Anwar menang tanpa bertanding, giliran Mahathir pula mengumumkan pelan peralihan kuasa

TTF: Dato’ Seri Azmin Ali nampaknya telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding menetang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pemilihan jawatan presiden PKR.

Setakat ini, kami tidak dapat mengenalpasti sebab sebenar Azmin mengambil keputusan tersebut walaupun Dr Mahathir Mohamad sendiri inginkan beliau bertanding kerusi presiden.

Walau apapun, TTF mengucapkan tahniah kepada Dato’ Seri Anwar atas kejayaan beliau dan berharap agar Dr Mahathir akan mengumumkan dalam masa yang terdekat satu pelan peralihan kuasa yang selaras dengan janjinya untuk menjadikan Anwar Perdana Menteri.

Pengumuman tersebut bakal membantu Anwar megatur strateginya memandangkan beliau sendiri perlu menjadi seorang ahli Parlimen sebelum mampu menerajui tampuk pimpinan negara.

KUALA LUMPUR: Pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi PKR 2018 menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Ismail Yusof, berkata keputusan tidak rasmi itu akan disahkan dalam satu mesyuarat, Rabu ini.

Katanya, ibu pejabat parti akan mempamerkan nama semua calon yang layak bertanding, selain memperuntukkan tempoh tiga hari untuk sebarang rayuan atau bantahan dikemukakan.

“Selepas tamat masa tiga hari, senarai calon akan dimuktamadkan dan proses cabutan nombor calon bakal diadakan pada 19 Ogos ini.

“Gambar dan nombor calon akan tertera dalam ‘tablet’ yang digunakan pada proses pemilihan parti berteraskan pelaksanaan e-undi,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Jawatan Timbalan Presiden PKR menyaksikan pertembungan antara Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Kerusi Naib Presiden PKR yang hanya memperuntukkan empat kekosongan pula bakal direbut 12 pesaing, termasuk empat penyandang jawatan berkenaan. Tiga tempat bagi jawatan sama akan dibuat secara lantikan.

Penyandang jawatan itu adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Samsul Iskandar Mohd Akin; Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr A Xavier Jeyakumar dan bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang.

Antara muka baharu bagi merebut jawatan berkenaan ialah Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli PKR Cabang Puchong, Michael Tamil; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; Ahli PKR Cabang Padang Serai, Prof Datuk Dr G Balasubramaniam dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

Jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang hanya memperuntukkan 20 kekosongan pula menyaksikan saingan membabitkan 86 orang apabila proses pencalonan ditutup pada jam 5 petang tadi.

Gelanggang persaingan bagi Ketua Wanita PKR menyaksikan senario berbeza apabila Naib Presidennya, Dr Fuziah Salleh mengambil keputusan ‘turun pangkat’ untuk bertanding jawatan berkenaan dan bakal berdepan lawan Haniza Talha yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR.

Jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dijangka sengit apaibla merekodkan pertembungan tiga penjuru, antara Ahli Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasir; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Saingan bagi jawatan EXCO AMK dan Wanita PKR, masing-masing menyaksikan 49 dan 45 pencalonan.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, tempoh tiga hari, iaitu dari 8 hingga 11 Ogos juga akan digunakan untuk proses saringan yang dikendalikan juruaudit.

“Jika kita terima maklumat berbentuk bantahan terhadap sebarang jawatan, sama ada daripada ahli atau akses data yang PKR peroleh, ia akan dipertimbang dalam tempoh tiga hari ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian Online

Comments

Comments


Loading...