“Anwar koyak teruk apabila dicabar supaya menunjukkan bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan”
Raggie Jessy Rithaudeen
ايسو دانا جودي: انور چاكڤ كوسوڠ تق ڬونا، تونجوق فايل كالاو بتول-بتول اد
Pada perhimpunan agung UMNO 1999, ketua pemuda UMNO ketika itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyeru agar gejala rasuah, nepotisme dan kronisme dihapuskan di Malaysia.
Seruan itu dikatakan ditujukan khas kepada Tun (Datuk Seri pada ketika itu) Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan Perdana Menteri Malaysia dan presiden UMNO pada ketika itu.
Ucapan Zahid senada dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang beretorik sedemikian sejak sebelum Perhimpunan Agung UMNO lagi.
Melihatkan gelagat mereka, Mahathir tiba-tiba menerbitkan senarai semua penerima kontrak kerajaan, peluang penswastaan dan peruntukan khas Bumiputera bagi ekuiti tersenarai awam.
Rakyat terkejut melihat nama bapa dan abang Anwar serta Zahid sendiri dalam senarai berkenaan.
Pada awalnya, kedua-dua Zahid dan Anwar membisu.
Kemudian, pada 20 Jun 1999, Zahid mengaku bahawa beliau mendapat manfaat ketika Anwar menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan.
Zahid berkata; “Saya diberi (oleh Anwar) peluang perniagaan termasuk saham syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur.”
Zahid juga mengaku bertemu dengan Mahathir secara peribadi dan memohon maaf.
“Saya memohon maaf kepada Dr Mahathir atas apa yang telah saya lakukan semasa saya memimpin sayap Pemuda parti.
“Saya mengikrarkan taat setia saya kepada Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan presiden Umno, kepada perjuangan parti dan perjuangan menegakkan maruah parti.”
Anak Mahathir juga ada dalam senarai, namun Mahathir menjelaskan bahawa mereka hanya pemegang saham minoriti.
“Jika saya ingin memberi kepada keluarga saya, sudah tentu saya akan memberikan bahagian terbesar kepada mereka.
“Seperti yang kita lihat, nama anak saya ada dalam senarai tetapi mereka adalah pemegang saham minoriti,” katanya.
Kroni Anwar, sebaliknya, menerima banyak projek yang diswastakan semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.
Anwar bukan sahaja gagal cabar Mahathir berhubung dakwaan ini, beliau berdiam diri apabila diminta mengesahkan kesahihan senarai tersebut.
Inilah Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mula-mula berdiam diri, namun, bila pihak yang memfitnahnya keterlaluan, beliau berbicara menerusi bukti hitam-putih, bukan sekadar berkata-kata.
Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya syarikat judi menyalurkan dana kepada pihak lawannya semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Ironinya, Anwar koyak teruk apabila dicabar supaya menunjukkan bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan.
“Nasihat (saya pada) Takiyuddin (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) jangan gopoh kerana saya sekarang di Kementerian Kewangan… fail ada pada saya,” katanya menjawab kritikan Setiausaha Agung PAS tersebut.
Persoalannya, jika Anwar berniat membongkarkan penyaluran dana judi kepada pihak tertentu, kenapa bongkar sekerat?
Bukankah ini memberi ruang kepada spekulasi tidak tentu hala dan berisiko menaikan lagi suhu politik negara?
Nasihat saya kepada Anwar mudah – cakap kosong memang tak guna, contohilah Mahathir dan tunjukkan fail yang dimaksudkan kalau betul-betul ada.
Kalau tidak ada, katakan tidak ada.
