
THE THIRD FORCE
Lihat video ini, terutamanya 40 saat yang pertama, sebelum membaca hujah-hujah berikutnya:
Kelihatan Pengerusi Yayasan Budi, Rais Yatim, sedang mempertikaikan nasihat yang kononnya diberikan kepada raja-raja Melayu berkenaan isu Statut Rom sambil memberi perumpamaan bersifat seksual.
Pertamanya, kenyataan bahawa “raja-raja Melayu diberi nasihat” adalah tidak berasas dan bersifat memperlekeh kebijaksanaan raja-raja Melayu.
Hakikatnya, sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan semasa tahu bahawa isu sebenar tidak ada kena-mengena dengan Statut Rom itu sendiri, tetapi usaha rahsia kerajaan Malaysia untuk membelakangkan majlis raja-raja dalam usaha meratifikasi perjanjian antarabangsa tersebut.
Umum perlu tahu, bahawa Perlembagaan Persekutuan jelas dengan peruntukannya yang mewajibkan pihak kerajaan persekutuan merujuk kepada majlis mesyuarat raja-raja Melayu dalam apa jua hal yang melibatkan kemuliaan dan kedaulatan institusi diraja.
Keduanya, ratifikasi Statut Rom sememangnya memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan raja-raja Melayu dihadapkan ke Mahkhamah Kriminal Antarabangsa (ICC).
Malah, mana-mana perjanjian antarabangsa yang ditandatangani yang bersabit dengan undang-undang negara wajib menjurus kepada pindaan perlembagaan persekutuan sekiranya perlembagaan kita tidak sejajar ataupun melanggar perjanjian tersebut.
Justeru, ratifikasi Statut Rom sememangnya memerlukan pindaan perkara-perkara tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan yang bersangkut-paut dengan kemulian dan kedaulatan institusi raja-raja Melayu.
Memandangkan Saifuddin Abdullah tidak merujuk kepada majlis raja-raja sebelum menandatangani perjanjian tersebut, jelas bahawa kerajaan PH tidak menghormati institusi diraja dan memandang Perlembagaan Persekutuan sekadar beberapa helai kertas yang tidak penting dan boleh dicabuli pada bila-bila masa.
Ketiganya, perumpamaan seksual yang diberikan oleh Rais Yatim apabila menyentuh raja-raja Melayu bukan hanya biadap, ia jelas menunjukkan bahawa kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad langsung tidak menghormati kedaulatan dan kemuliaan raja-raja Melayu.
Maka, tidak hairanlah kerajaan Malaysia membelakangkan raja-raja Melayu dalam usaha meratifikasikan semula Statut Rom secara rahsia tanpa pengetahuan raja-raja Melayu dan rakyat jelata.
Nota: Sila download “Tor Browser” menerusi pautan https://www.torproject.org/download/ untuk membolehkan anda akses laman thethirdforce.net ataupun laman-laman web lain yang mungkin akan disekat kerajaan. Tor Browser merupakan satu daripada berpuluh-puluh “VPN browser” online yang boleh dimuat turun untuk akses laman-laman web yang disekat.
Disunting dari:
