AGONG MEMPUNYAI KUASA BERPERLEMBAGAAN UNTUK MENITAHKAN PERDANA MENTERI LETAK JAWATAN

Mohamed Haniff Khatri Abdulla. Sumber (gambar): Fail TTF

#FTTFFlashback: 24/5/2016

Mohamed Haniff Khatri Abdulla

اڬوڠ ممڤوڽاءي كواس برڤرلمباڬان اونتوق منيتهكن ڤردان منتري لتق جاوتن

1. Ianya adalah satu kekhilafan sehingga kini, untuk kita berkeanggapan bahawa sistem demokrasi berparlimen di bawah Perlembagaan Persekutuan adalah cetakan semula akan sistem demokrasi berparlimen Westminster yang mengandungi tiga cabang Kerajaan; Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman.

2. Perlembagaan Persekutuan kita dengan jelas telah menzahirkan akan kedudukan dan peranan sebenar yang dimainkan oleh INSTITUSI RAJA sebagai cabang keempat dalam sistem demokrasi berparlimen ini, untuk melaksanakan akan semakan dan imbangan (“check and balance”) termesti ke atas ketiga-tiga cabang lain Kerajaan.

3. Justifikasi berhubung dengan pandangan di atas, adalah berpandukan kepada peruntukan tertentu di bawah Perlembagaan Persekutuan.




3.1 Perkara 37 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Baginda YDPA yang dilantik oleh Majlis Raja-Raja hendaklah sebelum menjalankan tugasnya, mengangkat dan menandatangani SUMPAH JAWATAN di hadapan Majlis Raja-Raja, di dalam kehadiran Ketua Hakim Negara, akan SUMPAH JAWATAN seperti yang tertera di Bahagian I pada Jadual Keempat; dan ANGKAT SUMPAH yang mana hendaklah disaksikan oleh dua orang yang dilantik bagi maksud itu, oleh Majlis Raja-Raja:

SUMPAH JAWATAN:

“… Dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini …”

– jelaslah, Baginda YDPA telah mengangkat SUMPAH JAWATAN dan mengisytiharkan bahawa Baginda AKAN melaksanakan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan tanpa gagal.

– “SUMPAH JAWATAN” oleh Baginda YDPA adalah semestinya lebih tinggi kedudukannya berbanding dengan angkat sumpah lain, dalam bentuk keterangan yang diberikan di atas sumpah oleh saksi-saksi di dalam Perbicaraan di hadapan Hakim, atau keterangan yang diberikan di dalam Afidavit yang diikrarkan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, ataupun kenyataan yang diberikan di atas sumpah di bawah Akuan Berkanun sepertimana yang disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah.

– ketiga-tiga kategori ANGKAT SUMPAH yang lain itu, mempunyai cara dan kaedah untuk dikuatkuasakan melalui undang-undang. Justeru, sudah tentu SUMPAH JAWATAN yang telah diangkat oleh Baginda YDPA semestinya boleh untuk dikuatkuasakan oleh Majlis Raja-Raja, selari dengan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada institusi itu, menurut Perlembagaan.

– SUMPAH JAWATAN ataupun penguatkuasaan SUMPAH JAWATAN itu oleh YDPA sememangnya tidak boleh dihakimi melalui sistem keadilan (“non-justiciable”). Justerumana, ianya memerlukan Institusi Majlis Raja-Raja untuk melaksanakan akan penguatkuasaan SUMPAH JAWATAN itu.

3.2 Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan peranan Raja-Raja, selepas dihuraikan di dalam para (a) sehingga (e) di sana, kemudiannya menyatakan bahawa Majlis Raja-Raja juga boleh MEMPERTIMBANGKAN:

Loading...

(a) soal-soal tentang DASAR NEGARA; dan

(b) apa-apa perkara lain yang DIFIKIRNYA patut.

– sudah pasti “MEMPERTIMBANGKAN” membawa maksud perbuatan dan kelakuan tertentu, berikutan daripada PERBINCANGAN, yakni langkah-langkah yang perlu diambil bagi tujuan melaksanakan proses PERTIMBANGAN tersebut.

– bahkan “DASAR NEGARA”, yang lazimnya adalah di bawah fungsi cabang Badan Eksekutif Kerajaan juga, adalah secara berperlembagaan terletak di dalam kuasa Majlis Raja-Raja untuk DIPERTIMBANGKAN.

– Apatah lagi dengan kewujudan frasa “apa-apa perkara lain yang DIFIKIRNYA PATUT” sudah pasti merujuk kepada kuasa Majlis Raja-Raja untuk MEMPERTIMBANGKAN perkara-perkara berkenaan dengan fungsi undang-undang dan Perlembagaan Malaysia, terutamanya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan peranan Baginda YDPA dan/atau Majlis Raja-Raja.

3.3 Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan pula sebaliknya, memperuntukkan peranan Baginda YDPA yang terbahagi kepada dua:

(a) menurut Perkara 40 (1), Baginda YDPA hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri; KECUALI SEBAGAIMANA YANG DIPERUNTUKKAN SELAINNYA oleh Perlembagaan; dan hendaklah juga berhak, ATAS PERMINTAAN BAGINDA YDPA, UNTUK MENDAPAT APA-APA MAKLUMAT BERKENAAN DENGAN PEMERINTAHAN PERSEKUTUAN yang boleh didapati oleh Jemaah Menteri, dan

(b) menurut Perkara 40(2), Baginda YDPA boleh bertindak menurut BUDI BICARA Baginda dalam melaksanakan pelbagai fungsi lain yang dinyatakan di situ, termasuk dan tidak terhad kepada:

“ (a) PERLANTIKAN seorang PERDANA MENTERI”

– sudah pasti, menurut peruntukan khusus Perlembagaan Persekutuan ini, Baginda YDPA tidaklah boleh dipengaruhi oleh mana-mana institusi lain dalam melaksanakan BUDI BICARA Baginda dalam perlantikan Perdana Menteri.

– juga, “PERLANTIKAN” tidak boleh malalui mana-mana gambaran sekalipun dihadkan kepada fungsi perlantikan Perdana Menteri semata-mata sahaja, sehingga dikecualikan tanggungjawab Baginda YDPA untuk MENYELIA FUNGSI akan Perdana Menteri yang dilantik itu, di bawah peruntukan undang-undang dan Perlembagaan. Jika tidak, peruntukan Perkara 37(1) dan 38(2)(e) akan menjadi TIDAK BERNILAI dan SIA-SIA !

3.4 Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan satu-satunya formula berperlembagaan untuk Baginda YDPA menjalankan BUDI BICARA mutlak Baginda menurut Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan di dalam perlantikan Perdana Menteri, iaitu:

“…seorang ahli Dewan Rakyat yang PADA HEMATNYA MUNGKIN MENDAPAT KEPERCAYAAN MAJORITI ahli Dewan Rakyat itu …”

– oleh itu, sekali lagi ianya adalah satu kekhilafan untuk kita mengandaikan bahawa Perlembagaan memperuntukkan Baginda YDPA tanpa pilihan, untuk memilih pemimpin parti yang mempunyai majoriti ahli Dewan sebagai Perdana Menteri; yang mana sudah tentu boleh diterima, cuma sebagai satu kelaziman sahaja, dalam keadaan di mana YDPA-YDPA sebelumnya telah menjalankan budi bicara Baginda-Baginda di bawah Perkara 40(2)(a) dibaca bersesama dengan Perkara 43(2)(a).

3.5 Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan sebaliknya juga memperuntukkan, bahawa sebelum seseorang Menteri (dan melalui perlanjutan, seorang Perdana Menteri) menjalankan fungsi perjawatanannya, dia hendaklah mengangkat dan menandatangani di hadapan Baginda YDPA akan SUMPAH JAWATAN DAN SUMPAH SETIA serta juga SUMPAH SIMPAN RAHSIA seperti yang tertera pada Jadual Keenam yang mana menyatakan:

(a) SUMPAH JAWATAN DAN SUMPAH SETIA

“ … akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya.”

(b) SUMPAH SIMPAN RAHSIA

“…saya tidak akan memberitahu atau menzahirkan kepada mana-mana orang sama ada secara lansung atau secara tidak lansung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangan saya atau yang akan saya ketahui sebagai seorang ………………….. kecuali sebagaimana yang mungkin dikehendaki untuk menunaikan dengan sewajarnya kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian atau sebagaimana yang mungkin DIBENARKAN KHAS OLEH YDPA.”

– sekali lagi, ianya adalah jelas bahawa Perdana Menteri telah secara berperlembagaan mengangkat SUMPAH untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan, dan juga untuk mendedahkan kesemua atau sebarang maklumat seperti yang dititahkan oleh Baginda YDPA.

– sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini berkaitan dengan kedudukan ANGKAT SUMPAH, jelaslah bahawa Perdana Menteri adalah terikat untuk melaksanakan ANGKAT SUMPAHNYA, dan jika gagal, beliau semestinyalah perlu menjawab kepada Baginda YDPA sekiranya terdapat sebarang kemungkiran ANGKAT SUMPAH tersebut.

– sekali lagi, ANGKAT SUMPAH ini, walaupun tidak boleh dihakimi melalui sistem keadilan (“non-justiciable”), dalam erti kata lain bahawa ANGKAT SUMPAH itu berada di bawah lembayung Institusi Raja sahaja, namun secara berkeperlembagaan, tindakan terhadap Perdana Menteri boleh diambil oleh Baginda YDPA sendiri. Jika tidak, sekali lagi, keperluan keperlembagaan akan ANGKAT SUMPAH itu akan menjadi sia-sia sahaja, memandangkan secara berperlembagaan, ianya tidak boleh diterima bahawa ANGKAT SUMPAH itu adalah semata-mata perkara simbolik atau istiadat sahaja.

4. KESIMPULAN: berhubung dengan Deklarasi Rakyat.

4.1 Majlis Raja-Raja (dan melalui perlanjutan, Baginda YDPA) telah pada 6.10.2015 memberi titah kepada Kerajaan untuk segera menyelesaikan kegusaran rakyat berhubung dengan skandal 1MDB dan isu-isu yang berkaitan. Hal ini adalah selaras dengan kuasa Majlis Raja-Raja menurut peruntukan Perkara 38(2) Perlembagaan Persekutuan.

4.2 Ianya adalah dalam pengetahuan umum bahawa kenyataan dan titah Majlis Raja-Raja tersebut belum dilaksanakan lagi oleh Kerajaan

4.3 Ianya juga adalah dalam pengetahuan umum bahawa sekumpulan rakyat telah pada 4.3.2016 melaksanakan satu kempen awam secara rasmi untuk mengumpul Deklarasi Rakyat menggesa antara lain, “pemecatan Dato’ Sri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia SECARA AMAN dan DENGAN CARA YANG SAH DI SISI UNDANG-UNDANG”.

4.4 Ianya kini adalah dalam pengetahuan umum bahawa setakat 13.5.2016, kempen awam rasmi ini telah mengumpul sebanyak 1,271,997 petisyen Deklarasi Rakyat yang menggesa akan pemecatan Perdana Menteri sekarang.

4.5 Sudah semestinyalah kegusaran di dalam fikiran sejumlah besar rakyat Malaysia ini, adalah di bawah Perlembagaan Persekutuan menjadi isu dalam maksud “… apa-apa perkara lain yang difikirnya patut …” untuk Majlis Raja-Raja (dan melalui perlanjutan, Baginda YDPA) menurut Perkara 38(2) untuk ianya dipertimbangkan, di bawah fungsi berperlembagaan Majlis Raja-Raja (dan melalui perlanjutan, Baginda YDPA).

4.6 Selain daripada itu, isu Deklarasi Rakyat ini, akan tergolong di bawah peruntukan Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, untuk Baginda YDPA melaksanakan peranan Baginda dalam BUDI BICARA MUTLAK Baginda berhubung dengan perlantikan Perdana Menteri.

4.7 Secara terpenting, kesemua perihal di dalam keseluruhan 35 perenggan Deklarasi Rakyat mengenal pasti pelbagai isu yang mana tidak boleh disangkal telah menzahirkan asas yang kukuh untuk mengisytiharkan bahawa Perdana Menteri telah sebenarnya melanggar SUMPAH JAWATANnya di bawah Jadual Keenam sepertimana yang diperlukan di bawah peruntukan Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan.

4.8 Undang-undang berhubung cara tafsiran Perlembagaan bertulis telah menetapkan bahawa setiap satu dan kesemua peruntukan Perlembagaan mestilah dibaca secara menyeluruh dan dengan cara harmoni untuk memastikan setiap satu dan kesemua peruntukan Perlembagaan itu adalah dihidupkan secara aktif, supaya peruntukan-peruntukan itu tidak dijadikan sia-sia. Justeru, tanpa apa-apa keraguan, INSTITUSI RAJA, yakni Majlis Raja-Raja dan Baginda YDPA, adalah secara berperlembagaan cabang keempat Kerajaan di bawah Perlembagaan Persekutuan kita.

4.9 Oleh itu, ianya adalah menjadi tugas INSTITUSI RAJA untuk mengiktiraf gesaan rakyat melalui Deklarasi Rakyat, melalui titah Baginda YDPA ke atas Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia, untuknya memohon perkenan mengadap Baginda YDPA bagi tujuan tunjuk sebab kenapa beliau sebagai Perdana Menteri tidak seharusnya diambil tindakan di atas kemungkiran SUMPAH JAWATANnya.

4.10 Sudah tentu, ianya merangkumi kuasa berperlembagaan INSTITUSI RAJA untuk:

(a) memberi TITAH bahawa Perdana Menteri hendaklah mengambil cuti pejawatanan bagi tempoh yang dipercayai bersesuaian di bawah budi bicara mutlak Baginda YDPA, bagi tujuan memastikan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan (yang kemudiannya akan dititahkan untuk menjalankan siasatan yang perlu terhadap alegasi-alegasi yang wujud), dapat menjalankan dan melaksanakan siasatan yang perlu, ATAU

(b) memberi TITAH bahawa Perdana Menteri hendaklah meletak jawatannya.

4.11 Adalah juga di dalam bidang kuasa berkeperlembagaan untuk Baginda YDPA memberi titah terhadap Perdana Menteri, dan mana-mana pegawai kanan penjawat awam (yang juga telah mengangkat SUMPAH SIMPAN RAHSIA) untuk mendedahkan kesemua atau mana-mana maklumat yang perlu kepada Baginda YDPA, berkaitan dengan alegasi-alegasi tersebut, untuk membolehkan Baginda YDPA menjalankan tugas keperlembagaannya di bawah Perkara 40(2)(a).

4.12 Peruntukan Perlembagaan yang telah dikenalpasti di atas, dengan jelas mengesahkan kuasa-kuasa keperlembagaan dan fungsi INSTITUSI RAJA sebagai cabang keempat Kerajaan, tanpa mana, tidak akan wujud satu kerangka keperlembagaan bagi tujuan menentusahkan semakan dan imbangan (“check and balance”) ke atas ketiga-tiga cabang lain Kerajaan, iaitu Badan Eksekutif, Badan Perundangan dan Badan Kehakiman. Tambahan pula, melalui pindaan yang telah dilakukan kepada Perkara 32(1) menerusi A848 pada tahun 1993, INSTITUSI RAJA pun sudah berada di dalam sistem semakan dan imbangan (“check and balance”) oleh ketiga-tiga cabang Kerajaan yang lain itu.

4.13 Dalam erti kata lain, Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah digubal dengan kebijaksanaan menyeluruh bagi merangkumi dan menangani keseluruhan situasi yang sedang menyelubungi negara tercinta kita, kini.

WAJIB BACA:

Terkini: Muhyiddin Yassin tumbang, UMNO putuskan tarik sokongan terhadap kerajaan berkuatkuasa serta merta



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...