Daim dan Zeti ingin kuasai Tabung Haji sepenuhnya

Raggie Jessy Rithaudeen

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Mujahid Yusof mengumumkan semalam bahawa kerajaan membuat keputusan untuk mengurangkan beban subsidi Lembaga Tabung Haji (TH) ke atas para jemaah Haji.

Menurut Mujahid, keputusan tersebut sesuai dengan konsep Istito’ah yang bertujuan mengurangkan bantuan daripada TH kepada bakal Jemaah atas dasar perlunya kesedaran bahawa seseorang itu seharusnya mampu sekiranya ingin menunaikan ibadat Haji.

“RM22,900, itu kos sebenar Haji. Kalau tidak cukup, dia tidak mampu.


“TH bantu kurangkan beban mereka, tetapi daripada sudut keperluan fekah, dia hanya boleh pergi haji dalam keadaan termampu,” katanya dalam satu sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat.

Pada dasarnya, apa yang dikatakan oleh Mujahid sememangnya kelihatan betul, kerana TH seharusnya mencari jalan untuk mengurangkan beban subsidi memandangkan tanggungannya akan sentiasa meningkat tahun demi tahun atas sebab-sebab tertentu biarpun kos menunaikan ibadat Haji tidak berubah.

Tetapi, apabila diperinci secara mendalam, keputusan kerajaan untuk mengurangkan beban subsidi TH sebenarnya merupakan susulan daripada satu perancangan untuk menjadikan lembaga tersebut milik penuh sebuah syarikat yang bertindak sebagai proksi kepada bekas Gabenor Bank Negara, iaitu Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Saudara saudari sekalian,

Jangan kita lupa, bahawa Mujahid merupakan manusia yang mengejutkan negara Disember lepas dengan dakwaan kononnya TH melanggar Akta Tabung Haji 1995 kerana meneruskan bayaran hibah (dividen) sejak tahun 2014 biarpun lembaga tersebut mengalami kerugian dari ketika itu.

Hakikatnya, laporan-laporan tahunan TH dari tahun 2010 hingga 2017 yang sedia terpapar di laman web rasmi lembaga tersebut jelas menunjukkan bahawa TH mencatat keuntungan yang agak signifikan dan bukannya kerugian sepertimana yang diwar-warkan oleh Mujahid.

Malah, menurut laporan-laporan tersebut, keuntungan yang dicatatkan berjumlah RM3.8 bilion pada tahun 2017, RM2.3 bilion pada tahun 2016, RM3.5 bilion pada tahun 2015, RM4.6 bilion pada tahun 2014, RM2.5 bilion pada tahun 2013, RM2.2 bilion pada tahun 2012, RM2.0 bilion pada tahun 2011 dan RM2.2 bilion pada tahun 2010.

Umum perlu faham, bahawa dakwaan Mujahid itu sebenarnya merujuk kepada hasil siasatan sebuah syarikat juruaudit bebas, iaitu PricewaterhouseCoopers (PwC), yang menjalankan audit semula dan mendapati bahawa TH mengalami defisit RM4.1 bilion kerana didakwa meluluskan pemberian hibah biarpun mencatat kerugian.

Sekali pandang, seseorang akan mendapat persepsi bahawa sememangnya berlaku kepincangan dalam urustadbir TH hingga menyebabkan lembaga pengarahnya tergamak buat keputusan-keputusan yang tidak menyebelahi undang-undang mahupun kepentingan jangka panjang para pendeposit.

Tetapi, apabila diselami secara mendalam, sesiapa yang cukup fasih dalam bidang perakaunan akan terus mengesan penyisihan dalam laporan PwC dari piawaian-piawaian antarabangsa yang sememangnya ditetapkan oleh pakar-pakar audit yang tersohor dalam bidang perakaunan.

Ini memandangkan laporan yang dikeluarkan oleh PwC bersandar kepada keadaan ekonomi semasa pada ketika audit terbaru dijalankan dan bukannya keadaan ekonomi pada masa pemberian hibah dibuat.

Hakikatnya, bukan hanya pemberian hibah tersebut diluluskan oleh syarikat-syarikat audit dalam dan luar, seandainya PwC membuat penilaian menurut piawaian yang betul, sudah pasti Mujahid tidak akan dapat memberikan gambaran bahawa TH makin tenat dan mungkin tidak dapat diselamatkan.

Saudara saudari sekalian,

Pendedahan Mujahid sebenarnya merupakan sebahagian daripada satu rancangan jangka panjang yang membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin, Datuk Seri Zukri Samat (selaku Ketua Pegawai Eksekutif baru TH) dan Datin Wan Norhiyati Wan Ibrahim, iaitu seorang bekas pegawai kanan di Maybank yang turut merupakan kenalan rapat Tan Sri Zeti Akhtar Ali.

Rancangan tersebut, yang turut membabitkan beberapa pemimpin dari DAP dan pegawai-pegawai tertentu dari Kementerian Kewangan dan juga Maybank, melibatkan satu usaha sulit bersama-sama dengan kenalan-kenalan Wan Norhiyati dan Zukri dari PwC untuk menimbulkan persepsi bahawa pengurusan TH banyak melakukan kepincangan sebelum Pakatan Harapan mula berkuasa.

Dengan berpandukan kepada satu laporan sahaja dari PwC, Mujahid terus mendakwa bahawa TH melanggar Akta Tabung Haji 1995 biarpun Seksyen 22(1) akta tersebut jelas memberikan hak sepenuhnya kepada TH untuk menentukan pada bila-bila masa hal-hal yang bersangkut-paut dengan pemberian hibah.

Dakwaan Mujahid itu disusuli keesokkan harinya dengan satu pengumuman yang mengejut oleh Zukri berkenaan peralihan pengurusan aset-aset TH yang bernilai hampir RM20 bilion kepada sebuah syarikat penggerak khas (SPV) di bawah kementerian Lim Guan Eng.

Pengumuman tersebut terus mengundang kemarahan umat Islam terhadap DAP memandangkan peralihan pengurusan tersebut dilihat sebagai satu usaha komprehensif oleh mereka yang bersekongkol dengan Lim Guan Eng untuk merompak aset-aset milik Melayu-Islam.

Hakikatnya, kesemua yang berlaku itu sememangnya bertujuan untuk menimbulkan keresahan di kalangan para pendeposit TH agar sebilangan besar mereka akan mengalihkan pelaburan mereka ke institusi-institusi kewangan lain yang turut membantu umat Islam menunaikan ibadat Haji.

Rancangan tersebut berjaya kerana sememangnya terdapat sebilangan tertentu para pendeposit yang bukan hanya termakan dakwaan-dakwaan palsu Mujahid, mereka terasa jijik apabila diberitahu bahawa dana pelaburan mereka bakal dikawal sepenuhnya oleh orang-orang tertentu dari DAP.

Dan disebabkan penarikan keluar dana pelaburan oleh mereka inilah TH terpaksa mengurangkan beban subsidinya kepada para Jemaah Haji.

Ya, saudara saudari sekalian,

Sepertimana yang pernah saya ceritakan dulu, wujudnya Lembaga Tabung Haji ini adalah hasil saranan seorang tokoh ekonomi yang tidak asing lagi di kacamata Melayu-Islam, iaitu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid.

Menerusi kertas kerja beliau yang bertajuk “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji,” satu Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji telah ditubuhkan pada bulan November 1962 bagi menguruskan segala aspek perjalanan Jemaah Haji dari Malaysia ke Makkah.

Tidak lama kemudian, pada tahun 1969, kerajaan persekutuan memutuskan supaya perbadanan tersebut digabungkan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji yang pada ketika itu berpusat di Pulau Pinang.

Pergabungan kedua-dua institusi inilah yang menjurus kepada tertubuhnya TH bagi memantapkan lagi perkhidmatan dan kemudahan kepada bakal-bakal haji.

Sekiranya perancangan sulit yang wujud di antara DAP, Mahathir, Daim, Zukri dan Wan Norhiyati berjaya membuahkan hasil, akan sampai satu ketika nanti di mana bilangan pendeposit TH akan menjadi begitu kurang, hinggakan lembaga tersebut tidak akan mampu menjana pulangan yang secukupnya untuk membantu jemaah Haji menerusi pelaburan-pelaburan luar.

Pada ketika itulah Daim dan Zeti akan bersedia untuk membuka satu lembaran baru dalam sejarah TH menerusi penjualan saki-baki lembaga tersebut kepada sebuah syarikat yang sememangnya dimiliki oleh kedua-dua mereka menerusi beberapa pihak yang bertindak sebagai proksi.

Hasilnya, bukan hanya kuncu-kuncu Lim Guan Eng di Kementerian Kewangan akan mendapat ‘ganjaran’ menerusi penguasaan aset-aset tertentu milik Melayu-Islam, Zeti sendiri akan dapat menguasai sepenuhnya satu lembaga yang diwujudkan hanya kerana satu saranan yang dibuat oleh ayah beliau sendiri, iaitu Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid.

Bersambung…


Click on the button below, or send a WhatsApp to +60164049082 if you intend to make a direct contribution to our account. We thank you for your support and hope to continue bringing you great content in the years to follow.


FOLLOW US ALSO VIA THE FOLLOWING LINKS:

Raggie Jessy Rithaudeen on Twitter

The Third Force on Twitter

Raggie Jessy Rithaudeen on Facebook

TowardsGE15 on Facebook

The Third Force (Telegram)

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...