Raggie Jessy Rithaudeen
Berikut (di bawah) merupakan pendapat saya yang diterbitkan pada 3hb febuari 2022. Semenjak itu, ada pihak tertentu yang sudah terkena jerat Pakatan Harapan. Fikir-fikirkanlah…ada sebab tersirat kenapa PKR berpura-pura ‘menjauhi’ DAP dan AMANAH, dan ramai tak nampak perkara ini…
TAWARAN KERJASAMA PAKATAN HARAPAN SATU PERANGKAP
(3/02/2022)

“Saya lihat, untuk mengeirukan pengundi, Anwar mempelawa PEJUANG dan WARISAN untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan, agar Mahathir akan dikaitkan semula dengan beliau dan Blok Kuasa Ketiga tidak lagi dilihat sebagai alternatif”
Raggie Jessy Rithaudeen
تاورن كرجاسام ڤاكتن هارڤن ساتو ڤراڠكڤ
Pakatan Harapan kini mengalami defisit sokongan yang paling teruk dalam sejarah penubuhannya, malah ada yang berpendapat bahawa sokongan ini lebih teruk daripada sokongan terhadap Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-13.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan meraih sokongan di luar jangkaan ramai disebabkan kewujudan “wow factor,” yang berpunca daripada gandingan dua musuh ketat, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
SENTIASA IKUTI PERKEMBANGAN POLITIK TERKINI MENERUSI www.thethirdforce.net
Pada ketika itu, rakyat cukup marah dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor dan gerombolan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional, yang terpalit dengan pelbagai skandal rasuah, penyelewengan dana 1MDB dan salah guna kuasa tatkala rakyat biasa tersepit dengan kos sara hidup yang menggila.
BACA JUGA: ‘PEMBANTU MUHYIDDIN, BEKAS MENTERI UGUT SAYA’
Disebabkan itu, rakyat memilih untuk mengundi Pakatan Harapan sebagai alternatif kepada Barisan Nasional, kerana UMNO dianggap sudah “cukup lama berkuasa” dan terlalu parah dengan gejala kemaruk wang, kuasa dan kedudukan.
Kini, setelah Barisan Nasional dan Perikatan Nasional merampas kerajaan menerusi pintu belakang, situasi politik, sosial, kewangan dan ekonomi negara berlipat kali ganda lebih teruk berbanding zaman Najib.
Biarpun rakyat terhimpit dengan kos sara hidup yang makin membimbangkan, kerajaan terus menerus membazir duit pembayar cukai dengan melantik pelbagai “penasihat” dan “Duta Besar,” dalam “pentadbiran UMNO” yang dikira antara terbesar dalam sejarah tanah air.
Kerajaan juga dilihat ‘melindungi’ Ketua Pesuruhjaya SPRM dari tuduhan salah guna kuasa, manakala SPRM pula dilihat melindungi pemimpin kerajaan daripada tuduhan rasuah dan salah guna kuasa, biarpun tuduhan ini dibuat oleh bekas Ketua Polis Negara.
Disebabkan kerajaan dikuasai semula oleh UMNO, sudah pasti rakyat akan tercari-cari alternatif baharu, kerana UMNO kini dianggap sebagai parti yang “tidak boleh dipercayai” kerana gagal belajar daripada kesilapan lampau.
Begitu juga Perikatan Nasional – majoriti rakyat akan menolak gabungan ini, kerana kegagalan kerajaan berpunca bukan hanya daripada menteri-menteri UMNO, terapi juga menteri-menteri PPBM dan PAS, antara lain.
Namun, berbeza dengan Pilihan Raya Umum ke-14, alternatif yang dicari-cari bukanlah Pakatan Harapan.
Ini kerana Pakatan Harapan terlibat sama dalam pengkhianatan mandat rakyat, apabila gabungan itu memberi nyawa kepada kerajaan yang didakwanya sendiri “gagal segagal gagalnya,” dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama kerajaan.
Anwar dan DAP juga dianggap mengkhianati penyokong Pakatan Harapan apabila merancang bersama ahli-ahli Kluster Mahkamah pembentukan “Jajaran Politik Baharu.”
Justeru, jika Pejuang, WARISAN, MUDA dan mana-mana perkumpulan bebas bertanding di bawah bumbung Blok Kuasa Ketiga (atau Blok Ketiga) pada Pilihan Raya Umum ke-15, sebilangan besar penyokong UMNO, PPBM dan PAS dijangka akan beralih ke blok ini.
Inilah yang membimbangkan Pakatan Harapan, lebih-lebih lagi memandangkan Blok Ketiga dibimbing oleh Mahathir, pemimpin yang menjadi punca kemengangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Rakyat masih ingat lagi bagaimana Anwar mengkhianati Mahathir selepas Langkah Sheraton, dan memandangkan Anwar tidak lagi diterima rakyat, sebahagian besar penyokong PKR dan sebilangan tertentu dari DAP dijangka akan beralih ke Blok Kuasa Ketiga.
Buktinya di Sabah, apabila WARISAN mencatatkan peningkatan prestasi biarpun parti itu mendukung perjuangan Mahathir secara terbuka, manakala PKR hampir hangus biarpun Anwar temberang kononnya beliau ada sokongan yang meyakinkan untuk menjadi Perdana Menteri.
Justeru, untuk mengeirukan pengundi, Anwar mempelawa PEJUANG dan WARISAN untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan, agar Mahathir akan dikaitkan semula dengan beliau dan Blok Kuasa Ketiga tidak lagi dilihat sebagai alternatif.
Inilah yang saya lihat, dan saya percaya bahawa PEJUANG dan WARISAN cukup matang untuk melihat sepuluh langkah ke hadapan, dan sedar, bahawa mana-mana pihak yang dikaitkan dengan Pakatan Harapan bakal menimpa nasib buruk pada Pilihan Raya Umum ke-15.
Perlu diingatkan, bahawa Pakatan Harapan dan Barisan Nasional akan tetap bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk cuba membentuk kerajaan, dan sebarang kerjasama melibatkan Pakatan Harapan dan pihak lain akan hanya merugikan pihak berkenaan.
