Berhenti hipokrit, jangan perdaya ummah – daftar Perikatan Nasional

“‘Puak Kartel’ UMNO berasal dari Team A, dan Tajuddin merupakan salah seorang ahli puak ini. Team B pula melibatkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak sehaluan dengan Zahid dan Najib”

Raggie Jessy Rithaudeen

Malam tadi, saya terbaca satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Menurut Shahril, ‘permainan angka’ yang dimainkan oleh pemimpin Pakatan Harapan itu tidak lebih hanya sebagai perang psikologi pakatan pembangkang yang dilihat bimbang akan prestasi kerajaan sekarang yang semakin baik.




“Fokus UMNO sekarang ialah membantu dalam pemulihan ekonomi,” katanya.

Saya tidak lagi percaya. Saya dah hampa.

UMNO kini berpecah kepada dua – Team A, dan Team B. PAda 7hb Jun 2020, saya menulis:

Team A merupakan kumpulan minoriti yang berhajat “menakluki” kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15. Team B pula merupakan kumpulan majoriti yang ingin perubahan mendadak dalam UMNO.

Masalahnya, beberapa pemimpin dari Team B terpaksa membuat kerja secara senyap kerana tidak ingin dilihat sebagai “pemecah perpaduan ummah.” Sebelum kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tumbang, mereka terlibat secara langsung dengan pencaturan ke arah pembentukan sebuah kerajaan perpaduan bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam tanpa mengambil kira parti.

Hari ini, seorang dua daripada kumpulan berkenaan sedang mencatur ke arah yang sama kerana tahu kerajaan pimpinan Perikatan Nasional rapuh dan tidak stabil. Mereka sebenarnya tahu sudah berlaku peralihan majoriti melibatkan sekumpulan ahli parlimen dari PPBM dan UMNO

Saya menambah, Team B terpaksa membuat kerja secara ‘senyap’ disebabkan PAS. Saya menulis:

Loading...

Sebelum kerajaan pimpinan perikatan Nasional tumbang, beberapa pemimpin PAS turut terlibat dalam pencaturan yang saya sebutkan di atas. Ini termasuklah Datuk Takiyuddin Hassan dan juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Malangnya, ada sekumpulan pemimpin dari PPBM dan PKR (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kumpulan pemisah”) inginkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tumbang lebih awal daripada yang dirancang kerana tidak sabar.

Atas ketidaksabaran inilah tercetusnya langkah Sheraton apabila seorang dua pemimpin Team A ‘mencucuk’ ahli-ahli kumpulan pemisah dengan ‘jarum kerisauan’. Ahli-ahli ini diberitahu bahawa tidak mustahil Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memperolehi sokongan majoriti mudah jika PPBM menunggu hingga selepas sidang kemuncak APEC untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Team A itu turut berjaya meyakinkan PAS bahawa Mahathir bersetuju untuk kerajaan pimpinan Pakatan Harapan ditumbangkan menerusi Langkah Sheraton. Pemimpin-pemimpin PAS seperti Takiyuddin dan Ahmad Samsuri kini sedar mereka ditipu oleh Team A tetapi malu untuk mengakuinya.

Mungkin juga Takiyuddin khuatir akan timbul kemarahan penyokong PAS jika ada tanda-tanda keretakkan dalam Muafakat Nasional. Apa pun, PAS terpaksa duduk diam dan terus berbaik dengan Team A biarpun tahu apa yang benar-benar terjadi. Atas sebab inilah Team B, walaupun merupakan blok majoriti dalam UMNO, tidak mampu mencantas Team A.

Selagi PAS berganding bahu dengan Team A, selagi itulah Team A kekal “relevan.” Dan selagi Team B tidak yakin PAS akan bersama jika terbentuk gabungan perpaduan baru, selagi itulah pemimpinnya akan cuba menutup keretakan yang berlaku dalam UMNO dan elak daripada bertembung terus dengan Team A. Percayalah, Team B tidak berani bertembung dengan Team A kerana tidak ingin dilihat sebagai “dalang kehancuran perpaduan ummah.”

Apa pun, perpecahan sememangnya sudah berlaku.

Beberapa ikon utama dalam kepimpinan tertinggi UMNO dan ahli lantikan dalam Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) terlibat dengan Team A, termasuk Shahril dan Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

Kumpulan ini turut melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia.

Walaupun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiada masalah dengan Team A, terdapat usaha halus oleh beberapa ahli kumpulan ini untuk mencantasnya.

Kumpulan inilah yang dimaksudkan oleh suara mirip Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam klip audio bocor yang tular baru-baru ini sebagai “Najib and gang.”

Setakat yang saya dimaklumkan, Muhyiddin mengimpikan sebuah pergabungan melibatkan PPBM dan UMNO meneruusi penubuhan parti baharu, parti UMNO-Bersatu, yang dijangka akan meminggirkan terus Team A sekiranya berlaku.

‘Puak Kartel’ UMNO berasal dari Team A, dan Tajuddin merupakan salah seorang ahli puak ini. Team B pula melibatkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang tidak sehaluan dengan Zahid dan Najib.

Bilangan ahli parlimen yang berkait dengan Team A tidak sampai sembilan orang, tetapi sembang Shahril seolah-olah seluruh UMNO bersatu menyokong kepimpinan Team A.

Ini tidak benar.

Hakikatnya, Team A sedang bermain persepsi kerana yakin PAS bersama kepimpinannya dan tidak akan beralih sokongan kepada Team B.

Pada ketika ini, Tun Dr Mahathir Mohamad sah memiliki sokongan beberapa ahli parlimen dari Team B, namun Anwar sudah pasti tidak akan mengakui perkara ini.

Selagi puak Mahathir tidak membuat apa-apa keputusan, selagi itulah jumlah sebenar ahli parlimen yang kini bersama ‘PH Plus’ tidak akan diumumkan secara rasmi.

Terus terang, saya amat hampa dengan UMNO serta perangai kepimpinan tertingginya yang memperlekeh perjuangan saya dan sedang menipu dirinya sendiri dan PAS.

Dalam satu sidang live baru-baru ini (tonton video bawah), saya dedahkan sebab sebenar UMNO dan PAS gagal mendaftar Muafakat Nasional sebagai entiti rasmi dan tidak mampu berbuat demikian sampai bila-bila.

Hakikatnya, selagi ada MCA, selagi itulah Muafakat Nasional hanya akan menjadi satu gabungan persefahaman setakat di bibir sahaja.

Masakan UMNO dan PAS mampu bersetuju untuk mendaftarkan Perikatan Nasional, sedangkan Muafakat Nasional sendiri pun tak lepas-lepas lagi.

Tidak ada makna UMNO melaungkan “penyatuan ummah,” sedangkan kepimpinannya mengaku hanya akan bersama Perikatan Nasional “sehingga parlimen dibubarkan” dan hanya menyertai kerajaan menerusi “sokongan beberapa ahli parlimen.”

Perangai inilah yang meyakinkan saya dan ramai lagi bahawa perjuangan UMNO (Team A) merupakan perjuangan berkepentingan yang berkisar di sekitar “wang, kuasa dan kedudukan” (WKK).

Apakah maknanya “kerjasama dengan PPBM sehingga parlimen dibubarkan,” sedangkan penyatuan yang sedia ada merupakan “penyatuan yang lebih menyeluruh” berbanding konsep Muafakat Nasional dan seharusnya dikekalkan.

Hipokrisi UMNO dan penipuan-penipuan yang berterusan ini menjadikan saya tidak yakin dengan kepimpinannya dan menyebabkan saya bersedia untuk mempertimbangkan apa-apa formula perpaduan asalkan ianya mampu menjamin perpaduan menyeluruh.

UMNO diberi peluang kedua, tetapi nampaknya, peluang ini disia-siakan.

Pengundi Melayu-Islam pula sudah mula berpecah teruk dan tertanya-tanya mengapa UMNO, PAS dan PPBM tidak mampu mendaftar Perikatan Nasional sebagai entiti rasmi.

Laungan “Muafakat Nasional pasti akan menang besar di Pilihan Raya Umum ke-15” adalah satu propaganda semata-mata sepertimana propaganda yang dimainkan oleh Barisan Nasional sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

UMNO masih belum belajar lagi daripada kesilapan lampau dan tidak akan mampu untuk bangun kembali seandainya kerajaan pimpinan Perikatan Nasional tumbang.

Shahril harus sedar perkara ini dan berhenti menipu dirinya sendiri. Disebabkan pemimpin-pemimpin seperti inilah saya tidak lagi yakin UMNO mampu perjuangkan nasib Melayu-Islam.

Shahril jangan lupa bahawa UMNO berjaya menumpaskan Pakatan Harapan menerusi “the numbers game” apabila bersetuju untuk berkomplot dengan Datuk Seri Azmin Ali.

Usahlah memperlekeh puak-puak lain yang medakwa memiliki “numbers,” seolah-olah Perikatan Nasional terlalu kuat dan tidak mampu ditumbangkan.

Usahlah guna alasan PPBM tidak boleh dipercayai dalam kumpulan-kumpulan chat, sedangkan bukan hanya UMNO dan PPBM berkomplot untuk tumbangkan kerajaan terdahulu, kedua-dua parti ini ‘adik-beradik’ dan terkenal dengan “katak kuat lompat.”

Kalau dah yakin “dia ni tidak boleh dipercayai” atau “dia tu tidak boleh dipercayai,” maka berhentilah melaungkan “penyatuan ummah,” kerana sememangnya, usaha penyatuan ini satu perjuangan yang murni dan wajib, bukannya pilihan atau sesuatu yang datang bergolek.

Inilah yang UMNO gagal faham sejak sebelum 2018 lagi.

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...