Raggie Jessy Rithaudeen
Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, hari ini menjadikan kempen PKR Rantau kempen peribadinya apabila berjanji tidak akan melupakan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut setelah beliau menjadi Perdana Menteri.
Menurut laporan Utusan Online, Anwar menjelaskan bahawa kawasan parliemen yang dimenanginya baru-baru ini, iaitu Port Dickson (PD), terletak bersebelahan dengan Rantau, menjadikannya mudah untuk beliau memastikan “limpahan pembangunan” di PD turut sampai ke Rantau.
“Port Dickson sebelah sahaja, sekarang Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad wakil Langkawi, lepas ini saya punya giliran wakil Port Dickson. Saya jadi Perdana Menteri nanti, saya tak lupa Rantau, saya jaga Port Dickson, saya jaga Rantau dan kawasan keliling.
“Rantau ini macam saya punya kawasan, menang Dr. S. Streram, Rantau jadi kawasan Anwar Ibrahim. Rantau akan jadi seperti Port Dickson kawasan Perdana Menteri baharu akan datang,” katanya sewaktu program ceramah di pekan Rantau di sini malam tadi.
Jika diteliti, kenyataan tersebut membuktikan secara langsung bahawa kempen Pakatan Harapan di DUN Rantau bukannya kempen Streram, tetapi Anwar, yang dikhabarkan risau akan dicantas oleh Mahathir tidak lama lagi berikutan kegagalan usul undi tidak percaya yang dirancang oleh presiden PKR tersebut bersama-sama pemimpin-pemimpin tertentu dari Pakatan bagi menggulingkan Mahathir.
Justeru, Anwar dikatakan sedang menggunakan PRK Rantau sebagai permulaan kepada satu rancangan jangka sederhana untuk mencantas Mahathir dengan membuktikan terlebih dahulu kepada ahli-ahli parlimen Pakatan bahawa rakyat sanggup memberikan sokongan padu terhadap kerajaan sekiranya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.
Atas dasar inilah beliau mencalonkan seorang yang dianggap asing oleh pengundi Rantau bagi menentang calon Barisan Nasional, iaitu Dato’ Seri Mohamad Hasan, yang sememangnya merupakan seorang “heavyweight” kerana pernah menyandang jawatan Menteri Besar Negri Sembilan.
Dengan menabur janji-janji manis sebagai “bakal Perdana Menteri,” Anwar berharap untuk ‘memenagkan’ Streram di Rantau dan menggunakan kemenangan tersebut sebagai bukti bahawa namanya lebih laku dari Mahathir dan mampu merubah prestasi buruk calon-calon Pakatan dalam beberapa PRK kebelakangan ini asalkan pengundi yakin bahawa beliau akan dilantik menjadi Perdana Menteri.
Malah, tidak mustahil Anwar akan menggunakan kemenangan tersebut untuk meraih sokongan seberapa ramai ahli parlimen yang mungkin untuk membuat cubaan kedua mengusulkan undi tidak percaya terhadap Mahathir.
Walaubagaimanapun, seandainya Stream kalah atau menang tipis, ianya pasti akan menguburkan kerjaya politik Anwar buat selama-lamanya, memandangkan beliau akan dilihat sebagai calon bakal Perdana Menteri yang teramat lemah kerana tidak mampu mengugat calon Barisan Nasional yang hanya merupakan seorang bekas Menteri Besar.
Tidak dapat dinafikan bahawa sebilangan besar pengundi yang dahulunya menyokong Anwar sudah tidak yakin lagi dengan janji-janji manis yang ditaburnya dan merasakan beliau begitu taksub dengan keinginannya untuk menjadi Perdana Menteri.
Sekiranya benar perjuangan Anwar bersifat “Islamik progresif” dan pro-rakyat, beliau pasti sudah lama menegur Mahathir atas kepincangan pentadbiran pusat berhubung keadaan ekonomi yang tidak menentu, pengurusan projek-projek infrastruktur (seperti ECRL dan HSR), pengurusan Lembaga Tabung Haji, pengendalian isu Statut Rom, penghinaan terhadap institusi diraja dan pelbagai isu lain yang dilihat lebih mengaibkan golongan Melayu-Islam daripada golongan-golongan lain.
Malangnya, Anwar tidak berbuat demikian kerana takut dicantas oleh Mahathir atas pelbagai tuduhan salahlaku jenayah, termasuk tuduhan melakukan hubungan seks sejenis “di luar tabii” yang buktinya pernah dilihat oleh Mahathir sendiri dan kini berada dengan pihak “Special Branch” di Bukit Aman.
Justeru, selagi Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri, selagi itulah Anwar akan berpura-pura menyokong segala apa yang dilakukan oleh Mahathir biar apapun kesannya terhadap rakyat sambil merancang secara senyap dan halus untuk mencantas Mahathir.
Ini memandangkan prinsip perjuangan Anwar bukanlah “reformasi ke arah sebuah Malaysia baru” sepertimana yang diwar-warkan beliau sebelum PRU14, tetapi bertumpu semata-mata terhadap agenda keluarganya dan keinginannya yang teramat luarbiasa untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
