Bermaaf-maafan, lupakan persengketaan dengan yang masih hidup – mesej kepada semua pemimpin politik

“Idealisme hanyalah batasan yang wujud dalam minda kita karana sikap negatif yang ada pada diri kita yang kita tidak mahu ubah” 

Raggie Jessy Rithaudeen

Bila seseorang pergi meninggalkan kita buat selamanya, kita wajar mengingati perkara yang baik dan elak mewar-warkan benda yang buruk.

Bila Karpal Singh meninggal dunia, walaupun saya tidak sependapat dengannya dan pernah membantu kempen Datuk Koay Kar Huah menentangnya di Bukit Gelugor pada 2008, saya tetap menulis satu karangan mengenangkan jasanya kepada politik negara.




Malah, saya telah berkunjung ke kediaman Karpal di Pulau Pinang dan bersalaman dengan anaknya, Gobind Singh Deo, dan memohon maaf kepada Gobind.

Saya melakukannya kerana kesal dengan sikap negatif lampau yang ada pada diri saya terhadap Karpal, dan saya terharu bila Gobind dengan mesra memberitahu saya, “all is forgiven.”

Begitu juga, bila Samy Vellu meninggal dunia, antara pemimpin yang menziarahi keluarga mendiang ialah Lim Kit Siang, walaupun kedua-duanya musuh ketat di arena politik.

Yang sedih, mereka, termasuk diri saya, lupa mencari jalan untuk memperbaiki hubungan dengan orang yang masih hidup; “siapa salah dan siapa betul” tidak bermakna bila orang itu sudah tiada.

Sebab itulah saya cuba menjadikan setiap pemergian sebagai peluang untuk menilai kembali nilai-nilai yang ada pada diri saya, tidak kira samada hubungan saya dengan pihak yang meninggal itu baik atau renggang.

Dalam medan politik, perselisihan pendapat sentiasa akan ada. Tetapi jika kita menjadikannya peribadi, banyak pertimbangan kita akan didorong oleh perasaan negatif yang tidak membawa sebarang manfaat.

Kadang-kala, ia menjurus kepada politik dendam, dan mangsanya rakyat jelata apabila terlalu banyak tumpuan diberikan kepada permusuhan dengan pihak lawan.

Loading...

Semua pemimpin parti, tidak kira pembangkang atau kerajaan, perlu memahami hakikat ini dan bermuzakarah untuk mencari jalan tengah yang boleh dijelajahi bersama walaupun berbeza ideologi atau pendapat.

Jalan inilah yang mampu menjamin kesihatan demokrasi negara. Walaupun kata-kata saya ini berbunyi idealistik, namun idealisme hanyalah batasan yang wujud dalam minda kita karana sikap negatif yang ada pada diri kita yang kita tidak mahu ubah.

Percayalah, tidak mustahil bagi sebuah negara yang berpaut kepada nilai-nilai ketimuran untuk menjadi demokrasi yang sihat, apatah lagi bila wujud parti-parti politik yang bertunjangkan kepimpinan Islam yang mewakili majoriti rakyat di negara itu.

Tiada gunanya bila PAS dan AMANAH mengaku parti Islam sedangkan kedua-duanya enggan bermuzakarah kerana berburuk sangka.

Tiada gunanya Anwar, Mahathir, Muhyiddin dan Hadi Awang mengaku memperjuangkan nasib orang Melayu sedangan kesemuanya berdendam dan tidak mampu duduk semeja untuk mencari titik persefahaman.

Bina lah jambatan selagi masih hidup; sentiasa semai benih persaudaraan, jangan nanti sekadar berkata-kata indah hanya bila orang sudah tiada.

Inlah antara ujian terbesar buat diri kita, kerana sesungguhnya, dalam dunia ini tiada yang sempurna, hanya pada Allah terdapat kesempurnaan.



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...