
“Zahid secara tidak langsung mengaku bahawa UMNO tidak diterima oleh pengundi muda, berbeza dengan propaganda yang dimainkan UMNO selama ini kononnya parti itu makin diterima rakyat dan mampu memenangi Pilihan Raya Umum dengan mudah”
Raggie Jessy Rithaudeen
اخيرڽ، زاهيد مڠاكو
Sudah sekian lama saya mendedahkan bahawa Kluster Mahkamah mempunyai rancangan jangka panjang untuk mencetuskan Pilihan Raya Umum samada hujung tahun ini atau suku pertama tahun depan, selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Semalam, perkara ini terbukti benar apabila Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu UMNO Bahagian Bagan Datuk bahawa Pilihan Raya Umum perlu diawalkan, kononnya disebabkan peningkatan jumlah pengundi muda.
Zahid secara tidak langsung mengaku bahawa UMNO tidak diterima oleh pengundi muda, berbeza dengan propaganda yang dimainkan UMNO selama ini kononnya parti itu makin diterima rakyat dan mampu memenangi Pilihan Raya Umum dengan mudah.
Hakikatnya, Kluster Mahkamah sudah lama merancang untuk mencetuskan Pilihan Raya Umum awal agar pemimpinnya dapat kembali memegang tampuk kepimpinan negara sebelum kes-kes mereka diputuskan.
Saya pernah menulis:
Semuanya melibatkan rancangan tiga fasa yang pernah saya ceritakan dahulu yang menjadi teras kepada perjuangan kluster mahkamah untuk kembali menerajui kerajaan.
Fasa pertama melibatkan sekongkol dengan PAS, Datuk Seri Azmin Ali dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
Fasa kedua melibatkan ‘penolakan’ terhadap ‘pengaruh’ Azmin dalam kerajaan dan sebab-sebab lain yang digunakan sebagai alasan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin dan menggantikannya dengan kerajaan yang dipimpin oleh seorang perdana menteri dari UMNO.
Fasa terakhir ialah percubaan untuk samada mencetuskan Pilihan Raya Umum ke-15 dengan bantuan perdana menteri dari UMNO atau menarik sokongan terhadap kerajaan agar Pilihan Raya Umum ke-15 dapat dicetuskan.
Najib dan Zahid tahu kebarangkalian untuk UMNO membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 amat tipis biarpun Barisan Nasional membentuk jajaran politik baharu bersama Pakatan Harapan.
Namun, disebabkan terdesak, mereka tidak ada pilihan dan sanggup menyokong pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri andai kata Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mampu membentuk kerajaan.
Kini, bukan hanya ketegangan antara Kluster Mahkamah dan Ismail Sabri makin memuncak, tidak mustahil ahli-ahli parlimen yang memihak kepada Najib dan Zahid bertindak menarik sokongan terhadap kerajaan tidak lama selepas PAU 2021.
Memandangkan Pakatan Harapan memasuki Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan, Ismail Sabri tidak akan tumbang serta merta, namun beliau akan tertekan untuk membubarkan parlimen tidak lama kemudian.
Ini kerana Zahid berkebarangkalian tinggi akan mengisytiharkan penarikan sokongan UMNO terhadap kerajaan andai kata Ismail Sabri berdegil dan tidak bersetuju untuk mencetuskan pembubaran parlimen dalam masa terdekat.
Tidak mustahil perkara ini berlaku, kerana jika Zahid boleh mendapatkan sokongan padu para perwakilan di PAU 2021 untuk diadakan Pilihan Raya awal pada bulan tertentu, resolusi yang dicapai tidak boleh ditentang oleh MKT UMNO.
Memandangkan Zahid menguasai Lembaga Disiplin UMNO, beliau boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang menentang mana-mana penetapan atau resolusi PAU, termasuk Ismail Sabri dan mana-mana ahli MKT.
Ini akan menimbulkan suasana pelik, di mana Ismail Sabri menjawat jawatan perdana menteri dan mewakili UMNO tetapi tidak lagi disokong oleh parti yang diwakilinya.
Baru-baru ini, saya menulis:
Keadaan ini akan menjurus kepada keretakan serius dalam UMNO, apabila kepimpinan bahagian dan cawangan di seluruh negara akan terpaksa membuat ketetapan samada menyokong Ismail Sabri atau Kluster Mahkamah.
Ismail Sabri turut akan ditekan oleh akar umbi UMNO untuk membubarkan parlimen, memandangkan kerajaan pimpinannya akan dilihat sebagai “bergantung sepenuhnya terhadap sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP” untuk berkuasa.
Manakala itu, PKR dan DAP akan ditekan oleh seluruh kepimpinan bahagian dan cawangan masing-masing untuk menarik sokongan terhadap kerajaan andai kata UMNO benar-benar menarik sokongan terhadap Ismail Sabri.
Ini kerana, jika Pakatan Harapan terus menyokong Ismail Sabri, ianya akan menimbulkan suasana pelik, di mana ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan akan terus duduk di luar kerajaan biarpun jumlah mereka melebihi jumlah ahli parlimen blok kerajaan.
Pada ketika ini sahaja, sokongan terhadap Pakatan Harapan sudah jauh berkurang berbanding Pilihan Raya Umum ke-14, disebabkan kesanggupan gabungan itu memasuki MoU bersama kerajaan.
Pada ketika MoU ini ditandatangani, Pakatan Harapan menjaja nama rakyat, kononnya apa yang dilakukannya demi memastikan kestabilan politik agar Pilihan Raya mengejut tidak diadakan dalam suasana pandemik Covid-19.
Namun, apabila UMNO menikam UMNO di Melaka sehingga tercetus Pilihan Raya Negeri, satu Malaysia mendapat maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan satu perbincangan sulit dengan beberapa ADUN Melaka dan menyokong rancangan mereka untuk meruntuhkan kerajaan negeri.
Ini menimbulkan tanda tanya bagaimana Pakatan Harapan boleh menggunakan Covid-19 dan “kestabilan politik” sebagai alasan untuk menandatangani MoU, sedangan Anwar sendiri membantu cetuskan ketidakstabilan politik di Melaka dan membawa Pakatan Harapan masuk bertanding di Pilihan Raya Negeri.
Ramai juga tidak berpuas hati dengan Anwar dan DAP kerana sanggup memasuki MoU bersama gerombolan ahli-ahli parlimen yang pada satu ketika dahulu didakwa “gagal segagal gagalnya” dan “perlu disingkirkan demi kemakmuran negara.”
WAJIB BACA:
MALAYSIAN POLITICS – THE UGLY AND BITTER TRUTH EVERYONE SHOULD KNOW (PART 1)
