“Apakah Zahid hanya Timbalan Perdana Menteri atas kertas, dan mampukah beliau berfungsi dalam keadaan di mana keputusannya tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan? Saksikan juga penjelasannya menerusi video yang disertakan di bawah”
Raggie Jessy Rithaudeen
UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI
Pada 17 Disember lalu, media melaporkan bahawa bekas Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, akan dilantik semula sebagai Pengerusi FELCRA.
Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kehendak perwakilan Koperasi Peserta-Peserta Malaysia Berhad.
Pengumuman ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan beberapa pemimpin Pakatan Harapan, memandangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu mengumumkan bahawa perkhidmatan lantikan politik dalam badan berkanun di peringkat kerajaan pusat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditamatkan serta merta.
Artikel bersambung di bawah video ini:
Untuk meredakan keadaan, Anwar bertindak menangguhkan lantikan semula Ahmad Jazlan empat hari selepas pengumuman Zahid tanpa memberi sebarang sebab bagi penangguhan itu.
Semalam, Zahid membuat satu lagi pengumuman, kali ini berhubung lantikan seorang ketua NGO kontroversi, Ramesh Rao, sebagai pegawai khas berkait hal-ehwal masyarakat India.
Hari ini pula, P Ramasamy mempersoalkan lantikan Ramesh Rao sambil berkata, Zahid tidak boleh begitu sahaja melantik pemimpin masyarakat sivil sebagai pegawai khas hal ehwal kaum India.
Dua pengumuman Zahid dalam dua minggu mendapat tentangan pemimpin Pakatan Harapan, dan kita diberitahu bahawa kerajaan ini adalah “Kerajaan Perpaduan.”
Apakah Zahid hanya Timbalan Perdana Menteri atas kertas, dan mampukah beliau berfungsi dalam keadaan di mana keputusannya tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan?
Sudah tidak menjadi rahsia lagi bahawa ramai pemimpin Pakatan Harapan tidak senang dengan pelantikan seorang tertuduh jenayah, yang sebelum ini dilabel sebagai pemimpin Kleptokrat, sebagai Timbalan Perdana Menteri.
