
Tindakan kepemimpinan tertinggi BERSATU seperti membenarkan rampasan kuasa berlaku di Perlis boleh ditafsir bahawa mereka sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan kerjasama dengan PAS.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah, menegaskan peristiwa itu wajar mendorong kepemimpinan tertinggi PAS untuk menilai semula kerjasama yang dibina bersama BERSATU.
Untuk membawa perubahan besar dalam landskap politik negara, ADUN Jitra itu berpendirian bersikap tenang dan matang sahaja tidak memadai.
Sebaliknya, beliau menegaskan, PAS perlu berperanan sebagai sebuah parti penuh iltizam untuk membina harapan dan masa depan rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR: Tindakan kepemimpinan tertinggi BERSATU seperti membenarkan rampasan kuasa berlaku di Perlis boleh ditafsir bahawa mereka sebenarnya sudah bersedia untuk meninggalkan kerjasama dengan PAS.
Sehubungan itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Haim Hilman Abdullah, menegaskan peristiwa itu wajar mendorong kepemimpinan tertinggi PAS untuk menilai semula kerjasama yang dibina bersama BERSATU.
“Tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU dan tiga ADUN PAS di Perlis menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga membawa kepada pertukaran Menteri Besar amat mendukacitakan.
“Sepatutnya mereka membantu Menteri Besar sebaiknya untuk memajukan Perlis. Malangnya mereka memilih untuk berkomplot dan menjatuhkannya.
“Jika PAS kekal tenang dan mengizinkan rampasan kuasa itu berlaku, ia akan memberi gambaran PAS bukan parti yang mudah bertindak atas emosi.
“Malahan PAS mungkin akan dianggap sebuah parti yang mempunyai tahap kematangan politik luar biasa,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Untuk membawa perubahan besar dalam landskap politik negara, ADUN Jitra itu berpendirian bersikap tenang dan matang sahaja tidak memadai.
Sebaliknya, beliau menegaskan, PAS perlu berperanan sebagai sebuah parti penuh iltizam untuk membina harapan dan masa depan rakyat Malaysia.
“Atas sebab itu, adalah amat wajar untuk PAS memberi pelajaran bermakna kepada BERSATU. Krisis Perlis adalah peluang terbaik PAS untuk menzahirkan ketegasannya dalam membina budaya politik baharu buat negara iaitu berdisiplin, bersih, berintegriti, adil dan berwawasan.
“Hari ini, majoriti rakyat Malaysia khususnya orang Melayu, anak muda dan mereka yang rasional pasti akan menolak parti politik yang terkenal dengan korupsi, rasuah, kronisme, nepotisme, rasis melampau, penipuan, pengkhianatan dan penganiayaan.
“Perangai hodoh itu jugalah yang membuatkan tahap kepercayaan masyarakat kepada orang politik semakin hari semakin merosot. Telah tiba masanya anak-anak Malaysia terbaik memimpin negara,” katanya.
Susulan apa yang berlaku dalam arena politik negara, beliau berkata, PAS boleh memainkan peranan dalam aspek penyatuan.
Mengulas lanjut, beliau tidak kisah konsep penyatuan yang ingin digagaskan boleh saja dipanggil Perikatan Nasional, Muafakat Nasional, Perpaduan Nasional atau apa sahaja sekalipun.
“Gagasan ini boleh lebih besar dari penyatuan orang Melayu sahaja. Dengan kata lain, ia boleh juga bergerak ke arah penyatuan semua kaum utama di Malaysia.
“Matlamat pembentukan jajaran baru berteraskan blok parti politik atau menerusi penghijrahan tokoh-tokoh (ADUN, Ahli Parlimen dan kepemimpinan) berkualiti bernaung di bawah payung besar atas agenda bersama iaitu selamatkan Malaysia wajar diusahakan secara serius,” katanya.
Sumber:
