akal sambil memperbodohkan raykat dengan dakwaan kononnya pendedahan Hamid Bador merupakan isu dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Gila tak gila?
Percayalah, satu dunia ingin tahu apa yang bakal dilakukan oleh SPRM, yang sememangnya wajib menyiasat mana-mana unsur salah guna kedudukan atau rasuah melibatkan mana-mana individu, agensi atau syarikat biarpun ianya melibatkan pemimpin kerajaan atau syarikat dan agensi berkait kerajaan.
Hamid Bador bukanlah orang pertama yang mendedahkan kewujudan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan blok kerajaan.
Sebaliknya, kewujudan salah guna kuasa dan rasuah ini sudah lama diakui oleh beberapa pemimpin politik, termasuk Datuk Seri Shafie Apdal, yang mendakwa wang berbilion ringgit ditawarkan kepada wakil rakyat dari Sabah agar mereka menyertai blok kerajaan.
Kenapakah SPRM mengenepikan semua dakwaan ini?
Cuba cerita, pelabur mana yang akan percaya kepada kerajaan yang menolak sebarang bentuk usaha untuk menentukan keabsahannya dan mengenepikan segala dakwaan salah guna kuasa dan rasuah melibatkan menteri-menteri kerajaan?
