Bahagian Satu: Lahirnya Barisan ‘Baru Nasional’

Raggie Jessy Rithaudeen

Dalam beberapa hari ini, saya akan bentangkan dua senario yang bertentangan – satu pro Mahathir dan satu lagi anti-Mahathir – dalam empat bahagian bagi renungan saudara saudari sekalian.

SENARIO SATU: PRO MAHATHIR

(Bagi mereka yang percaya segala yang Mahathir lakukan adalah untuk kebaikan jangka panjang)




1. Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, merancang dengan teliti segala apa yang berlaku pada hari ini, termasuk pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara dan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

2. Lantikan-lantikan ini susulan daripada kerelaan segelintir pengundi Melayu-Islam mengundi Pakatan Harapan biarpun tahu PH mencapai konsensus untuk menjadikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia ke-8.

3. Ini sekaligus bermakna pengundi Melayu-Islam yang mengundi PH sanggup membiarkan negara ini dikuasai gandingan Anwar-DAP berbekalkan keyakinan bahawa Anwar mampu memastikan DAP berada dalam keadaan terkawal.

4. Justeru, sebelum PRU14, matlamat Mahathir adalah untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang sememangnya diketahui oleh sekumpulan pakar politik tidak mampu bertahan lama.

5. Mahathir tahu, seandainya BN memenangi PRU14, gabungan tersebut tidak akan mampu melepasi PRU15 dan akan memasuki perjanjian pintu belakang dengan Anwar dalam keadaan terdesak sebelum PRU tersebut diadakan.

6. Justeru, Mahathir membuat keputusan untuk bersekutu dengan DAP atas dasar “to defeat the common enemy,” yakni “menumpaskan musuh bersama,” di mana kedua-dua DAP dan PPBM bersetuju untuk berganding bahu bagi menumpaskan UMNO yang difikirkan tersasar dari landasan kebenaran.

7. Hakikatnya, UMNO pada ketika itu sememangnya teramat leka, tidak mampu membaca sentimen pengundi dan teramat sombong hinggakan pemimpin-pemimpinnya merasakan diri mereka tidak mampu ditumpaskan oleh mana-mana pihak, apatah lagi Anwar dan DAP.

Loading...

8. Malah, mereka menjadi teramat egoistik hingga wujud beberapa ‘pakar strategi’ yang mendapat gaji jutaan ringgit setiap tahun tetapi membuat kerja sekerat jalan sambil mengemukakan penemuan-penemuan yang tidak berpaksi pada realiti semata-mata untuk menjaga poket masing-masing.

9. Pakar-pakar ini tidak pernah sepakat dalam melaksanakan tugas dan sering ‘bersaing’ antara satu sama lain bagi menunjukkan kepada ‘bos’ masing-masing siapa yang lebih hebat.

10. Persaingan ini menjurus kepada penipuan dalam beberapa penemuan yang dikemukakan oleh pakar-pakar ini kepada Perdana Menteri, dimana angka-angka yang dibentangkan ada kalanya diubahsuai agar kelihatan lebih mantap dan menarik sebagai tanda ‘strategi’ mereka berjaya dan berkesan.

11. Sel-sel media pula tidak pernah berganding bahu bagi memastikan segala bahan yang ditulis ataupun disediakan oleh ‘pengeluar bahan’ (content creator) disebarkan secara meluas dan efektif kerana terlalu sibuk bersaing sesama sendiri.

12. Mahathir, yang sememangnya menyumbang kepada segala yang baik dan buruk dalam UMNO, tahu benar akan masalah ‘feudalisme’ dan ego yang melarat dalam parti tersebut dan bagaimana pemimpinnya tersasar jauh dari landasan kebenaran.

13. Setelah berjaya menumbangkan UMNO pada PRU14, beliau terus mengorak langah melakukan tiga perkara berikut secara berperingkat:

a. memberikan kuasa ‘mutlak’ kepada DAP untuk menentukan aliran dan agihan kewangan negara kecuali dalam hal-hal bersabit raja-raja Melayu.

b. memberikan kuasa ‘mutlak’ kepada DAP untuk mengawal perundangan, dan

c. memberikan kuasa kepada AMANAH untuk menentukan dasar-dasar agama dengan niat menguji kesabaran dan keikhlasan PAS.

14. Ini menjurus kepada pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, Dato’ Seri Mujahid bin Yusof Rawa sebagai Menteri Agama dan Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara.

15. Mahathir kemudiannya membiarkan Guan Eng dan kuncu-kuncunya, termasuk Tony Pua, untuk mengurus Kementerian Kewangan sesuka hati tanpa sebarang kekangan melainkan keputusan-keputusan bersabit raja-raja Melayu dan Bumiputra yang memerlukan persetujuan daripadanya terlebih dahulu.

16. Selang beberapa bulan, apabila yakin pengundi Melayu-Islam yang sebelum ini sanggup mengundi PKR, AMANAH dan DAP telah belajar dari kesilapan, beliau menggantikan kedudukan ketua SPRM, ketua hakim negara dan ketua polis negara dengan orang-orangnya.

17. Menerusi lantikan-lantikan tersebut, beliau memperolehi kesemua fail melibatkan berpuluh-puluh ADUN dan ahli parlimen PKR, AMANAH dan DAP dan mengarahkan beberapa daripada mereka yang bersekutu dengan Anwar untuk ‘bersiap-sedia’.

18. Kemudian, setelah menganjurkan Kongres Maruah Melayu (KMM), beliau menjadi yakin pucuk pimpinan PAS dan perkumpulan-perkumpulan tertentu mampu meletakkan perjuangan perpaduan ummah dan penentangan terhadap musuh Islam sebagai prioriti, atas daripada segala-galanya.

19. Berbekalkan keyakinan ini dan menerusi perjanjian-perjanjian tertentu dengan sebilangan ahli parlimen yang ‘bermasalah’, beliau memulakan operasi menangkap beberapa ahli DAP dan PKR yang disyaki terlibat dengan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE) sebagai tanda “semboyan sudah berbunyi.”

20. Semboyan yang dimaksudkan turut merupakan ‘isyarat’ kepada UMNO supaya “membuka mata,” sedar diri dan “lakukan apa yang patut,” memandangkan “apa-apa sahaja boleh berlaku” selepas ini, termasuklah pembubaran parlimen secara mengejut.

21. Tidak ramai yang tahu, tujuan sebenar Mahathir mengarahkan penangkapan ahli-ahli DAP dan PKR bawah SOSMA adalah bagi menunjukkan taringnya kepada semua, termasuk UMNO, sebagai tanda beliau amat berkuasa dan mampu melakukan “apa-apa sahaja tanpa ditentang.”

22. Ianya turut merupakan isyarat bagi DAP dan Anwar untuk buktikan mereka benar-benar mempunyai sokongan majoriti di parlimen dengan cuba menyingkirkan Mahathir daripada jawatan Perdana Menteri.

23. Mahathir sebenarnya memberikan satu tempoh masa tertentu bagi Anwar dan DAP untuk buktikan perkara ini, di mana selepas tempoh ‘rahsia’ tersebut, beliau akan bertindak berdasarkan beberapa opsyen yang sedia ada pada dirinya.

Bersambung…



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...