Raggie Jessy Rithaudeen
Semenjak dua menjak penglibatan pemimpin DAP dalam usaha menghidupkan keganasan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia dibongkarkan PDRM, pelbagai helah digunakan oleh Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mengalih perhatian umum dari isu tersebut.
Ini termasuklah usaha menekan kerajaan persekutuan memansuhkan Akta SOSMA dan perbincangan terbuka isu peralihan kuasa dari Tun Dr Mahathir Mohamad ke Anwar.
Kalau saudara-saudari perhatikan, alasan-alasan yang diketengahkan oleh ketiga-tiga mereka dalam isu SOSMA tidak masuk akal sama-sekali dan merupakan langkah terdesak bagi menjaga air muka yang berkerut akibat dari kekecewaan dan panik.
Pertamanya, tidak pernah tertulis di mana-mana bahawa Pakatan Harapan bersetuju Akta SOSMA dimansuhkan, cuma agar ianya dikaji semula bagi mengubahsuai bahagian-bahagian yang difikirkan melanggar hak asasi manusia.
Keduanya, Kit Siang dan Guan Eng tidak pernah berbunyi sebelum ini ketika individu-individu tertentu ditahan dan (atau) disoal oleh pihak polis di bawah Akta SOSMA, termasuklah Hafiz Othman yang ditahan Mei lalu kerana memiliki bahan berkaitan kumpulan pengganas IS (Islamic State).
Ketiga, bukan hanya Kit Siang dan Guan Eng terlibat secara langsung dengan gabungan parti pemerintah, Guan Eng sendiri merupakan menteri kanan dan seharusnya membincangkan isu SOSMA menerusi saluran yang betul, iaitu kabinet persekutuan, dan bukannya menerusi media massa.
Malah, penangkapan empat pemimpin DAP di bawah Akta SOSMA sebenarnya dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebuah agensi kerajaan yang terletak betul-betul di bawah Kementerian Dalam Negeri yang pada ketika ini diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, presiden PPBM.
Maknanya, isu LTTE ini sebenarnya melibatkan seorang pemimpin kerajaan yang bergelar menteri (Muhyiddin) yang bersetuju agar PDRM menahan dua pemimpin kerajaan bergelar ADUN, di mana penahanan kedua-dua pemimpin tersebut mendapat tentangan hebat oleh seorang lagi pemimpin kerajaan yang turut bergelar menteri (Guan Eng).
Pelik bukan?
Persoalannya, jika benar Guan Eng tidak berpuas hati dengan penahanan tersebut, mengapakah beliau tidak pernah usulkan mesyuarat tergempar kabinet bagi membincangkannya ataupun berbincang terus dengan Muhyiddin?
Begitu juga, jika Anwar benar-benar tidak sabar ingin menjadi Perdana Menteri, mengapakah beliau tidak pernah usulkan mesyuarat Majlis Presiden PH bagi membincang semula isu peralihan kuasa ataupub jumpa terus dengan Mahathir?
Nampak tak percubaan untuk mengaburi mata rakyat?
Percayalah, kesemua perbincangan ‘terbuka’ ini disengajakan dengan niat mengalihkan perhatian umum daripada hakikat bahawa kedua-dua DAP dan PKR pada ketika ini sedang berada di ambang kehancuran.
Jumaat lalu, saya menulis:
Lim Kit Siang, yang berasa tidak puas hati dengan tindakan pihak polis menyiasat Dong Zong dan menahan beberapa ahli DAP di bawah SOSMA.
Menurut sumber, Lim terasa lemas kerana tahu kepimpinan DAP tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa berdiam diri sambil Mahathir menunjukkan taringnya kepada semua, terutamanya UMNO, sebagai tanda beliau amat berkuasa dan mampu melakukan apa-apa tanpa ditentang.
Ya, suka tak suka, Mahathir pada ketika ini mempunyai sokongan majorti ahli parlimen, termasuklah sepuluh daripada DAP, sekaligus menjadikan kedudukkan beliau sebagai Perdana Menteri kukuh dan di luar batasan pertikaian.
Sekiranya Kit Siang benar-benar ingin Mahathir letak jawatan dan yakin Anwar memiliki sokongan majoriti, sudah tentu beliau akan usahakan usul undi tidak percaya terhadap Mahathir sepertimana yang dirancang oleh pihak Anwar sebelum ini.
Malangnya, Lim tahu kedudukan Mahathir cukup kuat akibat dari kesedaran majoriti ahli parlimen bahawa sekiranya Anwar tidak mampu mengawal Dato’ Seri Azmin Ali, masakan beliau boleh menandingi gandingan Mahathir-Azmin.
Saya akan membuat pendedahan penuh berhubung perkara ini tidak lama lagi.
Buat masa ini, apa yang saudara saudari perlu tahu, ialah cadangan Muhyiddin agar isu peralihan kuasa dibawa ke Majlis Presiden PH merupakan satu cabaran kepada Anwar untuk buktikan kewujudan perjanjian peralihan kuasa ‘dua tahun’.
Begitu juga, cadangan tersebut merupakan satu cabaran kepada Kit Siang dan Guan Eng untuk jelaskan mengapa mereka diam ketika seorang pekerja restoran, Hafiz Othman, ditahan di bawah Akta yang sama Mei lalu.
Ya, Kit Siang, Guan Eng dan Anwar Ibrahim tidak lagi mempunyai sebab untuk mengungkit isu peralihan kuasa atau penggunaan Akta SOSMA di media melainkan isu-isu ini dibawa terus ke Majlis Presiden PH dan (atau) mesyuarat tergempar kabinet.
Bersambung…
