Ajaran Syiah boleh disemak dan diiktiraf

Tun Carlos

Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata Fatwa yang menetapkan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam boleh disemak semula dan diiktiraf berdasarkan beberapa hujah kerana fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) tidak mewakili keseluruhan umat Islam.

“Kita boleh semak semula dan mengiktiraf Syiah, walaupun ada beberapa kumpulan tertentu dalam mazhab ini dianggap terkeluar daripada Islam. Ia perlu dibuat berdasarkan hujah tekstual (al-Quran dan hadis sahih) serta rasional.

“Kita tak boleh memutuskan hukum berdasarkan kehendak sendiri, ia mesti dibuat mengikut dalil dan hujah. Selagi Syiah masih percaya kepada rukun Iman, maka mereka masih Islam dan perdebatan berkaitan elemen fiqah pula dibuat berdasarkan imam mereka.

Bagaimanapun, katanya, fahaman Syiah perlu diamalkan secara tertutup kerana berbeza dengan fahaman ASWJ, selain dikhuatiri akan mengundang kecelaruan, sekali gus menyebabkan perpecahan lebih parah dalam kalangan umat Islam.

“Lihat kerajaan Arab Saudi membenarkan Syiah di Iran dan Syria mengerjakan ibadah haji. Ia bererti mereka (Syiah) masih diiktiraf sebagai Islam dan bersaudara, walaupun terdapat perbezaan amalan serta perundangan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan beberapa pihak membatalkan fatwa berhubung penetapan Syiah sebagai ajaran menyimpang daripada Islam, yang diwartakan pada tahun 1996.

“Bagaimanapun, semakan semula ini bertujuan untuk mengelak daripada memberi peluang kepada musuh mengadu-domba dan mengeksplotasi titik perbezaan umat Islam. Syiah boleh diiktiraf, tetapi bukan untuk diamalkan secara meluas,” katanya.

Comments

Comments


Loading...