Bonus Aidilfitri kerajaan PH lebih rendah, peneroka Felda dan Felcra tunggu penuh debar

Unit Komunikasi Strategik UMNO

1. Alhamdulillah, kita mengucapkan terima kasih di atas keprihatian Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyalurkan Bantuan Khas Raya sebanyak RM400 kepada kakitangan awam di negara ini.

2. Kerajaan PH turut mengumumkan pembayaran Bantuan Khas Raya sebanyak RM200 kepada pesara kerajaan.

3. Namun, di sebalik pembayaran yang bertujuan membantu kakitangan awam dan pesara membuat persediaan menyambut Aidilfitri tahun ini, ada juga kakitangan awam dan pesara yang berasa terkilan dengan pembayaran kali ini.

4. Selain jumlahnya yang berkurangan berbanding pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri oleh kerajaan sebelum ini iaitu masing-masing RM500 kepada penjawat awam merangkumi semua gred dan RM250 untuk pesara, pemberian bantuan kewangan oleh Kerajaan PH kali ini juga tidak menyeluruh.

5. Ini disebabkan bayaran Bantuan Khas Raya tahun ini hanya diberikan kepada kakitangan awam bergred 41 ke bawah, sekali gus mengabaikan mereka yang berada dalam gred lebih tinggi.

6. Pemberian bonus secara berpilih kepada kakitangan awam ini, ternyata mencerminkan Kerajaan PH seolah-olah tidak menghargai sumbangan kakitangan awam dalam gred lebih tinggi, sedangkan mereka turut menyumbangkan tenaga, idea serta masa dalam memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan.

7. Menteri Kewangan,  Lim Guan Eng sebelum ini mengatakan bahawa ekonomi kita kukuh dan kuat tetapi pada hari berikutnya apabila ditanya mengenai pembayaran bonus hari raya untuk penjawat awam, beliau memberikan alasan bahawa ekonomi kita lemah dan akan mempertimbangkan pembayaran bonus hari raya hanya untuk penjawat awam yang bergaji rendah.

8. Bayaran bonus yang lebih rendah dan tidak menyeluruh pasti menjadi tamparan berganda kepada pekerja sektor perkhidmatan awam kerana Kerajaan PH juga telah mengumumkan bahawa mereka akan mengkaji semula kenaikan gaji mereka yang dirancang untuk tahun ini, memandangkan ia adalah janji BN dan bukan janji PH.

9. Sepanjang sembilan tahun lalu, Kerajaan BN di bawah YB Dato’ Sri Najib Razak telah memberi perhatian khusus untuk memperbetulkan kedudukan tangga gaji untuk penjawat awam bergaji rendah, yang kita anggap sebagai suatu ketidakadilan untuk mereka. Sebagai contoh, gaji bulanan untuk pembantu pentadbiran adalah sebanyak RM 650 pada tahun 2007, dinaikkan secara berperingkat kepada RM 1,400 menjelang tahun 2018.

10. Susulan pemberian Bantuan Khas Raya yang lebih dan tidak menyeluruh kepada kakitangan awam untuk tahun ini, warga peneroka FELDA dan FELCRA kini juga menanti penuh debar sama ada mereka masih berpeluang menerima bayaran saguhati Hari Raya tahun ini atau sebaliknya.

11. Tahun lalu, Kerajaan BN memberikan Insentif Raya sebanyak RM500 kepada setiap keluarga peneroka FELDA bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

12. Kerajaan BN turut memberikan sagu hati sebanyak RM400 kepada pengerusi masjid, RM500 (imam), RM300 (bilal) dan RM200 (siak) yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM674,400 manakala bagi surau utama pula, imam akan menerima sagu hati sebanyak RM500 dan bilal sebanyak RM300.

13. Selain itu, kerajaan sebelum ini mengagihkan dividen berjumlah RM84.18 juta kepada seramai 59,951 peserta FELCRA Berhad di seluruh negara sebagai ‘duit raya’

14. Peserta terbabit menerima antara RM2,000 hingga RM8,000 masing-masing bergantung kepada saiz pegangan saham tanah peserta.

15. Namun, peneroka FELDA dan FELCRA masih menunggu pengumuman Kerajaan PH mengenai sebarang pembayaran sempena hari raya nanti.

16. UMNO menegaskan Kerajaan PH tidak perlu lagi menggunakan “hutang negara” yang  diuar-uarkan angkanya RM 1 trilion sebagai alasan untuk tidak membayar para peneroka FELDA dan peserta FELCRA yang akan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Unit Komunikasi Strategik
Ibu Pejabat UMNO
Kuala Lumpur

Comments

Comments


Loading...