Belum tentu lagi bila Anwar boleh jadi PM – Mahathir

MASIH SAMAR… Harapan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri yang kelapan menjelang tahun 2020 kini tampak semakin kabur.

My News Hub

Ia susulan pengakuan secara terbuka Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri apabila membayangkan kononnya tempoh dua tahun ditetapkan itu sekadar cadangan dan boleh diubah semula.

Justeru, ketua kerajaan dengan usia paling tua di dunia itu menjelaskan bahawa tidak dapat dipastikan sama ada peralihan kuasa perdana menteri kepada ketua umum PKR tersebut boleh dilaksanakan dalam masa dua tahun.

“Dua tahun itu (sebenarnya) bukan tempoh masa. Ia adalah satu cadangan sahaja. Tetapi kita (PH) tidak tetap. Boleh jadi lebih awal dan boleh jadi juga lebih lewat,” kata Mahathir selamba yang dipetik laporan Sinar Harian.

PH sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bulan lalu pernah menamakan Anwar, yang ketika itu masih lagi menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, Selangor sebagai calon perdana menteri dalam senarai menunggu.

Mahathir ketika mengulas dengan lebih lanjut memberi dalih konon keutamaan kini adalah untuk mengembalikan kekayaan negara dan menstabilkan ekonomi selain menyelesaikan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kalau boleh dalam masa terdekat, saya hendak atasi masalah-masalah yang dihadapi, itulah tujuan saya. Kalau saya berjaya, bukan duit yang penting. Yang penting adalah hasil kerja. Jadi inilah yang saya sedang usaha,” katanya.

Untuk rekod, Anwar nyaris jadi perdana menteri kelima tetapi malangnya dipecat Mahathir secara zalim pada 1998 dan kemudian setelah bekas Presiden UMNO itu bersara pada 2003, jawatan ini diisi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Dalam pada itu, Anwar dipetik media kelmarin melaporkan bahawa beliau tidak tergesa-gesa ambil alih jawatan berkenaan apatah lagi menjadi calon PH dalam Pilihan Raya Kecil di kerusi Parlimen Pandan yang dicadangkan.

Kerusi selamat PKR itu pada ketika ini disandang isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Presiden PKR dan PH selepas ‘lompat jauh’ dari Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.

Menurut perancangan asal PKR yang diuar-uarkan kepada umum, Wan Azizah akan kekal dengan jawatan tersebut manakala suaminya itu dilantik sebagai Perdana Menteri yang baharu menggantikan Mahathir selepas dua tahun.

Sekiranya rancangan pelik ini berjaya, Malaysia bakal melakar rekod dunia tersendiri apabila pasangan suami isteri dapat mengisi kedudukan sebagai perdana menteri dan timbalannya secara serentak.

Sumber: My News Hub 

Comments

Comments