Khairuddin Abu Hassan
انور بوكنڽ هندق برخدمت تتاڤي چاري كروسي سلامت اونتوق جادي ڤي عيم سهاج
Anwar Ibrahim sentiasa memperalatkan para pengundi untuk mencapai matlamatnya untuk menjadi Perdana Menteri semata-mata. Beliau bukan ikhlas hendak memberi perkhidmatan terbaik bagi membangunkan kawasan yang diwakilinya.
Sudah berapa kawasan Parlimen Anwar Ibrahim berhijrah setiap kali menghadapi pilihanraya umum? Berhijrah dari satu kawasan Parlimen ke kawasan Parlimen lain secara berterusan membuktikan Anwar Ibrahim tidak serius untuk berkhidmat sebagai Wakil Rakyat. Politikus ‘opportunist’ seperti Anwar Ibrahim harus ditolak oleh keseluruhan para pengundi di negara kita.
Di Port Dickson ramai daripada para pengundi serta penduduk setempat tidak puas hati dengan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh Anwar Ibrahim selama ini. Sekiranya Anwar Ibrahim yakin beliau boleh menang semula di kerusi Parlimen Port Dickson suruh saja beliau mempertahankan kerusi tersebut.
Belum pun lagi diumumkan pembubaran Parlimen; Anwar Ibrahim sudah pun mengumumkan untuk mempertimbangkan bagi bertanding di kerusi Parlimen Tambun. Ini juga melambangkan Anwar Ibrahim tidak pernah menghargai para pengundi setempat yang telah mengundi beliau untuk memenangi kerusi Parlimen Port Dickson pada PRK Port Dickson tiga tahun yang lepas.
Rakyat tempatan mengundi beliau dengan harapan kawasan Parlimen Port Dickson dapat dibangunkan secara progresif demi kesejahteraan masa hadapan mereka. Inilah sikap rakus Anwar Ibrahim yang lebih mementingkan agenda kepentingan politik peribadi dari kepentingan rakyat jelata.
Hakikatnya, percaturan politik lapuk Anwar Ibrahim harus ditolak secara total oleh semua rakyat Malaysia.
