“Najib mengaku tidak tahu samada Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud benar-benar menderma RM2.6 bilion kepadanya ataupun tidak. Ianya merupakan pengakuan secara tidak langsung oleh Najib sendiri bahawa beliau memperdaya seluruh rakyat Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 apabila mengesahkan bahawa dana itu sah derma daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud”
Raggie Jessy Rithaudeen
Pada 11hb Jun 2018, saya mendedahkan satu dokumen bertajuk “Kertas Siasatan Terhadap Najib Razak” yang disediakan oleh mantan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, ketika beliau masih bergelar ‘penolong’ Pesuruhjaya SPRM.
Dalam kertas siasatan itu, Shukri mencadangkan bahawa transaksi dana berjumlah RM3,197,596,146.28 ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak diketahui oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, dan dibenarkan olehnya.
Kertas siasatan itu mencadangkan bahawa Zeti ada berkomunikasi dengan wakil dari kerajaan Arab Saudi dan sendiri mencadangkan agar sejumlah tertentu dana dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Tetapi kesemua ini hanyalah berdasarkan maklumat yang diterima oleh pihak penyiasat SRPM berdasarkan interaksi mereka dengan pihak-pihak tertentu yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dengan transaksi itu.
Pada ketika itu, Najib sendiri mengesahkan secara peribadi kepada saya bahawa Zeti tahu perihal dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sebelum transaksi itu berlaku.
Saya mempercayai Najib dan mula mengesyaki bahawa Zeti terlibat dalam satu konspirasi bersama Shukri Abdull dan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas untuk mengaibkan Najib dalam soal ‘derma’ RM2.6 bilion.
Justeru, pada 24hb Jun 2018, saya membuat satu sidang media, di mana saya memberitahu para wartawan yang hadir bahawa kertas siasatan Shukri jelas menunjukkan tiga perkara:
1. Zeti tahu identiti pihak yang didakwa ‘penderma’ yang memasukkan dana RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib.
2. Zeti tahu bahawa dana berkenaan adalah ‘derma’ daripada kerajaan Arab Saudi, melibatkan Najib dan Raja Arab Saudi, dan
3. Zeti yang mencadangkan agar ‘derma’ itu dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.
Saya kemudian mempersoalkan mengapa Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dipanggil untuk disoal siasat oleh pihak SPRM sedangkan Zeti tidak pernah dipanggil.
Saya turut merujuk kepada kenyataan Shukri di mana beliau mendakwa diugut sewaktu menjalankan siasatan terhadap kes Najib pada 2015.
Saya bertanya mengapa Shukri dilantik sebagai ketua SPRM selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan seterusnya mengetuai siasatan terhadap Najib sedangkan Shukri sendiri harus disiasat bagi menentukan kesahihan penemuan-penemuan dalam “Kertas Siasatan Terhadap Najib Razak.”
Saya memberitahu, sepatutnya, ada pihak ketiga yang dilantik untuk mengetuai siasatan sehingga nama Shukri dibersihkan bagi mengelakkan persepsi berlakunya konspirasi antara Zeti dan Shukri untuk mengaibkan Najib.
Walaubagaimanapun, pada 26hb Oktober 2018, dalam satu temuramah bersama Al Jazeera, Najib mengaku bahawa beliau tidak mengesahkan sumber dana RM2.6 billion yang masuk ke dalam akaun peribadinya.
Dalam temuramah itu, Najib turut mengaku bahawa beliau hanya “menganggap” dana itu adalah ‘derma’ setelah Raja Arab Saudi pada ketika ‘derma’ itu dibuat, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud, mengesahkan sokongannya terhadap Najib.
Ini sekaligus bermakna Najib mengaku tidak tahu samada Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud benar-benar menderma RM2.6 bilion kepadanya ataupun tidak.
Ianya turut merupakan pengakuan secara tidak langsung oleh Najib sendiri bahawa beliau memperdaya seluruh rakyat Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 apabila mengesahkan bahawa dana itu sah derma daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah bin Abdulaziz Al Saud.
Kenyataan Najib turut bercanggah dengan apa yang disampaikan olehnya kepada saya secara peribadi bahawa dana itu sah ‘derma’ yang diberikan oleh pihak yang berkait dengan Raja Arab Saudi dan perkara ini diketahui oleh Zeti.
Kemudian, setelah mengikuti perbicaraan kes SRC dengan teliti, saya menyedari beberapa percanggahan dalam kenyataan Najib dan mula yakin bahawa Najib menipu berhubung isu ‘derma’ kepada rakyat Malaysia dan juga kepada saya.
Saya turut merujuk kembali kepada “Kertas Siasatan Terhadap Najib Razak” yang disediakan oleh Shukri dan mendapati bahawa isu ‘derma’ RM2.6 bilion itu sememangnya tidak dapat disahkan oleh SPRM memandangkan tidak ada dokumen yang dapat membuktikannya.
Walaupun sudah lama menjarakkan diri dari Najib dan menzahirkan sokongan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, pada ketika itulah saya memutuskan untuk bersangka baik terhadap Zeti dan tidak percaya lagi bahawa Zeti bersubahat dengan Shukri untuk mengaibkan Najib.
Saya turut memutuskan untuk menerima baik kenyataan yang dibuat oleh Zeti pada 3hb Julai 2018, di mana bekas Gabenor Bank Negara itu menafikan dakwaan kononnya beliau menyedari kewujudan dana RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib.
Malah, pada 29hb Jun 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengesahkan dalam penghakimannya bahawa tidak ada sebarang bukti menunjukkan dana yang masuk ke dalam akaun peribadi Najib merupakan ‘derma’ dari Raja Arab Saudi.
Nazlan mengesahkan bahawa Najib mendapat persepsi kononnya dana itu adalah ‘derma’ dari apa yang diberitahu kepada Najib oleh Jho Low pada pertengahan 2010, bukanya oleh Raja Arab Saudi sendiri.
Nazlan berkata, Najib tidak pernah mengesahkan bahawa beliau sendiri mendengar Raja Arab Saudi memberitahunya bahawa dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya itu adalah ‘derma’.
Pada ketika itulah saya teringat kembali kenyataan yang dibuat oleh Menteri Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir, yang berkata wang AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang dimasukkan ke akaun Najib bukannya derma politik, tetapi sebaliknya, disalurkan untuk tujuan ‘pelaburan di Malaysia’.
Perkara itu disahkan oleh Adel pada 6hb Febuari 2016, dan pada hari-hari berikutnya, Laskar Siber pro-Najib giat melontarkan perlbagai spekulasi kononnya Adel ‘dibeli’ oleh pihak tertentu dari Pakatan Harapan.
Najib sendiri membuat pengesahan beberapa kali sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 bahawa dana dalam akaun peribadinya itu merupakan ‘derma’ dari Raja Arab Saudi dan gagal mendedahkan bahawa ianya hanyalah andaian semata-mata, tidak lebih dari itu.
Ini kerana Najib tidak sangka kerajaan pimpinan Barisan Nasional akan tumbang dan tidak menjangkakan kes SRC serta 1MDB akan dipanjangkan ke mahkamah.
Hanya selepas Barisan Nasional tumbang sahajalah Najib mengaku bahawa beliau tidak pernah mengesahkan sumber dana RM2.6 billion yang masuk ke dalam akaun peribadinya dan hanya “menganggap” ianya ‘derma’ dari Raja Arab Saudi.
Sebelum itu, untuk menyelamatkan dirinya daripada meringkuk dalam penjara, Najib kuat menipu dan bertindak memecat sesiapa sahaja yang cuba mencabarnya, termasuk bekas Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Jika Najib boleh berbuat demikian sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, masakan dia tidak akan lakukannya lagi seandainya Barisan Nasional kembali menguasai tampuk kepimpinan kerajaan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bersambung…
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
