
“Timbul pula persoalan adakah kerajaan perlu diberi peluang untuk terus mentadbir negara setelah gagal dalam hampir segala aspek pentadbiran biarpun diberi peluang berulang kali oleh Yang Di-Pertuan Agong dalam tempoh lebih setahun setengah”
Raggie Jessy Rithaudeen
اخيرڽ محي الدين اكوا كهيبتن ءمجليس ڤموليهن نڬاراء چادڠن محضير
TTF: Sertai saluran Telegram TTF di sini
Jika Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan “Majlis Pemulihan Negara (MPN),” kini tiba pula giliran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengumumkan perangkaan “Pelan Pemulihan Negara” setelah lebih setahun setengah menempuhi pelbagai kegagalan.
Bukan hanya pengumuman ini pengiktirafan terhadap cadangan Mahathir, ianya membuktikan keterdesakan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang dilihat ketandusan idea bagaimana untuk memulihkan negara.
Malah, saya meragui kemampuan kerajaan ini melaksanakan apa jua pelan pemulihan yang dicadangkan.
Ini memandangkan MPN yang diusulkan oleh Mahathir adalah untuk memulihkan negara dari kerosakan dan kemudaratan yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Muhyiddin sendiri.
Sebelum ini, Muhyiddin terpaksa akur dengan desakan Mahathir agar diadakan “Total Lockdown” bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang mula menggila selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang dicetuskan oleh Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
Namun, apa yang dilaksanakan bukanlah “Total Lockdown” dalam ertikata yang sebenar, tetapi “Lockdown Separuh Masak” yang kurang ketat berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama yang dilaksanakan Mac tahun lalu.
Kerajaan pimpinan Muhyiddin turut menempuhi pelbagai kegagalan luar biasa dalam menangani wabak Covid-19 sehingga menyebabkan Malaysia kini mencatat prestasi amat buruk di peringkat dunia dari segi kemampuan mengekang penularan wabak berkenaan.
Malah, Darurat yang diminta oleh kerajaan Januari lalu terbukti gagal apabila angka Covid-19 melonjak naik berlipat kali ganda berbanding angka yang dicatatkan apabila Darurat mula-mula diumumkan.
Inilah yang dimaksudkan oleh Mahathir apabila beliau berkata kerajaan tidak mempunyai kemampuan atau kepakaran untuk melaksanakan sesuatu yang dicadangkan demi memulihkan negara.
Maka timbul persoalan adakah kerajaan perlu diberi peluang untuk terus mentadbir negara setelah gagal dalam hampir segala aspek pentadbiran biarpun diberi peluang berulang kali oleh Yang Di-Pertuan Agong dalam tempoh lebih setahun setengah.
WAJIB BACA:
TERKINI: AGONG BOLEH ISYTIHAR MAGERAN TANPA PERSETUJUAN PERDANA MENTERI [VIDEO]
