“Apa gunanya berjuang untuk UMNO, sedangkan UMNO bukan hanya tersasar jauh dari landasan perjuangan asal, presidennya penipu dan memperlakukan pemimpin parti seolah-olah mereka ini hamba abdi yang wajib menurut segala telunjuknya, sekalipun telunjuk itu ke arah kebinasaan, kehinaan dan kemudaratan?”
Raggie Jessy Rithaudeen
اننوار موسى صح دڤچت، سوده تيبا ماسڽ ڤميمڤين امنو تندڠ زاهيد كلوار اتاو كلوار ڤرتي براماءي-راماي
Annuar Musa sah dipecat dari UMNO.
Demikian menurut sumber-sumber saya, yang mengesahkan pemecatan itu dan ura-ura perbincangan usul “tidak harus cabar presiden UMNO” pada pemilihan parti.
Kesemua ini mengesahkan dakwaan saya sejak berbulan lalu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan lakukan apa sahaja untuk kekalkan kedudukannya sebagai presiden UMNO, sekalipun perlu memecat mereka yang menegurnya secara ikhlas.
Sudah ramai dipecat dan digantung, dan ramai lagi dikatakan akan menjadi mangsa.
Pemecatan Annuar Musa disyaki bertujuan menakut-nakutkan ahli-ahli parlimen UMNO agar kesemuanya menyokong Anwar apabila undi percaya diusulkan pada 19hb ini.
Ianya juga disyaki bertujuan memastikan tidak ada yang berani menentang atau mencabar Zahid pada pemilihan UMNO, dijangka pada Febuari atau Mac tahun depan.
Saya difahamkan, ramai tidak hadir pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam tadi kerana tidak berpuas hati dengan Zahid dan segala apa yang berlaku.
Sepatutnya, Zahid duduk di tangga teratas senarai pemimpin yang harus dipecat setelah mengenepikan ketetapan parti pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu.
Pada perhimpuan itu, UMNO memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Anwar dan DAP.
Memandangkan ketetapan ini tidak berserta tempoh atau peristiwa rujukan, ianya kekal berkuatkuasa sehingga Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang.
Namun, Zahid tidak mengendahkan semua ini.
Dalam satu warkah yang diutuskan secara rahsia kepada Yang Di-Pertuan Agong, Zahid menipu Seri Paduka Baginda Tuanku kononnya kesemua 30 ahli parlimen Barisan Nasional menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri.
Warkah ini memarahkan ramai pemimpin UMNO – sehari sebelum diutuskan, Zahid mendapat persetujuan kesemua ahli parlimen Barisan Nasional untuk duduk sebagai pembangkang tanpa menyokong mana-mana calon Perdana Menteri.
Bagi menghalalkan kerjasama dengan Anwar dan DAP, satu naratif palsu diwar-warkan kononnya “Barisan Nasional dan Pakatan Harapan wajib membentuk kerajaan bersama untuk memungkinkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.”
Ini merupakan naratif yang amat berbahaya, termasuk naratif kononnya “Yang Di-Pertuan Agong menitahkan kesemua 30 MP BN untuk bersama Kerajaan Perpaduan.”
Hakikatnya, bukan hanya Yang Di-Pertuan Agong tidak pernah menyentuh soal “Kerajaan Perpaduan” dalam mana-mana kenyataan rasmi, Zahid tentu tahu dari awal lagi bahawa kerajaan yang bakal terbentuk bukannya “kerajaan perpaduan,” tetapi “kerajaan minoriti.”
Apakah ahli-ahli parlimen UMNO sanggup berdiam diri setelah diperdaya begini?
Apa gunanya berjuang untuk parti yang diterajui oleh seorang penipu, yang sanggup memperlakukan pemimpin parti seolah-olah mereka ini hamba abdi yang wajib menurut segala telunjuknya, sekalipun telunjuk itu ke arah kebinasaan, kehinaan dan kemudaratan?
Bagaimanakah pemimpin UMNO boleh berdiam diri setelah melihat presiden parti melanggar perlembagaan parti secara terbuka sambil menzalimi mereka yang menyoalnya atau cuba membawa parti kembali ke landasan yang benar?
Jangan sekali-kali berkata “kami tidak boleh mengabaikan perjuangan parti” – bukan hanya perjuangan UMNO sudah lama berkubur, retorika sebegini hanya membuktikan bahawa anda lebih rela duduk dalam penjara jahiliyah daripada berjuang demi kebenaran.
Terimalah hakikat bahawa UMNO kini tak tinggal UMNO lagi, yang ada hanyalah “parti sesat Zahid.”
Jika benar pemimpin-pemimpin UMNO seperti Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Ismail Sabri masih menjiwai perjuangan Agama, Bangsa dan Negara, sudah tiba masanya mereka lakukan salah satu dariapda dua perkara ini, iaitu:
1. cetuskan EGM untuk tumbangkan Zahid, atau
2. keluar parti beramai-ramai untuk sertai GTA atau Perikatan Nasional (termasuk ahli-ahli parlimen, sekalipun perlu kosongkan kerusi Dewan Rakyat).
Semalam, saya menulis:
Apabila Yang Di-Pertuan Agong melantik Anwar sebagai Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda Tuanku tidak merujuk kepada sebarang ‘janji’ kerjasama antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.
Sebaliknya, Yang Di-Pertuan Agong melantik Anwar sebagai Perdana Menteri atas pertimbangan “parti yang memenangi kerusi terbanyak,” yakni Pakatan Harapan.
Yang Di-Pertuan Agong juga melantik Anwar sebagai Perdana Menteri atas keyakinan bahawa semua ahli parlimen Pakatan Harapan menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri dan pendapat (atau hemat) Seri Paduka Baginda Tuanku bahawa Anwar mungkin mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Ini selaras dengan peruntukan Perkara 43 (a) Perlembagaan Persekutuan, dan ianya turut bermakna Yang Di-Pertuan Agong tahu bahwa Anwar akan bergelar “Perdana Menteri Kerajaan Minoriti” dan perlu membuktikan keabsahannya menerusi undian di Dewan Rakyat.
