DAP, AMANAH sudah hidu ‘pengkhianatan’ Anwar, rancangan Team A

“Kepimpinan utama DAP dan AMANAH sudah mula menghidu konspirasi ini dan sedar bahawa Anwar rela untuk mengkhianati mereka demi kuasa dan kedudukan. Atas kesedaran inilah DAP dan AMANAH bersetuju untuk bersama Mahathir seandainya terbentuk gabungan kuasa ketiga dalam masa terdekat bersama sekumpulan pemimpin politik dari Team B, Sabah dan Sarawak”

Raggie Jessy Rithaudeen

Rabu lepas, saya menceritakan perihal Tan Sri Annuar Musa (bawah) dan bagaimana beliau mengaku apa yang telah saya katakan selama ini – iaitu Pilihan Raya Umum ke 15 akan diadakan tahun ini.

Annuar Musa (Team A) finally admits what I have been saying all along




Spesifiknya, terdapat satu usaha terancang melibatkan sekumpulan pemimpin dari Team A UMNO untuk membubarkan Parlimen Malaysia ke-14 dalam masa terdekat.

Sepintas lalu, Team A merupakan sebuah kumpulan minoriti terdiri daripada sembilan ahli parlimen UMNO (ada yang berkata sepuluh) dan sebilangan tertentu ahli-ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) dari parti berkenaan.

Team B pula merupakan kumpulan majoriti, di mana kumpulan ini merangkumi baki ahli-ahli parlimen UMNO dan majoriti ketua-ketua bahagian dan cawangan dari parti berkenaan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein merupakan peneraju utama Team B, manakala sebilangan besar kepimpinan tertinggi UMNO berada dalam Team A, termasuk Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Bung Moktar.

Team A turut dianggotai oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, beberapa bekas ahli UMNO dan sekumpulan cybertrooper dan aktivis tajaan.

Kerjasama antara UMNO dan PAS pula diusahakan oleh kepimpinan utama Team A sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi, di mana pada ketika itu, Team A memiliki sokongan hampir kesemua ketua bahagian dan cawangan dari UMNO.

Loading...

Walaubagaimaapun, apabila sokongan ini merosot susulan kekalahan teruk Barisan Nasional di Pilihan Raya Umum ke-14, sekumpulan kecil pemimpin dari Team A mencadangkan pembentukkan satu rangka kerjasama yang lebih berkekalan antara PAS dan UMNO.

Atas cadangan inilah berlaku inisiatif “perpaduan ummah” yang akhirnya menjurus kepada penubuhan Muafakat Nasional.

Perubahan konsep “perpaduan ummah” ke “Muafakat Nasional” berlaku setelah Team A sedar bahawa kerjasana yang diusahakan itu sebenarnya merupakan kerjasama politik semata-mata dan bukannya penyatuan ummah.

Sehingga kini, Muafakat Nasional masih belum didaftarkan lagi sebagai entiti rasmi ataupun parti politik rasmi kerana MCA tidak sekali-kali akan mengaku bersama Muafakat Nasional secara rasmi dan tidak akan bersetuju dengan pendaftaran gabungan berkenaan.

Justeru, kerjasama PAS dan UMNO menerusi Muafakat Nasional hanyalah sekadar “kesefahaman politik,” bukannya “permuafakatan parti-parti politik yang bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam” dalam ertikata yang sebenar.

Malah, apabila Team A mula-mula mencadangkan pembentukkan satu rangka kerjasama antara PAS dan UMNO, perkara ini sedikit sebanyak mendapat tentangan daripada beberapa pemimpin UMNO yang berpendapat parti itu perlu melakukan “rebranding” terlebih dahulu.

Ini memandangkan saham UMNO di kalangan pengundi Melayu-Islam selepas Pilihan Raya Umum ke-14 jatuh begitu teruk tatkala saham PAS tiba-tiba melonjak naik.

Pengundi Melayu-Islam mula sedar bahawa PAS merupakan “benteng pertahanan Islam yang terakhir” kerana mampu pertahankan Kelantan dan Terengganu biarpun dalam suasana “gelombang arus perubahan lanskap politik yang mendadak dan mengancam.”

Ada pemimpin UMNO yang berpendapat, tanpa rebranding, UMNO akan dilihat sebagai terlalu terdesak hingga terpaksa berpaut pada PAS semata-mata untuk kekal relevan dan mengambil kesempatan daripada populariti PAS.

Tetapi Team A tetap berdegil untuk meneruskan permuafakatan antara UMNO dan PAS tanpa perlunya sebarang usaha rebranding atau “penjenamaan semula Barisan Nasional.”

Kepimpinan Team A tahu, jika UMNO meneruskan juga hasrat untuk melakukan rebranding, ramai di kalangan mereka akan diketepikan oleh pemimpin-pemimpin Team B yang inginkan perubahan mendadak dalam pucuk pimpinan UMNO.

Atas ketakutan inilah pemimpin-pemimpin Team A memulakan perbincangan dengan sekutu-sekutu mereka dari PAS untuk memantapkan lagi kerjasama yang mereka mulakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

Kini, sudah lebih setahun UMNO menandatangani Piagam Muafakat Nasional bersama PAS.

Propaganda yang dimainkan oleh pemimpin-pemimpin Team A ialah “Muafakat Nasional akan menang besar jika PUR15 diadakan dalam masa terdekat.”

Tetapi tahukah anda ini satu pembohongan?

Dari awal, Team A sudah menjangka UMNO hanya akan memiliki peluang untuk kembali memegang tampuk kepimpinan negara jika berjaya ‘memiliki’ semula kesemua atau hampir kesemua kubu kuat Barisan Nasional di peringkat negeri.

Justeru, segala perancangan Team A dari bulan Mei 2018 hingga kini adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 “yang diawalkan” bagi ‘menakluki’ seberapa banyak negeri yang mungkin di semenanjung Malaysia, tidak lebih dari itu.

Logiknya, jika UMNO berjaya menakluki semua negeri di semenanjung Malaysia, kepimpinan parti akan memiliki akses kepada semua jentera pentadbiran kerajaan negeri, sekaligus memudahkan usaha UMNO memperluaskan pengaruhnya ke seluruh semenanjung, termasuk negeri Johor yang kini ‘dipegang’ Muhyiddin.

Dengan pengaruh inilah UMNO berharap dapat menakluki semula kerajaan persekutuan dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 yang berkemungkinan besar turut akan diawalkan.

Untuk menjayakan rancangan ini, seorang dua pemimpin Team A dikatakan telah mewujudkan beberapa gerakan “penyatuan ummah” dan media yang ditaja dengan harapan akan berlaku satu gelombang “anti-Mahathir” yang mampu memecah-belahkan PPBM dan melagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim..

Dalam pada itu, Team B bersama wakil-wakil dari PAS (Datuk Taiyuddin Hassan dan Menteri Besar Terengganu), PKR (Menteri Besar Selangor), PPBM, AMANAH dan UMNO (Hishammuddin) secara senyap memulakan satu siri rundingan rahsia yang disokong penuh oleh orang-orang Mahathir.

Saya difahamkan, rundingan-rundingan ini melibatkan rancangan untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan baharu bertunjangkan kepimpinan Melayu-Islam, di mana kerajaan ini akan lebih menjurus ke arah penyatuan ummah secara “lebih menyeluruh” berbanding Muafakat Nasional.

Menurut rancangan asal, Mahathir akan meletakkan jawatannya sebaik selepas sidang kemuncak APEC tamat bulan November ini dan memberi laluan kepada mereka yang terlibat dengan usaha penyatuan ini untuk mencetuskan penubuhan sebuah kerajaan perpaduan baharu.

Malangnya, beberapa pemimpin dari Team A (Puak Kartel) terhidu rancangan PAS bersama Team B dan mula mengapi-apikan rasa kesangsian sekumpulan kecil pemimpin PPBM (puak Muhyiddin) terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persepsi yang ditimbulkan ialah Anwar tidak akan tunggu hingga bulan November untuk Mahathir letak jawatan dan akan ‘menerkam’ Mahathir (dengan bantuan DAP dan AMANAH) sebelum bulan Mei.

Tindak-tanduk Team A ini berjaya mempengaruhi majoriti ahli parlimen dari PPBM apabila puak Muhyiddin bertindak meyakinkan mereka bahawa PPBM perlu bersama UMNO secara en bloc untuk mencantas Anwar.

Pada jangkaan Tan Sri Muhyiddin Yassin, apabila Perikatan Nasional dibentuk, Datuk Seri Azmin Ali akan mampu ‘melumpuhkan’ PKR dengan mempengaruhi sekurang-kurangnya 25 ahli parlimen dari parti berkenaan untuk bersama PPBM.

Tetapi nyata perkara ini tidak berlaku.

Sebaliknya, Azmin hanya berjaya mempengaruhi 15 ahli parlimen PKR, di mana lima daripadanya masih lagi kekal bersma Anwar dan mengambil sikap “tiunggu dan lihat.”

Kegagalan Azmin sebenarnya disebabkan oleh pengkhianatan beberapa individu yang tidak diketahui oleh Muhyiddin sendiri.

Dalam pada seorang dua pemimpin dari Team A sedang sibuk mengapi-apikan kesangsian puak Muhyiddin terhadap Anwar, individu-individu berkenaan sibuk berunding dengan Anwar sambil menabur pelbagai janji terhadapnya.

Atas janji-janji inilah kem Anwar dikatakan berjaya mengelakan lebih ramai ahli parlimen PKR daripada keluar parti untuk bersama Azmin di PPBM.

Setakat mana yang saya difahamkan, Team A melakukan semua ini atas tiga sebab:

1. Kepimpinannya ingin memastikan rancangan Mahathir untuk mewujudkan kerajaan perpaduan selepas APEC tidak berjaya

2. Kepimpinannya ingin memastikan PAS sentiasa bersama Team A, bukannya Team B

3. Kepimpinannya ingin memastikan kerajaan pimpinan Muhyiddin memiliki majoriti tipis.

Sepertimana yang kita dapat lihat, secara langsung atau tidak langsung, ketiga-tiga perkara ini berjaya dilakukan.

Team A kini dikatakan sedang merancang untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Perikatan Nasional agar Pilihan Raya Umum ke-15 dapat dicetuskan dalam jangka masa terdekat.

Saya difahamkan, terdapat rancangan untuk mencetuskan pembubaran parlimen menerusi tindakan sembilan hingga sepuluh ahli parlimen Team A keluar dari Perikatan Nasional.

Jika PAS turut serta, kemungkinan besar Team B akan mengikuti jejak Team A, sekaligus menjadikan jumlah ahli parlimen yang keluar dari Perikatan Nasional seramai 61 orang (Barisan Nasional dan PAS).

Jika PAS tidak turut serta, Team B masih dijangka akan keluar dari Perikatan Nasional.

Ini memandangkan Anwar kini dikatakan sedang berharap untuk memasuki satu perjanjian dengan Muhyiddin bagi membawa sekurang-kurangnya 33 ahli parlimen dari PKR untuk menyertai PPBM dalam Perikatan Nasional.

Saya akan bercerita tentang ‘harapan’ Anwar ini dan halatuju Team B dengan lebih lanjut dalam bahagian yang akan datang.

Buat masa ini, apa yang ingin saya sampaikan ialah harapan Team A untuk untuk merampas seberapa banyak negeri yang boleh di semenanjung Malaysia bersama PAS menerusi Pilihan Raya Umum ke-15, bukannya untuk menawan negara sepertimana diharapkan oleh penyokong-penyokong Muafakat Nasional.

Tujuan sebenar Pilihan Raya Umum ke-15 diawalkan adalah bagi mempercepatkan proses ini agar penumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada usaha ‘menakluki’ kerajaan persekutuan menerusi Pilihan Raya Umum ke-16.

Dengan mencetuskan Langkah Sheraton, menunggang Muhyiddin dan Azmin serta memberi harapan palsu kepada Anwar, Team A berjaya ‘melumpuhkan’ PPBM dan PKR sambil memperbodohkan agen-agen UMNO dalam PPBM yang masih tidak sedar diri mereka sedang diperbodohkan.

Kepimpinan utama DAP dan AMANAH sudah mula menghidu konspirasi ini dan sedar bahawa Anwar rela untuk mengkhianati mereka demi kuasa dan kedudukan.

Atas kesedaran inilah DAP dan AMANAH bersetuju untuk bersama Mahathir seandainya terbentuk gabungan kuasa ketiga dalam masa terdekat bersama sekumpulan pemimpin politik dari Team B, Sabah dan Sarawak.

Bersambung…

NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:



SUBSCRIBE TO US ON YOUTUBE:



YOUTUBE: THE THIRD FORCE

TELEGRAM: Raggie Jessy Rithaudeen

TWITTER: Raggie Jessy Rithaudeen

WEBSITE: raggiejessyrithaudeen.com

Loading...

COMMENTS

Comments

Comments



Loading...