
“Kerajaan ‘tebuk atap’ pimpinan Muhyiddin Yassin sanggup memberi ‘gula-gula’ melada parti-parti di bawah PH semata-mata untuk mendapatkan kelulusan bagi Belanjawan 2021”
Khairuddin Abu Hassan
Parti DAP dan AMANAH jangan terperangkap dengan permainan politik kerajaan ‘tebuk atap’ yang sekarang sudah ‘nyawa-nyawa ikan’.
Kerajaan ‘tebuk atap’ PN pada hari ini dapatlah diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ dan ‘retak menanti belah.’
Dalam keadaan tertekan serta genting seperti ini Muhyiddin Yassin sanggup lakukan apa saja untuk menjaminkan Belanjawan 2021 dapat diluluskan pada persidangan parlimen penggal ini.
DAP dan AMANAH harus berpegang erat pada prinsip kebenaran demi menjaminkan kesejahteraan rakyat serta masa depan negara.
Jangan terlalu pentingkan pada peruntukan untuk kawasan-kawasan perlimen mereka semata-mata.
Sudah berdekad lamanya parti DAP dan pembangkang lain berjuang tanpa peruntukan kawasan parlimen mereka kecuali selama 18 bulan ketika menjadi kerajaan di mana mereka menerima peruntukan tersebut.
Mengapa sekarang tiba-tiba parti pembangkang pentingkan peruntukan dana untuk kawasan-kawasan parlimen mereka pula?
Adakah mereka takut dengan tekanan-tekanan politik seterusnya andaikata tidak menyokong belanjawan kerajaan ‘tebuk atap’ PN?
‘Tepuk dada tanyalah selera’ masing-masing.
Yang paling penting ialah setiap ahli parlimen harus meneliti dan mengkaji isi kandungan Belanjawan 2021 terlebih dahulu.
Jangan hanya kerana ‘kelahab’ duit parti DAP serta AMANAH sanggup menyokong belanjawan kerajaan ‘tebuk atap’ secara membuta-tuli.
Kerajaan ‘tebuk atap’ pimpinan Muhyiddin Yassin sanggup memberi ‘gula-gula’ melada parti-parti di bawah PH semata-mata untuk mendapatkan kelulusan bagi Belanjawan 2021.
Selepas mendapat kelulusan belanjawan kerajaan ‘tebuk atap’ kemungkinannya kerajaan hari ini akan mencari kaedah lain pula untuk menekan mereka.
Kadang-kala saya amat hairan dengan prinsip perjuangan parti-parti dari PH ini.
Sebab itu Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengambil satu pendekatan bijak untuk keluar dari gagasan PH dengan meletakkan PEJUANG di blok bebas.
Rakyat Malaysia kini amat bijak memerhati seterusnya membuat pembacaan politik secara tepat.
Kita jangan sama sekali membiarkan prinsip perjuangan yang luhur dicemari dengan imbuhan wang ringgit ataupun jawatan waimah kepentingan lain.
Jangan sama sekali gadaikan prinsip perjuangan berteraskan kebenaran.
Sekalian rakyat harus menjunjung titah KDYMM Agong untuk mencari formula bersepakat demi kepentingan bangsa ataupun negara.
Dalam masa yang sama; ahli-ahli dewan rakyat mesti bersikap professional, AMANAH dan bertanggungjawab!! Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.
Jangan ikut perangai buruk Anwar Ibrahim yang sanggup melakukan apa saja asalkan dijamin boleh jadi Perdana Menteri.
Kalau nak ikutkan perasaan tanpa berpegang erat pada prinsip perjuangan berteraskan kebenaran; tun dr mahathir mohamad juga boleh bersandarkan pada jawatan yang ‘mulia’ jika sanggup bekerjasama dengan kalangan kleptokrats yang pernah kita tentang secara habis-habisan pada suatu masa dahulu.
Namun, Tun Dr Mahathir Mohamad tolak kepentingan peribadi demi menjaminkan masa depan negara terus dipelihara secara terbaik mungkin serta AMANAH.
Sama-sama kita lihat gelagat pemimpin-pemimpin parti DAP dan AMANAH pada sesi Belanjawan 2021 pada 6 november kelak.
Amatlah diharapkan ahli-ahli parlimen PH khususnya serta ahli-ahli parlimen yang lain amnya akan mengambil pendirian bertanggungjawab dalam meneliti isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum mereka buat keputusan samada menyokong atau menolak belanjawan kerajaan ‘tebuk atap’ PN.
Apapun, kerajaan ‘tebuk atap’ PN yang ‘merapu’ ini mesti digantikan dengan kerajaan baru yang ditunjang oleh pemimpin-pemimpin yang benar-benar ‘credible’.
Salah sokong kali ini kemungkinannya juga akan menyebabkan negara kita terus hancur!!
NOTA: SAYA MEMBUAT PENGUMUMAN-PENGUMUMAN PENTING DARI MASA KE SEMASA EKSKLUSIF MENERUSI SALURAN TELEGRAM BERIKUT:
