Analisis Ong Kian Ming menarik tetapi jauh tersasar

Salleh Said Keruak

1. Ong Kian Ming dalam analisisnya tentang PRU14 (GE14) menyatakan akan berlaku 15% peralihan undi Melayu kepada Pakatan Harapan seperti mana yang berlaku pada tahun 1999 dan 2008.




2. Hujah beliau mudah: setiap kali parti UMNO berpecah akan menyebabkan orang Melayu menolak BN.  Ini dapat dilihat dalam PRU 1999 apabila peralihan undi Melayu berlaku sebanyak 27%.  Dalam PRU 2008 pula, BN hilang majoriti dua pertiga apabila 6% lagi pengundi Melayu beralih menyokong pembangkang.

3. Pertanyaannya, bolehkah dicapai 15% peralihan sokongan Melayu ini?  Kian Ming kata tidak mustahil jika melihat kepada sikap pengundi Melayu dalam PRU 1999 dan 2008, dan juga jika melihat kepada munculnya PPBM.

4. Benarkah andaian Ong Kian Ming tersebut?  Hasil semakan saya kepada data lepas mendapati analisis Kian Ming tersasar dari fakta sebenar.

5. Untuk analisis yang lebih tepat, kita perlu melihat senario tahun 1988-1990.  Situasi inilah yang perlu dijadikan sandaran untuk membuat analisis perubahan undi Melayu kerana sejarah perpecahan politik Melayu bermula di sini.

6. Pada tahun 1988, UMNO berpecah setelah Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh bertanding merebut jawatan Presiden UMNO.  Selepas pemilihan itu, kumpulan Tengku Razaleigh Hamzah keluar daripada UMNO dan menubuhkan parti Semangat 46.

7. Dalam PRU 1990, S46 bergabung dengan PAS, HAMIM, DAP dan PBS, namun adakah pakatan pembangkang memenangi pilihan raya tersebut?  Jawapannya tidak.

8. Kemerosotan pengundi Melayu hanya 2.4% berbanding PRU 1986. S46 pula hanya memenangi 8 kerusi parlimen daripada 61 kerusi yang ditandinginya. Bagi peringkat DUN pula, S46 hanya memenangi 19 kerusi daripada 152 kerusi yang ditandingi.

Loading...

9. Situasi tersebut sama seperti hari ini yang mana UMNO mengalami perpecahan dengan melahirkan PPBM.  Maka, bagaimana dengan PRU ke-14 nanti?

10. Jika melihat kepada realiti sekarang, sukar untuk berlaku peralihan undi Melayu lagi.  Dalam PRU 1999, senario berlakunya peralihan undi Melayu ketika itu adalah berbeza dengan situasi sekarang.  Tahun 1999, negara baharu diserang krisis kewangan dan ada isu mata lebam.  PRU ke-14 isu tahun 1999 dan 2008 sudah jauh kita tinggalkan.

11. Analisis saya sebelum ini telah menggariskan lima faktor kenapa anak muda akan menyokong BN dalam PRU ke-14 nanti.  Dalam analisis ini, jika mahu bersandarkan kepada hujah “UMNO berpecah maka Melayu akan mengalih sokongan kepada pembangkang,” itu adalah generalisasi.

12. PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar telah membuktikan walaupun UMNO berpecah, parti pembangkang masih tidak mampu menumbangkan BN.  Tambahan pula, parti pembangkang kini mempunyai pecahan parti Melayunya sendiri seperti PAN yang lahir hasil perpecahannya dengan PAS.  PPBM dan PAN juga adalah parti baharu yang masih tidak mendapat sokongan meluas.  Politiking pembangkang yang terlalu banyak juga menyebabkan rakyat bosan kerana rakyat mahu terus bergerak ke depan membangun Malaysia yang maju dan sejahtera.

13. Maka, kenyataan bahawa akan berlaku perubahan 10-15% undi Melayu kepada pembangkang dalam PRU ke-14 adalah jauh tersasar.

Sumber: sskeruak.blogspot.my



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...