
Raggie Jessy Rithaudeen
Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak dijemput ke mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) Khamis ini susulan tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu yang mengumumkan meletak jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Ini menurut Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, yang berkata atas sebab itu, hanya ahli MTPN yang berbaki dipanggil untuk hadir ke mesyuarat berkenaan.
Beliau berkata, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Penerangan PN, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin yang turut meletakkan jawatan sebelum ini, turut tidak disenarai sebagai yang akan hadir dalam mesyuarat itu.
“Pandangan undang-undang yang kami terima ialah dari segi undang-undang, (peletakan jawatan Muhyiddin) ini sudah berkuat kuasa (mulai 1 Januari lalu).
“Tapi tak apalah, walaupun demikian, (pemakluman peletakan jawatan itu) perlu dibawa kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional untuk diluluskan juga,” katanya.
Namun, pendirian ini dipertikaikan oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail, yang menegaskan sebarang Mesyuarat MT PN yang diadakan tanpa kehadiran Muhyiddin adalah satu tindakan yang melanggar Perlembagaan gabungan itu.
Menurutnya, perletakan jawatan Muhyiddin hanya berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu, selaras dengan peruntukan jelas dalam Perlembagaan PN.
“Sekiranya Pengerusi meletakkan jawatannya, perletakan jawatan itu hendaklah berkuat kuasa selepas mendapat kelulusan Majlis Tertinggi yang akan memilih secepat mungkin seorang Pengerusi baharu,” katanya memetik peruntukan Perlembagaan PN.
Setakat yang saya maklum, pendapat Tun Faisal adalah selaras dengan peruntukan perlembagaan PN, manakala ‘pandangan undang-undang’ yang disebut Takiyuddin adalah salah dan tanpa merit, kerana prosedur peletakan jawatan pengerusi PN sudah digariskan dengan jelas dalam perlembagaan PN.
Maknanya, Muhyiddin merupakan pengerusi PN yang sah sehingga Majlis Tertinggi bermesyuarat dan memutuskan untuk menerima peletakan jawatan beliau.
Namun, jika alasan tidak menjemput Muhyiddin adalah atas dasar Majlis Tertinggi PN akan membincangkan dan memutuskan peletakan jawatan beliau, ianya berasas.
