
Khairuddin Abu Hassan
Sesuatu Belanjawan asas dan teras utamanya adalah untuk memelihara kebajikan rakyat, kelangsungan ekonomi serta menjamin kemampanan ekonomi negara.
Di saat menghadapi krisis pandemik Covid-19 yang sedang mengganggu eko-sistem perniagaan negara telah memberi satu cabaran paling hebat kepada keseluruhan lapisan masyarakat di negara kita.
Situasi masakini yang telah menjejas ekonomi 150 buah negara di seluruh dunia serta kedudukan ekonomi negara dianggarkan rugi RM2 sehingga RM2.4 bilion setiap hari natijah daripada pandemik Covid-19 ini.
Sebab itu Belanjawan 2021 harus diderafkan secara komprehensif dan amat teliti kearah menjadi pemangkin anjakan ekonomi yang boleh memakmurkan semula aktiviti perniagaan di negara kita khususnya.
Malangnya, pada hari ini kita mempunyai seorang menteri kewangan yang lemah yang tidak mampu bagi melakarkan Belanjawan 2021 kearah mengatasi setiap permasalahan cabang ekonomi seterusnya merancakkan semula perjalanan aktiviti-aktiviti perniagaan kearah memakmurkan kelangsungan ekonomi Malaysia.
Pembentangan Belanjawan 2021 tidak menampakkan secara khusus bagaimana kerajaan boleh fokus untuk membangunkan semula aktiviti-aktiviti perniagaan syarikat-syarikat tempatan bagi menjaminkan keseluruhan syarikat-syarikat ini boleh terus ‘survive’ bagi menjaminkan masalah tenaga kerja tidak terjejas seperti pengangguran berskala besar daripada berlaku.
Fokus membantu kebajikan rakyat mesti seimbang dengan menjaga kebajikan syarikat-syarikat yang memberi peluang pekerjaan serta pendapatan kepada para pekerjanya.
Seandainya fokus membantu syarikat-syarikat tidak berlaku sehingga menyebabkan syarikat-syarikat ini ‘gulung tikar’ akhirnya akan membebankan kebajikan rakyat.
Sebagai contohnya, beberapa sektor perniagaan seperti perhotelan, pelancongan, ‘travel agency,’ dan beberapa sektor lagi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 tidak mempunyai program rangsangan dari kerajaan ‘tebuk atap’ PN untuk menjaminkan bidang perniagaan ini boleh terus hidup.
Skim pinjaman khas berjadual dengan kadar faedah yang amat rendah untuk perniagaan tidak diujudkan secara terperinci.
Peruntukan RM81 juta untuk agensi propaganda JASA di waktu semua pihak sedang sengsara menunjukkan kerajaan ‘tebuk atap’ PN cukup zalim.
Ketiadaan inisiatif untuk gubalan akta gantung bayaran pinjaman berjadual sepanjang menghadapi covid-19 juga membuktikan kerajaan ‘tebuk atap’ PN tidak peka dengan keperluan masakini rakyat jelata.
Apa yang lebih memeranjatkan ialah potongan peruntukan kepada kementerian kesihatan Malaysia (KKM) untuk bekalan farmasi serta ubat-ubatan dibandingkan dengan peruntukan Belanjawan 2020 amat tidak masuk akal.
Kata hendak perangi covid-19 tapi teras utama bantuan kearah melawan pandemik Covid-19 dipotong.
Dalam masa yang sama kerajaan ‘tebuk atap’ PN mohon ‘Darurat kesihatan’ tetapi potongan peruntukan KKM kepada 91% dari jumlah Belanjawan 2020 membuktikan kerajaan ‘tebuk atap’ PN turut menipu keseluruhan rakyat mahupun KDYMM Agong.
Sebenarnya Muhyiddin Yassin dan kerajaan ‘tebuk atap’ PN ‘cakap tak serupa bikin’.
Bagaimana ahli-ahli parlimen blok bebas dan pembangkang hendak sokong Belanjawan 2021 yang tersasar jauh dari propaganda PN sebelum ini.
Ahli-ahli parlimen mesti bersikap professional dan kaji Belanjawan 2021 secara terperinci agar rakyat jelata selaku pembayar cukai tidak tertipu dengan propaganda kerajaan PN.
Sebab itu bagi pendapat saya sekiranya terdapat mana-mana ahli-ahli parlimen yang bersetuju untuk menandatangani perjanjian ‘Keyakinan dan Pembekalan’ (CSA) tanpa meneliti isi kandungan Belanjawan 2021 secara terperinci adalah tindakan pengkhianatan kepada keseluruhan rakyat Malaysia!!
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
