
“Tidak mustahil Muhyiddin mengalah dan melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana cemas akan berlaku pengunduran ahli-ahli parlimen dari UMNO minggu ini”
Raggie Jessy Rithaudeen
ببراڤ اهلي ڤرليمين تاريق سوكوڠن دري كراجأن دالم ماس تردكت…
Kenyataan Datuk Seri Azmin Ali kononnya mesyuarat kepimpinn Perikatan Nasional yang diadakan semalam merupakan “mesyuarat biasa” disangkal oleh sumber-sumber dalaman dari UMNO dan PPBM yang tidak ingin dinamakan.
Menurut mereka, mesyuarat itu dijangka telah membincangkan, antara lain, kemungkinan sekumpulan ahli-ahli parlimen menarik sokongan mereka dari kerajaan sebelum pembentangan Belanjawan 2021.
“Ramai ahli parlimen (dari UMNO) tidak berpuas hati dengan Muhyiddin dan mungkin menarik sokongan mereka.
“Kumpulan ini tidak mempercayai Zahid juga dan tidak bersetuju dengan beberapa keputusan yang dicapai oleh (Majlis Kepimpinan Tertinggi) UMNO pada 27 dan 29hb Oktober lalu.
“Ada juga dari PPBM,” dakwa seorang sumber.
Menurutnya, tidak mustahil Muhyiddin mengalah dan melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana cemas akan berlaku pengunduran ahli-ahli parlimen dari UMNO minggu ini.
Semalam, Azmin mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin sekadar meminta semua bersedia untuk menghadapi sidang Dewan Rakyat yang akan bermula hari ini.
“Perjumpaan ini hanya mesyuarat pra-majlis melibatkan ketua whip, dan perdana menteri memaklumkan kami perkembangan terkini dan kami perlu bersedia untuk sesi (Parlimen) yang akan berlangsung,” kata Azmin yang juga Ketua Whip kerajaan.
Bagaimana pun, sumber dari PPBM mendakwa, perjumpaan itu diadakan kerana Muhyiddin mengesyaki beberapa menteri dan ahli-ahli parlimen dari UMNO akan menarik sokongan dari kerajaan sebelum pembentangan Belanjawan 2021.
Sebelum ini, saya berulang kali memaklumkan kewujudan Team B yang tidak bersekutu dengan Team A pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru, segala keputusan Majlis Kepimpinan Tertinggi UMNO yang dicapai pada 27 dan 29hb Oktober, termasuk keputusan untuk mengadakan gencatan politik, tidak mewakili kehendak semua ahli parlimen dan pemimpin parti.
Ini kerana majoriti ahli-ahli MKT berasal dari Team A yang hanya disokong oleh sembilan hingga sebelas ahli parlimen dan sekumpulan kecil pemimpin-pemimpin bahagian dan cawangan.
Manakala itu, majoriti ahli-ahli parlimen dan pemimpin-pemimpin parti menyokong Team B dan berdiri teguh dengan Tengku Razaleigh Hamzah dan beberapa pemimpin parti yang lain.
Semalam, saya menerbitkan semula satu laporan yang mendakwa, UMNO tidak puas hati dengan tindakan Muhyiddin menyerang menteri-menteri dari parti itu dalam mesyuarat kabinet Rabu lalu.
Menurut laporan itu, Muhyiddin mempersoalkan pendirian menteri-menteri UMNO yang didakwa sebulat suara menyokong cadangan darurat sebelum Agong menolaknya.
Keadaan itu tidak menyenangkan UMNO dan sekurang-kurangnya enam menteri telah membantah dengan menegur terus Muhyiddin agar beliau tidak terus memperkecilkan UMNO.
“Itulah sebabnya UMNO mengadakan mesyuarat MT Umno dua kali dalam masa seminggu,” dakwa laporan itu.
Dalam mengesahkan perkara ini, sumber dari UMNO berkata, menteri-menteri dari parti itu sememangnya bersetuju untuk menyokong usul darurat sebelum Muhyiddin membawa usul itu ke Yang Di-Pertuan Agong.
“Tetapi Agong sudah buat keputusan, maka sudah tentulah menteri-menteri itu akan hormati dan sokong titah Agong.
“Jika Muhyiddin tidak berpuas hati, maknanya dia tidak berpuas hati dengan Agong lah.
“Barangkali ini juga dibincangkan dengan Zahid semalam, saya tak pasti. Yang saya tahu, ahli-ahli parlimen dan menteri yang tidak sokong Zahid akan buat apa yang patut.
“Mereka tidak lagi merujuk kepada keputusan Zahid atau MKT. Kalau mereka nak tarik sokongan, mereka akan buat. Sudah sampai tahap itu.
“Muhyiddin tahu benda ini. Mudah sahaja, tak rumit.”
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
