“Apakah satu kebetulan apa yang diperkatakan oleh Sri Ram yang saya langsung tidak kenali itu mirip apa yang pernah saya sendiri hujahkan berkenaan Apandi Ali sebelum Pilihan Raya Umum ke-14?”
Raggie Jessy Rithaudeen
چريتا ڬوڤل سري رام ميريڤ چريتا ساي سبلوم ڤيليهن راي عموم ك-14. ساتو كبتولن؟
Pada 11hb Jun 2020, saya pernah menceritakan berkenaan satu serangan besar-besaran yang berlaku terhadap bekas peguam negara, Tan Sri Apandi Ali, sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Serangan itu dilakukan menerusi media sosial oleh sekumpulan individu yang ditaja oleh sel-sel media bekas perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “kumpulan media kerajaan”)
Pada ketika itu, kumpulan media Najib menyelar Apandi atas dakwaan kononnya isterinya, Puan Sri Faridah Begum K A Abdul Kader, terlibat dengan portal Malaysian Insight (Insight) yang pada ketika itu dikendali oleh adik Faridah, Jahabar.
Menurut apa yang saya sendiri diberitahu oleh seorang dua individu dari kumpulan media kerajaan, Najib ingin Insight ditutup terus atas sebab-sebab tertentu, termasuk isu-isu yang berkait terus dengan penajaan Insight dan juga ‘serangan’ Insight terhadap Najib sendiri.
Saya difahamkan, Faridah membantu menaja Insight dengan dana jutaan ringgit menerusi Inside Media Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dikatakan memiliki Insight, di mana dana tersebut dikatakan telah disalurkan dengan cara mencurigakan.
Pada mulanya, saya tidak ingin libatkan diri dengan dakwaan-dakwaan tersebut.
Tetapi apabila Faridah sendiri membuat laporan polis terhadap seorang penulis dari kumpulan media kerajaan, saya melibatkan diri secara langsung dalam isu berkenaan kerana berpendapat Apandi seharusnya meletakan jawatan sebagai Peguam Negara memandangkan kertas siasatan terhadap isterinya akhirnya perlu dirujuk juga kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Saya berpendapat, Apandi tidak akan mampu membuat keputusan atau pertimbangan tanpa prejudis sebagai Peguam Negara memandangkan pihak yang disiasat merupakan ahli keluarganya sendiri.
Saya menulis:
Susulan dakwaan adik perempuan Jahabar, Puan Sri Faridah Begum KA Abdul Kader, membantu dalam penerbitan bahan-bahan subversif terhadap kerajaan melalui Insight, Dato ‘Seri Mohamed Apandi Ali harus meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara Malaysia dengan serta-merta kerana kemampuannya untuk bertindak dengan cara yang adil dan tanpa prasangka kini menjadi persoalan.
Pada hemat saya, lambat laun, Apandi perlu menggunakan budi bicaranya di bawah Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan untuk memutuskan sama ada perlu atau tidak memulakan prosiding mahkamah terhadap isterinya (Faridah). Keperluan untuk menggunakan budi bicara itu berlaku susulan laporan polis yang dibuat oleh Faridah.
Laporan tersebut berkemungkinan besar akan memicu penyiasatan berhubung kaedah pendanaan Inside Media yang, jika didapati melanggar undang-undang Malaysia, memerlukan proses prosiding jenayah terhadap pemegang saham Inside Media dan mungkin juga Jahabar sendiri. Persoalannya, dapatkah kita mengharapkan Peguam Negara mendahulukan undang-undang dari prasangka peribadinya memandangkan ianya melibatkan isteri dan adik iparnya sendiri?
Kewujudan persoalan ini sahaja memadai untuk menuntut pengunduran Apandi dengan kadar segera. Penolakan semata-mata dari pihak Apandi untuk mengendali kes ini tidak memadai, kerana risiko berlaku keputusan berat sebelah akan tetap ada sekiranya seseorang yang tunduk kepada Apandi ‘dilantik’ untuk membuat keputusan prosiding.
Saya menulis perengan-perengan tersebut pada 17hb Februari 2017, kurang dari tiga bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
Baru-baru ini, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram menafikan pertemuannya dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Januari 2018 pernah menyebut bahawa beliau dihantar oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, bagi memujuk Peguam Negara ketika itu menahan dan mendakwa Datuk Seri Najib Razak.
Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata beliau ke rumah Mohamed Apandi atas kapasiti profesional.
Beliau berkata, pada waktu itu Mohamed Apandi dan isterinya menjadi sasaran serangan ‘cybertrooper’ melalui artikel yang memburukkan dan mengkritiknya dalam portal berita Malaysian Insider.
Katanya, portal berita itu di bawah kawalan adik ipar Apandi, iaitu adik kepada isterinya dan Mohamed Apandi memaklumkan bahawa ‘cybertrooper’ itu menerima gaji daripada Najib.
Katanya, serangan itu menyebut mengenai ketidaksetiaan, penyalahgunaan dan ketidakcekapan Mohamed Apandi selaku Peguam Negara.
“Malangnya, isterinya yang tiada kaitan dengan dakwaan itu juga dijadikan subjek serangan hanya kerana adiknya mengawal Malaysian Insider.
“Apandi kecewa dengan serangan itu. Saya menasihati beliau, terdapat keterangan dalam pengetahuan awam terhadap Najib dan ia adalah jelas tugas beliau bahawa Najib ditangkap dan didakwa,” katanya.
Sri Ram berkata demikian bagi menjawab afidavit sokongan Mohamed Apandi dalam permohonan Najib untuk membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes pindaan Laporan Pengauditan 1MDB yang dihadapinya.
Apakah satu kebetulan apa yang diperkatakan oleh Sri Ram yang saya langsung tidak kenali itu mirip apa yang pernah saya sendiri hujahkan berkenaan Apandi Ali sebelum Pilihan Raya Umum ke-14?
RUJUK JUGA VIDEO INI:
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
