Raggie Jessy Rithaudeen
Pada 2010, Muhyiddin mendakwa “saya Melayu dahulu sebelum Malaysia.”
Semalam, Muhyiddin mengubah pendirian ini dengan berkata, “Itu tak penting lagi, saya seorang Melayu prihatin dengan semua rakyat Malaysia.”
Menurut Dr Akmal, kenyataan Muhyiddin menunjukkan bahawa seseorang itu boleh berubah demi kuasa (rujuk: https://www.malaysiakini.com/news/742278)
Itu pendirian Dr Akmal. Saya hanya ada persoalan, dan persoalannya begini:
Muhyiddin membuat kenyataan “saya Melayu dulu sebelum Malaysia” pada 2010 sebagai menjawab pertanyaan yang diajukan oleh pengerusi DAP pada ketika itu, Lim Kit Siang.
Muhyiddin berbuat demikian semasa bergelar TPM dan selepas DAP diselar oleh PM pada ketika itu, Najib Razak, berhubung slogan “Malaysian Malaysia” DAP.
Pada 2009, Najib mendakwa slogan “Malaysian Malaysia jauh menyimpang dan asasnya tidak berpaksikan Perlembagaan.” (rujuk: https://www.ecerdc.com.my/news/perdana-menteri-jelaskan-perbezaan-1malaysia-malaysian-malaysia/)
Ini kerana DAP pernah mempersoal kedudukan istimewa orang Melayu pada zaman awal penubuhannya. Justeru, slogan” Malaysian Malaysia” kerap dikaitkan dengan penentangan terhadap hak istimewa orang Melayu dan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Jadi, mesej Muhyiddin pada 2010 bahawa “saya Melayu dahulu sebelum Malaysia” boleh juga ditafsir oleh sesetengah pihak sebagai perjuangan mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan penentangan sebarang percubaan untuk menggugat kedudukan ini, termasuk slogan “Malaysian Malaysia.”
Namun, UMNO mendakwa DAP berubah selepas PRU15 dan berjanji untuk tidak mengungkit hal-hal berkaitan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam sebagai agama Persekutuan (rujuk: https://www.nst.com.my/news/politics/2023/09/949702/dap-has-now-changed-respects-malay-rights-and-islam-saarani).
Memandangkan Muhyiddin kini mengubah pendirian (lebih kurang) kepada “saya pemimpin Malaysia berbangsa Melayu untuk masyarakat berbilang bangsa” dan mendakwa pendirian “”saya Melayu dahulu sebelum Malaysia” tidak lagi relevan:
1. Adakah Muhyiddin bersetuju dengan UMNO dan mengiktiraf bahawa DAP sudah berubah?
2. Adakah Muhyiddin kini berpendirian bahawa slogan “Malaysian Malaysia” hanya bermaksud “Malaysia adalah untuk orang Malaysia berbilang bangsa” dan tidak lebih dari itu, atau Muhyiddin berpendapat bahawa DAP sudah menggugurkan slogan “Malaysian Malaysia” sama sekali?
(Nota: Bila anda katakan “saya Melayu dulu sebelum Malaysia” tidak lagi relevan, ada yang mungkin mentafsirkannya sebagai menjurus atau merapti slogan “Malaysia untuk orang Malaysia” atau”Malaysian Malaysia.”)
3. Adakah Muhyiddin tidak mengiktiraf pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad selepas PRU15, bahawa “Pemberian perlindungan undang-undang kepada orang asing yang diberi kerakyatan adalah perkara biasa, ia tidak menjadikan negara (itu) sebagai negara berbilang bangsa?” (rujuk: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/07/1123710/menerima-warga-negara-dari-bangsa-lain-tidak-jadikan-malaysia-negara).
4. (Berkait soalan 3) Adakah Muhyiddin setuju bangsa selain Melayu boleh dibenarkan memegang tampuk kepimpinan kerajaan?
(Nota: Perlembagaan Persekutuan tidak khususkan jawatan PM kepada mana-mana bangsa, dan Tun M sendiri pernah gariskan perkara ini – rujuk: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1190543/pm-bukan-melayu-hanya-jika-orang-melayu-mahu)
Ini adalah persoalan yang timbul akibat daripada perubahan pendirian Muhyiddin, dan saya fikir beliau harus menjawabnya sesegera mungkin untuk mengelakkan sebarang bentuk salah faham atau kekeliruan, termasuk pada diri saya.
Sekian
Demi Kebenaran & Tanpa Prejudis
