KENYATAAN MEDIA
Presiden parti PKR Anwar Ibrahim jangan terlalu yakin dan ‘syok sendiri’ kerana pada hakikatnya parti PKR akan mengalami nasib yang sama seperti PRN Melaka, Johor dan Sarawak pada PRU15. Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin PKR lupa pada PRU14 parti mereka menang besar kerana penyatuan serta kesepakatan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad pada waktu itu.
Para pengundi pada PRU14 yakin dengan pembangkang semata-mata kerana aura Tun Dr Mahathir Mohamad amat kuat sehingga dapat menarik lebih kurang dua belas peratus undi melayu atas pagar untuk menyokong PH.
Tambahan pula, rakyat dan pengundi di waktu PRU14 amat yakin dengan parti pembangkang kerana Tun Dr Mahathir Mohamad serta kami semua bertanding di bawah logo parti PKR.
Pada PRU15 PH telah kehilangan parti BERSATU yang diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2018 dan faktor yang terburuk adalah PKR telah berpecah teruk sekarang.
Selain hilang undi yang ditolong oleh parti BERSATU; kini PKR juga bakal hilang undi dari para penyokong Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Kamaruddin Jaffar serta lapan lagi tokoh-tokoh pemimpin yang berpengaruh yang telah keluar dari parti ini.
Orang Melayu pula sudah hilang keyakinan dengan Anwar Ibrahim dan mengetahui perangai ‘tidak senonoh’ beliau. Kini, Anwar Ibrahim juga dikenali sebagai pemimpin politik ‘kaki penipu’ yang senantiasa menipu untuk beliau dapat jadi Perdana Menteri tetapi tidak pernah menjadi realiti.
Pengundi dari pelbagai kaum lain juga sudah tidak mempercayai Anwar Ibrahim dan PH lagi kerana kecewa dengan sikap mereka memeterai ‘Confident And Supply Agreement’ (CSA) dengan kerajaan yang diterajui oleh UMNO.
Dari tahun 2014 sehingga 2018 kita semua bermatian melawan kerajaan kleptokrasi UMNO dan kini Anwar Ibrahim serta PH sanggup menyokong sebuah kerajaan yang diterajui oleh UMNO melalui permeteraian ‘CSA’ tersebut.
Pada realitinya, Anwar ibrahim dan PH yang menyambung serta menguatkan ‘tali hayat’ kerajaan yang ditunjang oleh UMNO. Secara tidak langsung juga, Anwar Ibrahim dan PH yang menguatkan kedudukan UMNO pada hari ini setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin bertanggungjawab menyerahkan kuasa pada UMNO. Kuatnya kerajaan dan pemimpin-pemimpin UMNO adalah hasil sokongan dari Anwar Ibrahim dan PH.
Dalam masa yang sama Anwar Ibrahim serta PH mengkritik dasar pentadbiran kerajaan kleptokrasi 2.0 tetapi mereka terlupa bahawa dalam masa yang sama Anwar Ibrahim serta PH turut membantu memperkuatkan atau menstabilkan parti UMNO.
Semua pemimpin-pemimpin pembangkang harus ketepikam ego masing-masing sekiranya hendak tubuh semula kerajaan persekutuan di Putrajaya. Kita akui sukar untuk semua pembangkang bergabung di bawah satu ‘coalition’ tetapi memadai sekiranya semua pihak boleh berbalik ke meja rundingan untuk ujudkan ‘electoral pact’ bagi menumbangkan UMNO serta BN.
Seandainya semua parti-parti pembangkang dapat mencapai kata sepakat bagi mengujudkan ‘electoral pact’ agar tiada pertembungan secara banyak penjuru bakal membawa kita semua balik ke Putrajaya buat kali kedua. Pertandingan banyak penjuru sesama pembangkang akan memberi kemenangan mutlak pada UMNO dan BN. Tokoh-tokoh dari parti-parti pembangkang boleh ‘tepuk dada tanya selera. ‘‘Bersatu kita teguh; bercerai kita roboh.’
Sekiranya pembangkang hilang kuasa pada PRU15 ini bermakna kita akan hilang kuasa buat selamanya. Kerajaan BN yang ditunjang oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang korup akan salahguna kuasa untuk menjaminkan agar mereka akan berkuasa buat selamanya.
Presiden UMNO Zahid Hamidi sudah mengakui dalam Perhimpunan Persidangan MIC bahawa semua pemimpin-pemimpin korup mereka akan ditangkap sekiranya pembangkang kembali berkuasa selepas PRU15 nanti.
Inilah juga salah satu daripada alasan pemimpin-pemimpin kleptokrats UMNO tidak mahu Tun Dr Mahathir Mohamad kembali berkuasa kerana tokoh negarawan ini amat tegas dalam memerangi rasuah di negara kita.
Yang Benar,
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Ketua PEJUANG Wilayah Persekutuan Merangkap
Pengerusi GTA Wilayah Persekutuan
