Raggie Jessy Rithaudeen
Lebih kurang pada pukul 5.30 petang semalam (1hb Jun), satu mesej ringkas tular menerusi aplikasi WhatsApp kononnya telah berlangsung satu mesyuarat khas pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan.
Menurut mesej tersebut, mesyuarat berkenaan dihadiri pemimpin-pemimpin utama Pakatan Harapan dan turut dihadiri oleh presiden WARISAN, Datuk Seri Shafie Apdal, bersama pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mesej itu kemudiannya menyenaraikan ketetapan-ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat berkenaan, antaranya:
1. Surat untuk bertemu dan mengadap Yand Di-Pertuan Agong telah di hantar ke Istana, di mana upacara mengadap Baginda Tuanku dipercayai akan berlangsung pada minggu ini.
2. 95 peratus daripada Negeri Kedah dan Melaka akan kembali ke tangan Pakatan Harapan, manakala Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan di kekalkan sebagai Menteri Besar Kedah.
3. Mahathir yang mewakili suara Bersatu (PPBM) telah bersetuju untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9 andai kata ianya diperkenan Baginda Tuanku dan jika tiada pembubaran parlimen.
4. Shafie pula telah di persetujui untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.
5. Manakala itu, lain-lain perkara dan struktur pentadbiran akan di maklumkan selepas majlis mengadap.
Mesej itu turut disusuli penularan beberapa “piktografik, di mana Anwar didakwa bakal diangkat menjadi Perdana Menteri sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat.
Saya tidak perlu beritahu sesiapa bahawa mesej-mesej ini berita palsu dan merupakan sebahagian daripada “perang persepsi” yang sedang dimainkan oleh orang-orang di sekeliling Anwar.
Apa yang menghairankan ialah kuncu-kuncu Anwar masih percaya ahli-ahli parlimen akan mempercayai penipuan sebegini, sedangkan jika benar Mahathir sudah memiliki sokongan majoriti, sudah pasti rundingan yang diadakan antara beliau dan ahli-ahli parlimen yang terbabit jelas memperinci kedudukan sebenar Anwar dalam gabungan baharu yang bakal terbentuk.
Pada mulanya, saya menyangka orang-orang di sekeliling Anwar mendapat idea untuk menularkan mesej-mesej ini daripada ‘pakar runding’ mereka di Hospital Bahagia yang penuh dengan ‘YB-YB’ yang sememangnya cukup ‘bahagia’.
Walaubagaimanapun, apabila saya bertanya kepada seorang bekas ‘orang dalam’ kem Anwar, saya mendapat jawapan yang tepat mengapa mesej-mesej sebegini kerap ditularkan.
Rupa-rupanya, strategi yang lazim digunapakai oleh kem Anwar adalah untuk mengejutkan ahli-ahli parlimen dengan berita-berita palsu seperti kewujudan “129 MP” agar mereka akan cuba menghubungi Anwar atau orang-orang di sekelilingnya untuk mendapatkan kepastian.
Dengan cara ini, Anwar berharap dapat mengenalpasti ahli-ahli parlimen mana yang memasuki perjanjian dengan ‘musuhnya’ (apabila mereka bertindak ‘membongkarkan’ perjanjian itu) agar beliau boleh menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada mereka untuk menjarakkan mereka daripada musuh berkenaan.
Ya, inilah petanda betapa seriusnya ‘penyakit’ kemaruk Anwar hingga boleh mempercayai dan menggunakan strategi-strategi karut sebegini.
Saya difahamkan tidak ada seorang pun ahli parlimen dari kem Mahathir yang menghubungi Anwar atau orang-orang di sekelilingnya setelah mesej-mesej berkenaan tular.
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
