Bahasa Melayu Lambang Negara Persekutuan Malaysia 

Danny Liew

Izinkan saya mulakan rencana kali ini dengan ungkapan daripada Menteri Kewangan, Encik Lim Guan Eng apabila ditanyakan isu pelantikannya sebagai Menteri Kewangan berketurunan Cina pertama selepas Tun Tan Siew Sin, selepas hampir 4 dekad.

“Saya bukan Cina. Saya orang Malaysia”.

Ya, kenyataan yang amat tepat pada tempat dan masa. Sebagai rakyat Malaysia, adalah wajib bagi kita untuk menumpahkan taat setia kita kepada Yang DiPertuan Agong dan sudah tentunya kita perlu fasih dalam Bahasa Melayu.

Tetapi apa yang kita perhatikan hari ini adalah polemik kepada penggunaan Bahasa Melayu, bahasa yang diwartakan sebagai bahasa kebangsaan.

Polemik ini bukanlah hanya bermula semalam di Mahkamah Putrajaya. Tetapi sudah wujud semenjak zaman pra-kemerdekaan lagi. Bahkan pernah membawa kepada kertas pengkajian pendidikan oleh Menteri Pelajaran selepas Merdeka, iaitu Penyata Rahman Talib.

Ada yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu itu bahasa yang merudum dan tiada masa depan. Ya, kenyataan itu adalah benar, hanya sekiranya penuturnya tidak lagi menutur bahasa tersebut, tidak lagi menggunakan bahasa tersebut.

Bahasa Melayu suatu ketika dahulu di zaman Kesultanan Melayu Melaka merupakan lingua franca bagi rantau ini. Apakah salah sekiranya bahasa yang mempunyai akar di rantau ini dijadikan sebagai tunjang kepada negara ini?

Ya, memang banyak ilmu yang boleh diperoleh daripada bahasa-bahasa lain di dunia, tetapi apakah Bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara kita perlu dikorbankan demi mengejar ilmu-ilmu ini? Atau lebih afdal sekiranya ilmu yang ada pada bahasa-bahasa ini diterjemah kepada bahasa kebangsaan kita ini?

Maaf, sekiranya ada yang merasakan hantaran ini berbaur politik kerana seolah-olah ditujukan kepada seorang penguasa kerajaan yang tidak mahir berbicara dalam Bahasa Melayu. Tetapi juga kepada para penguasa kerajaan lepas yang lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris. Tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan pertama sekali adalah kepada warganegara yang sememangnya sepatutnya fasih berbahasa Melayu.

Saya ingat lagi perasaan saya apabila bertemu warga Thailand yang berketurunan bukan Siam dan warga Indonesia berketurunan bukan Jawa. Lihatlah lenggok lidah mereka berbicara sesama sendiri dalam bahasa kebangsaan negara mereka. Itu jatidiri mereka.

Mungkin ada juga yang akan memperli saya menulis hantaran keras ini dalam Bahasa Melayu, seolah-olah menjual diri saya lebih Melayu daripada Melayu, sedangkan waktu lain saya menulis hantaran dalam Bahasa Inggeris. Hantaran berbahasa Inggeris adakalanya dipilih kerana rakan-rakan saya ada antaranya berasal dari negara luar. Tidak dinafikan juga terdapat ada antara rakan-rakan saya yang lidahnya sudah kelu seperti terkena racun botulism apabila dibawa berbicara dalam Bahasa Melayu. Golongan ini tidak apa, kerana wujud juga golongan yang beringinkan nama depan seperti Mat Salleh atau Minah Salleh walaupun nama pangkal mereka kekal Asia.

Ya, saya bagi paku keras. Kerana kita di zaman mee segera. Cara lemah lembut kadang kala kurang sesuai, apatah lagi kalau sudah dipayungi daun keladi.

Ya, memang benar seorang doktor itu tidak memerlukan penguasaan Bahasa Melayu untuk menyelamatkan nyawa sang pesakit, tetapi sang doktor itu juga memerlukan Bahasa Melayu apabila berbicara dengan si pesakitnya yang rata-rata sepatutnya boleh berbicara Bahasa Melayu.

Tetapi ingat. Sekeras-kerasnya paku yang dipulangkan ini, tidak sesekali saya mengatakan bahawa bahasa lain tidak boleh wujud di negara ini. Bahasa lain perlu dipelajari sebagai pemudahcara bagi kita. Membuka pintu kepada kita di dunia nan luas ini.

Sekiranya warga China dari China mahupun pekerja Bangladesh boleh menguasai Bahasa Melayu, ataupun pelajar China di Universiti Shanghai boleh menguasai Bahasa Melayu, kenapa kita tidak boleh?

Jangan lupa, Menteri Kewangan kita sendiri mengingatkan kita bahawa kita adalah warganegara Malaysia.

Tambahan. Kalau tak faham, guna sahaja Google Translate. Tak susah.

Comments

Comments

Comments

Comments