“Amat nyata sekali UMNO kini parti tunggangan Zahid agar beliau boleh menyelamatkan diri dariapda masalah perundangan yang menimpanya”
Raggie Jessy Rithaudeen
درڤد جادي ‘كولي توكڠ اڠڬوق’ زاهيد، ايلوق مڤ امنو ماسوق ڬتا، كوسوڠكن كروسي ڤرليمين، برتنديڠ سمولا
UNTUK BERITA TERKINI, SERTAI TELEGRAM TTF DI SINI
UMNO telah hilang peranannya sebagai parti keramat Melayu apabila usul tidak berperlembagaan diluluskan bagi menghalang jawatan presiden dan timbalan presiden dicabar pada pemilihan parti.
Pelbagai alasan dangkal diberikan untuk menghalalkan usul ini, termasuk dakwaan kononnya UMNO akan menjadi tidak stabil sekiranya jawatan-jawatan berkenaan dicabar.
Faktor ‘kestabilan’ turut dijaja sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 bagi menunda pemilihan UMNO sebanyak dua kali – pertama, selama 18 bulan, dan kedua, selama enam bulan selepas tarikh Pilihan Raya.
Kononnya, dengan menunda pemilihan UMNO, parti akan lebih stabil dan diyakini oleh pengundi Melayu-Islam, yang seterusnya akan memastikan bahawa Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Umum ke-15.
Namun, bukan hanya Barisan Nasional mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah, UMNO mengalami keretakkan teruk setelah beberapa Ketua Bahagian dan ahli parlimen secara terbuka meminta Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan.
Hakikatnya, Zahid kini mengamalkan dasar pemerintahan “kuku besi” dan giat mencantas sesiapa sahaja yang mengkritik atau menegur kepimpinan beliau, sekaligus merendahkan martabat ahli-ahli parti ke tahap “kuli tukang angguk” atau “hamba abdi.”
Ramai ahli dipecat atau digantung atas pelbagai alasan samar dan dituduh “langar perlembagaan parti” tanpa diberi peluang untuk mempertahankan diri.
Anehnya, Zahid sendiri melanggar perlembagaan parti beberapa kali sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 apabila menzahirkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zahid berbuat demikian secara rahsia walaupun tahu Perhimpunan Agung UMNO menetapkan dasar “no Anwar, no DAP.”
Dalam warkah yang diutuskan kepada Yang Di-Pertuan Agong sebelum PRU15, Zahid menipu kononnya semua ahli parlimen Barisan Nasional menyokong pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Zahid mengulangi penipuan ini selepas PRU15 dan akhirnya berjaya menaikkan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Namun, sokongan Zahid terhadap Anwar melanggar perlembagaan UMNO kerana ketetapan “no Anwar, no DAP” masih berkuatkuasa pada ketika sokongan ini dizahirkan.
Apakah Zahid tidak ingin memecat diri sendiri kerana melanggar perlembagaan parti?
Amat nyata sekali UMNO kini sekadar parti tunggangan Zahid agar beliau boleh menyelamatkan diri dariapda masalah perundangan yang menimpanya.
Zahid sendiri mengaku bahawa tujuan Pilihan Raya Umum ke-15 disegerakan berkait dengan kes mahkamah yang dihadapinya dan ‘bakal dihadapi’ oleh pemimpin parti-parti komponen Barisan Nasional.
Pengakuan ini membuktikan bahawa segala apa yang dilakukan oleh Zahid tidak ada kaitan langsung dengan perjuangan Agama, Bangsa dan Negara, tetapi “perjuangan menyelamatkan tengkuk.”
Tidak ada gunanya ahli-ahli parlimen UMNO menjadi “kuli tukang angguk” Zahid, kerana “kuli tukang angguk” Zahid tidak mampu memperjuangkan nasib Agama, Bangsa dan Negara dan hanya mampu menjayakan agenda peribadi Zahid.
Maka eloklah ahli-ahli parlimen ini isytihar sertai Gerakan Tanah Air dan bertanding semula di Pilihan Raya Kecil setelah kerusi kawasan parlimen mereka dikosongkan.
