Azwanddin hanya diambil keterangan, tidak ditahan

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiga pimpinan Gagasan Tiga (G3) yang diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pagi tadi tidak ditahan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pemimpin G3 iaitu Datuk Azwanddin Hamzah dan Raggie Jessy Rithaudeen hanya dipanggil untuk diambil keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan polis behubung ancaman rusuhan gaya 13 Mei terhadap penyokong DAP.

“Tiada tangkapan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Pengerusi Gagasan Tiga Malaysia (G3), Raggie Jessy Rithaudeen berucap pada Solidariti G3 berhubung pengumuman daripada Timbalan Ketua Polis Negara terhadap sembilan individu yang dikehendaki di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2018

Hamzah berkata, polis Ampang hanya menerima satu laporan terhadap dua individu terbabit tanpa mengetahui sama ada terdapat laporan yang difailkan di balai polis yang berlainan terhadap mereka.

“Kita tidak tahu bilangan laporan polis dalam sistem,” ujarnya.

Hari ini kira-kira 50 orang berkumpul di luar balai polis Ampang Jaya untuk menunjukkan sokongan mereka kepada pemimpin G3 berkenaan yang diminta tampil untuk diambil keterangan.

Ada dalam kalangan mereka yang memegang plakad yang menyatakan “Kami menyokong Gagasan 3”.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) merangkap Penasihat Kehormat Gagasan Tiga Malaysia (G3), Datuk Azwanddin Hamzah berucap pada Solidariti G3 berhubung pengumuman daripada Timbalan Ketua Polis Negara terhadap sembilan individu yang dikehendaki di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 25 NOVEMBER 2018

Ia susulan laporan media semalam berhubung pemimpin G3 telah diperintahkan hadir ke Balai Polis daerah Ampang untuk disoal siasat.

Terdahulu Azwanddin berkata, pihak polis telah menghubunginya sejak minggu lalu untuk mendapatkan kenyataan.

G3 ditubuhkan pada 21 November lepas bertujuan mahu menyatukan umat Islam Melayu dan menentang DAP.

Ia berikutan perdebatan mengenai rancangan awal kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Racun (ICERD).

Sumber: Malaysia Gazette

Comments

Comments


Loading...