
“Apakah menteri tidak boleh tangguh majlis-majlis ‘serba mewah’ bagi memberi ruang dan tumpuan kepada misi membantu mangsa-mangsa banjir, yang sememangnya berada dalam keadaan amat memerlukan dan seharusnya didahulukan?”
Raggie Jessy Rithaudeen
بنجير 2021: سموا ماءين لڤس تاڠن، ءكلوارڬ مليسياء انته ك مان
Cara kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri menguruskan misi bantuan mangsa banjir baru-baru ini bukan hanya mengecewakan, ianya menimbulkan tanda tanya sejauh mana kerajaan ini mampu menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Rabu lalu, kita diberitahu bahawa Menteri Besar Selangor sebenarnya telah merayu kepada Ismail Sabri untuk “mengerahkan aset persekutuan” ke lokasi banjir, namun diberitahu oleh Perdana Menteri bahawa itu adalah di bawah bidang kuasa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bukan dia.
Angkatan Tentera Malaysia pula dikatakan mahu membantu usaha bantuan banjir di Selangor yang bermula pada Jumaat (17 Disember) sekitar tengahari – namun tidak mendapat persetujuan daripada NADMA.
Persoalannya, bukankah NADMA terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, dan bukankah Ismail Sabri memiliki hak penuh untuk mengarahkan NADMA melakukan sesuatu dalam keadaan kecemasan?
Nama pun “Agensi Pengurusan Bencana Negara,” maka sudah pasti segala urusan koordinasi dan pengagihan aset persekutuan ketika berlaku bencana banjir terletak di bawah bidang kuasa NADMA.
Malangnya, apabila ditanya, menteri terbabit (di Jabatan Perdana Menteri) mendakwa NADMA hanya menjaga urusan dalam pemberian pampasan kepada mangsa selepas mendapat maklumat dan senarai daripada negeri.
Nak tipu siapa menteri ini?
Hakikatnya, semua nak main lepas tangan, dan mangsanya rakyat jelata yang terkesan secara langsung dengan bencana banjir.
Nama pun “mangsa banjir,” nak mangsakan lagi?
Ismail Sabri patut sedar bahawa rakyat sememangnya sudah dimangsakan sejak langkah Sheraton, dengan politik kemaruk wang, kuasa dan kedudukan yang diamalkan kepimpinan UMNO, PPBM dan PAS.
Sikap rakus kuasa ketiga-tiga parti inilah yang memudaratkan rakyat, apabila tumpuan sepenuhnya diberikan kepada usaha menyahstabilkan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan pembangkang, termasuk di Kedah, Selangor, Perak, Sabah dan Melaka.
Usaha ini membuahkan hasil, apabila dua Pilihan Raya Negeri tercetus sebelum tamat penggal penuh Dewan Undangan Negeri, satu daripadanya di Sabah, yang menjadi punca kegilaan penularan wabak Covid-19 yang tidak reda sepenuhnya hingga ke hari ini.
Mangsanya rakyat, dan Lockdown Separuh Masak yang menyusuli Pilihan Raya Negeri Sabah mengaibkan berjuta rakyat Malaysia yang samada hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan mendadak dalam sumber pendapatan.
Sudahlah rakyat dibebankan, UMNO, PPBM dan PAS pula terang-terang berkomplot menentang satu sama lain, tetapi bersandiwara di depan rakyat kononnya mereka ini “hidup bagaikan satu keluarga besar.”
Keluarga apa, sedangkan PPBM, UMNO dan PAS terang-terang bergaduh bagaikan anjing dan kucing di Melaka!
Apakah ini ‘pembaharuan’ yang dibawa oleh UMNO, PPBM dan PAS kepada lanskap politik negara menerusi pintu belakang?
Isnin lalu, Parti Bangsa Malaysia yang dikaitkan dengan Datuk Zuraida Kamarudin membuat jemputan kepada media bagi pelancaran parti itu di Hotel Wyndham Acmar, Klang.
Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Faizal Azumu, merasmikan majlis pelancaran skuad Sukarelawan pasca banjir di ibu negara, berlatarbelakangkan banner yang cukup besar.
Ini disusuli dengan laporan penglibatan Datuk Seri Nancy Shukri dalam majlis tari-menari di Eastin Hotel, Kuala Lumpur, diakhiri dengan tepukan dan sorakan meriah.
Kemudian, Ismail Sabri mengadakan Majlis Doa Kesyukuran 100 hari di Ballroom nombor 2, Tropicana Golf Club.
Inikah perangai menteri-menteri kita?
Apakah majlis-majlis ‘serba mewah’ ini tidak boleh ditangguh bagi memberi ruang dan tumpuan kepada misi membantu mangsa-mangsa banjir, yang sememangnya berada dalam keadaan amat memerlukan dan seharusnya didahulukan?
Fikir-fikirkanlah…
WAJIB BACA:
BANJIR 2021: SAYA TERKEJUT DENGAN PENDEDAHAN MB SELANGOR, TAK SANGKA PM BOLEH ‘LEPAS TANGAN’
