“Hakikatnya, bukan hanya Anwar telah mengesahkan tidak memiliki sokongan majoriti, kedudukan Mahathir sebagai Perdana Menteri hanya boleh ditentukan oleh Dewan Rakyat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong biar apapun ketetapan Majlis Presiden Pakatan Harapan”
Raggie Jessy Rithaudeen
انور سهكن تيدق ميليكي سوكوڠن ماجوريتي
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengeluarkan kenyataan berbelit yang bunyinya seperti berikut:
“Saya bertemu Perdana Menteri di Putrajaya sekembalinya saya dari Port Dickson.
“Dalam pertemuan tersebut saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad membincangkan mengenai peralihan kuasa. Saya bangkitkan isu tersebut kerana ada usaha daripada PAS, sekumpulan dari UMNO dan sebilangan kecil dari KEADILAN sendiri yang dipercayai berusaha mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir sehingga akhir penggal.
“Perdana Menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegas bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan.
“Saya cenderung agar beliau terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC). Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada 21 Februari ini.
“Saya turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan PH dan beberapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinannya selaku Perdana Menteri Ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri Ke-8.
“Saya juga ingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – KEADILAN, DAP, AMANAH dan PPBM”
Persoalannya, jika Anwar sudah sahkan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) akan muktamadkan tempoh Mahathir sebagai Perdana Menteri, buat apa cuba mendapatkan pengesahan daripada Mahathir?
Dan jika Anwar yakin memiliki sokongan majoriti ahli parlimen, buat apa khuatir wujudnya usaha PAS, UMNO dan sebilangan pemimpin PKR untuk mendapatkan tandatangan menyokong Mahathir?
Nampak sangat Anwar sedang cuba bermain persepsi dengan kedua-dua ahli parlimen dan juga rakyat jelata.
Hakikatnya, bukan hanya beliau telah mengesahkan tidak memiliki sokongan majoriti menerusi kenyataan hari ini, kedudukan Mahathir sebagai Perdana Menteri hanya boleh ditentukan oleh Dewan Rakyat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong biar apapun ketetapan Majlis Presiden Pakatan Harapan.
Semalam, TTF melaporkan bahawa Mahathir sah memperoalehi sokongan majoriti ahli parlimen dan sedang cuba mendapatkan sokongan dua per tiga.
Sebelum itu, portal Sarawak Report milik Clare Rewcastle Brown, sekutu Anwar, cuba menimbulkan keraguan dengan berita palsu kononnya Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam usaha mengekalkan Mahathir sebagai Perdana Menteri bagi menyelamatkan tengkuk mereka.
Bukan hanya ini satu penipuan, saya diberitahu bahawa kem Mahathir dan Najib sebenarnya pernah berunding tetapi gagal mencapai kata sepakat apabila Najib menolak syarat perlu mengaku bersalah dan masuk penjara dahulu.
Apa yang tinggal ialah langkah Mahathir seterusnya, samada beliau bertindak menubuhkan gabungan baru atau melakukan sesuatu di luar jangkaan semua.
