DAP tidak yakin dengan Amanah sehingga sanggup bertanding di Kelantan

“Kalau alasan yang diberikan kerana ramai pengundi Cina, selepas Kota lama, Wakaf Bharu merupakan DUN kedua teramai pengundi Cina di Kelantan. Namun kita yakin pengundi Cina wakaf Bharu, bahkan, Kelantan juga akan memberi undi kepada PAS kerana mereka yakin dengan kepimpinan PAS yang selama ini memberikan keadilan kepada mereka”

SHAH ALAM: Hasrat DAP yang mahu meletakkan calon mereka dibeberapa kerusi DUN di Kelantan jelas memberikan isyarat bahawa parti itu tidak meyakini kemampuan rakan komponen mereka, Amanah.

Setiausaha PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya mengalu-alukan hasrat DAP itu apatah lagi sebelum ini Penasihatnya, Lim Kit Siang beriya-iya menamakan calon Menteri Besar sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

“Oleh itu saya rasa Wajar sekali DAP meletakkan calonnya di Kelantan. Macam mana mahu ada Menteri Besar kalau tak ada calon yang bertanding?

“Lebih-lebih lagi dalam suasana yang DAP melihat ketidakmampuan PAN (Amanah) untuk mendapat sokongan orang Melayu seperti mana kajian beberapa pihak.

“Kenyataan DAP untuk letak calon di Kelantan jelas menunjukkan ketidakyakinan mereka kepada PAN (Amanah),” katanya dalam satu kenyataan kepada Antarapos.

DAP dijangka meletakkan calon mereka buat julung kalinya dikerusi DUN Kelantan pada PRU14 akan datang.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah mengesahkan wujud permintaan daripada DAP sebelum ini untuk bertanding dikerusi DUN.

Difahamkan DAP mungkin akan bertanding didua kerusi DUN iaitu Kota Lama, Kota Bharu dan Galas, Gua Musang.

Pada ketika ini kerusi DUN Kota Lama disandang oleh PAS menerusi Datuk Anuar Tan Abdullah yang berjaya menewaskan calon MCA, Tan Ken Ten, manakala DUN Galas disandang oleh BN menerusi Abdul Aziz Yusof.

Kota Lama adalah kawasan DUN yang mempunyai pengundi Cina paling ramai, iaitu satu per tiga daripada kira-kira 30,000 pengundi.

Che Abdullah yang juga ADUN Wakaf Bharu dalam pada itu berkata, jika DAP mensasarkan kawasan majoriti Cina, parti itu wajar meletakkan calon dikerusi yang disandangnya kini.

“Kalau alasan yang diberikan kerana ramai pengundi Cina, selepas Kota lama, Wakaf Bharu merupakan DUN kedua teramai pengundi Cina di Kelantan. Namun kita yakin pengundi Cina wakaf Bharu, bahkan, Kelantan juga akan memberi undi kepada PAS kerana mereka yakin dengan kepimpinan PAS yang selama ini memberikan keadilan kepada mereka.

“Ia dibuktikan bukan saja secara retorik tetapi secara ‘real’ sepanjang pentadbiran PAS di negeri Kelantan, baik pada era Tok Guru Nik Aziz dari tahun 1990 mahupun pada era pentadbiran PAS sebelum ini 1959-1978.

“Orang Cina Kelantan rapat dengan PAS bukan kerana DAP, tetapi mereka lebih meyakini pemimpin PAS berbanding Umno,” katanya lagi.

Source: Antarapos

Comments

Comments